Isteri Cerdik Yang Solehah

Nama saya Raudhah (bukan nama sebenar). Saya ingin berkongsi kisah ini kerana sejujurnya dalam lingkungan kehidupan saya (family dan kawan-kawan) tiada siapa pun yang tahu saya pernah lalui kisah hitam ini.

Mungkin cerita ini boleh dijadikan pengajaran buat semua dan saya mendoakan agar kisah ini tidak berulang pada diri saya atau terjadi pada mana-mana Wanita.

Cerita ini bermula pada tahun 2023. Saya baru tamatkan pengajian di peringkat tertinggi dan ditawarkan jawatan di sebuah institusi pengajian terkemuka di utara tanah air. Perkahwinan pula menjejak usia genap 10 tahun ketika itu dengan seorang cahaya mata. Everything looks perfect.

Sebelum tahun 2023 hidup kami agak terumbang ambing dengan PKP, saya tidak bekerja kerana fokus pada pengajian dan suami yang bergaji sederhana.

Masa PKP suami juga diuji dengan masalah kewangan tapi Alhamdulillah dengan biasiswa pengajian saya yang agak tinggi, kami masih boleh survive. Jadi bila semua kesusahan ni berakhir, saya kira Allah kurniakan kami pelangi yang sangat indah.

Bermula 2023 saya mulakan azam baru untuk fokus pada anak tunggal kami, kembali menjadi isteri kepada suami dan fokus bina kerjaya untuk bantu kewangan keluarga kecil kami.

Allah izin dalam kesibukan berpindah ke utara atas faktor kerjaya, kesibukan menyesuaikan diri di tempat kerja dan urusan perpindahan sekolah anak kami, saya mula jatuh sakit. Saya sangka hanya letih yang teramat kerana perlu melalui semua ini dalam tempoh 2 bulan. Rupa-rupanya Allah izin saya hamil anak kedua.

Setelah hampir bertahun-tahun kami mencuba untuk dapatkan yang kedua, tanpa membuat sebarang perancangan dan mengambil rawatan, Allah hadirkan penyeri keluarga kami. Saya lalui kehamilan kedua ni dengan sangat perit. Alahan sangat teruk dan saya sukar tidur malam. Semua ni berlaku seawal kandungan 2 bulan.

Ketika bulan Ramadhan 2023, Allah izin pada satu malam saya terjaga. Dan saya tersedar suami sedang tidur di sebelah dengan handphonenya terbuka di bahagian whatsapp.

Saya dan suami memang tiada rahsia bab handphone. Boleh dikatakan kami suami isteri baik-baik saja. Sering berkomunikasi, dan kalau bergaduh tu hanya sekadar gaduh-gaduh manja. Sebab itu saya sangka Allah bagi saya a perfect family.

Tapi malam tu sungguh telah mengubah segalanya. Saya baca kandungan whatsapp tersebut. Rupa-rupanya suami saya dalam diam berbalas mesej dengan seorang Perempuan. Kerjaya suami saya memang selalu melibatkan dia perlu berjumpa ‘client’ dari pelbagai lapisan Masyarakat. Saya dah biasa dengan nature kerjaya dia.

Tapi mesej kali ni dan ‘client’ tersebut sangat berbeza. Malah ejaan ‘client’ juga sengaja ditulis dengan ejaan ‘clients’. Seolah-olah memberi tanda bahawa client ini lain dari yang lain. Mesejnya berbaur mesra.

Saya yang hamil dan kepenatan tidur, suami curi-curi mesej Perempuan lain di belakang saya. Sangkaan saya mesej atas urusan kerja kerana memang biasa kerjanya perlu berurusan hingga malam.

Saya ambil phone suami dan screenshot serta save number dan perbualan mereka. Saya cari lagi senarai ‘clients’ yang lain. Dan tepat sangkaan saya, bukan seorang. Ada beberapa lagi senarai ‘clients’ dan kesemuanya Perempuan. Saya screenshot dan save semuanya dalam phone saya.

Keesokan hari saya dan suami pergi kerja seperti biasa. Kami carpool ke tempat kerja. Seperti biasa perjalanan dalam kereta selalu diisi dengan pelbagai topik. Waktu inilah bagi saya masa berkualiti kami.

Lepas hantar anak ke sekolah, kami akan berbual-bual, bergurau senda, usik-mengusik. Sebab bila balik rumah segala tumpuan akan diberikan kepada rumah tangga dan anak.

Dan most of the time, dah letih pun nak bersembang Panjang. Tapi pagi itu, tiada perbualan. Saya sengaja diam dan merenung keluar tingkap. Suami pun tak syak apa-apa sebab masing-masing melayan lagu di radio.

Saya salam dan terus masuk office seperti biasa. Selesai uruskan 1 event pagi tu, saya masuk bilik dengan nafas tercungap-cungap.

Sebenarnya sepanjang hari saya asyik memikirkan tentang mesej tersebut. Walaupun saya beri sepenuh tumpuan dan komitmen pada event di tempat kerja, tapi hati saya hanya Allah yang tahu. Saya tahan segala kecamuk dan gelora di jiwa. Habis event memang jantung saya bagai nak pecah. Dan ketika itulah saya menangis sekuat-kuatnya.

Saya rasa dah lama saya tak menangis macam tu. Saya tak tahan, saya terus send screenshot whatsapp malam tadi kepada suami. Saya bagitau kalau dah tak sayang saya, lepaskan saya dengan cara baik. Mesej yang simple tapi padu. Masa tu memang otak dah membayangkan yang bukan-bukan.

Suami terus datang office saya dan pujuk. Lama juga kami menangis. Banyak persoalan saya nak tanya tapi lidah macam kelu. Saya beri silent treatment. Ia menyeksakan sebenarnya sebab saya tak dapat jawapan dan dia terseksa menunggu respon saya.

Akhirnya saya tanya soalan cliché yang semua Perempuan akan tanya. Siapa? Sejak bila? Kenapa? Pernah berjumpa? Pernah bersentuhan? Dia cantik ke?

Jawapannya:

Client yang mulanya hanya sekadar client tapi tiba-tiba terluah perasaan sebab ada masalah rumah tangga. Dia sudah bersuami dan kerja kilang.

(Ya Allah saat ini hati saya berfikir, aku ni kerja bagus pun kau sanggup cari Perempuan kerja kilang je nak buat scandal, ape la bodoh sangat laki aku ni?)

Mulanya hanya sekadar mesej biasa tapi lama kelamaan berlarutan. Perkara ni berlaku dari tahun 2020 katanya. (punya la lama saya ditipu)

Kenapa? Dia kata dia tiada niat langsung untuk berkahwin lain. Hanya sekadar suka-suka berkawan. Nak try test market katanya,

(masa ni saya rasa nak hempuk je kepala dia. Anak dia ketinggalan pelajaran kat sekolah masa tu, saya yang bersusah payah bersengkang mata fikir cara nak bagi anak dia pandai dalam keadaan saya sibuk menyelesaikan pengajian saya, rupanya dalam tempoh tu dia ada masa nak cari Perempuan lain)

Mereka pernah ber’dating’ sekali. Katanya dia teringin nak jumpa Perempuan tu di kilang. Dia bawa Perempuan tu keluar makan. Saya tanya, jadi dia pernah naik la kereta kita? Pernah duduk di seat saya ni? Ya, jawapannya.

Untuk pengetahuan, kereta ‘mewah’ yang dipandu suami saya ketika itu adalah kereta saya, saya yang bayar bulan-bulan. Suami cuma bayar maintenance dan tanggung minyak serta tol. Kereta ‘mewah’ ini lah yang selalu jadi kebanggaan jejaka-jejaka Melayu untuk mengorat anak dara atau Perempuan-perempuan kat luar sana.

Anda boleh agak kereta mewah brand apa. Tapi siapa nak sangka, lelaki yang bawa kereta ni sebenarnya bukan pemilik sebenar. Semudah itu je suami saya nak tackle Perempuan lain. Dengan bermodalkan logo kereta mewah milik saya tu heh.

Suami kata dia pernah pegang tangan Perempuan tu. (Astaghfirullahal azim istighfar Panjang saya mohon Allah ampunkan dosa-dosanya. Dah hampir tersimpang jauh laki aku ni).

Perempuan tu biasa-biasa je. Saya lagi cantik katanya. Sebab tu dia kata dia nak berkenalan je bukan serious pun.

(Saya masih tak boleh brain alasan dia. Banyak betul masa dan duit dia untuk berkenalan dengan orang lain tanpa faedah. Sedangkan saya di rumah berjimat cermat mengenangkan dia ada masalah kewangan masa Covid dan hanya perlu bergantung dengan biasiswa saya untuk menampung belanja rumah, kereta dan sekolah anak).

Selepas pertemuan di office tu, saya masih belum betul-betul reda. Kami pulang dan saya teruskan silent treatment. Saya jadi kurang bercakap. Balik rumah saya tak masak, jadi suami ambil alih tugas memasak. Lagipun saya tengah hamil. Kandungan baru di trimester pertama. Saya masih belum boleh masak. Dan alahan sangat teruk.

Saya menangis ketika mandi, dalam solat dan saya mula bermimpi yang bukan-bukan. Seringkali terjaga waktu malam dan terus check handphone suami. Walaupun selepas kejadian tu, suami masih tidak rahsiakan password handphone. Dia beri kebebasan kepada saya untuk memadam kisah lalunya yang hitam.

Malam kedua, saya buka lagi dan cari lagi segala bukti yang boleh saya kumpul. Saya jumpa bermacam-macam.. gambar, social media, resit dan sebagainya.

Saya ambil simpan dalam rekod saya dan hapuskan dalam phone suami saya. Saya delete semua nombor Perempuan tapi saya simpan dalam simpanan saya. Semua ni berlarutan hampir sebulan. Saya tak boleh tidur dan itulah kerja saya setiap malam.

Saya bangun tahajjud dan mohon Allah beri kekuatan dalam bentuk apa jua. Saya tak tahan sebenarnya masuk office asyik menangis. Saya perlu bekerja. Menangis dan melayan perasaan ini sangat menyesakkan jiwa saya. Saya tak boleh fokus. Kerana terlalu sakit hati, saya hampir toreh tangan sendiri. Bukan niat untuk bunuh diri pun.

Tapi pisau yang tajam tu pun tak terasa sakitnya sebab sakit di hati ini lebih lebih dalam lagi. Saya nak lukakan diri saya supaya saya akan fikir sakit di luaran ni dan dapat lupakan kesakitan dalam hati saya. Baru saya faham kenapa orang ada suicidal thoughts atau yang depression dan cuba untuk melukakan diri sendiri.

Sebenarnya mereka ada kesakitan yang lebih dalam dan dasyat lagi dari kesakitan melukakan diri sendiri. Tapi saya tak Berjaya pun toreh tangan sendiri.

Pada hari keempat, setelah 3 malam berturut-turut bangun tahajjud, Allah izin saya dapat kekuatan. Automatik, air mata tak lagi keluar macam hujan seperti hari-hari sebelum ini.

Mesej perbualan suami masih terngiang-ngiang di fikiran tapi saya tidak lagi menangis tiba-tiba. Kekuatan yang Allah beri ni juga buat perasaan saya tiba-tiba jadi numb. Saya tak tau nak explain situasi ni macam mana.

Suami berkali-kali minta maaf dan minta diberikan peluang. Hari raya Aidilfitri tahun tu walaupun orang lain Nampak kami normal, tapi hakikatnya tidak.

Mungkin layanan baik yang saya teruskan terhadap suami saya Nampak sempurna sampai orang lain tak boleh hidu kami ada masalah. Suami mungkin juga anggap saya sudah maafkan dia dan move on. Hakikatnya perbuatan curang dia selalu menghantui saya.

Kini setelah setahun lebih dan anak kedua kami dah lahir, saya Nampak suami lebih fokus pada keluarga. Bila ada orang tanya, nak tambah anak lagi? Saya terus jawab tak nak. Cukuplah yang ada ni.

Jauh di sudut hati ingin saya jerit dan katakan, saya trauma dicurangi dalam keadaan saya hamil. Saya sakit diuji dengan alahan kehamilan at the same time perlu hadap suami yang khianati saya dalam diam. Berkali-kali saya lukakan diri saya dan tak pedulikan kandungan saya.

Saya doa Allah jadikan anak kedua saya ini kebal, tahan lasak, dan lebih kuat dari saya. Saya takut untuk hamil lagi bukan kerana masalah Kesihatan tapi saya takut trauma tu berulang lagi. Selama hampir 7 bulan saya tak boleh tidur dan bermimpi yang bukan-bukan.

Saya mimpi dikejar penjahat, saya mimpi hampir dirogol oleh sekumpulan lelaki dan banyak lagi. Saya hampir jumpa pakar psikologi. Inilah hal yang sampai sekarang suami saya sendiri tak tahu.

Saya pernah bagitau dia masa saya mengandung selepas beberapa ketika kami dah mula berbaik semula, saya teringin nak duduk kat hospital kejap. Kalau sakit sikit hantar je saya masuk hospital, saya nak masuk duduk 2 3 hari.

Suami tanya kenapa? Saya jawab, nak tenangkan fikiran. Dia diam… fahamlah maksud saya tu. Saya masih terfikir peristiwa tu bila di rumah. Saya pernah juga minta masa untuk berjauhan. Saya cakap nak tidur sorang-sorang kat mana-mana hotel ke masjid ke yang dekat dengan office saya. Tapi tak nak balik rumah. Suami larang.

Katanya dalam tempoh ini kami berdua perlu satu sama lain. Dia perlukan saya untuk baiki diri dia dan bawa dia ke jalan benar semula. Dan saya perlukan dia sebab saya hamil dan emosi tak stabil. Kalau jadi apa-apa dia risaukan saya.

Beberapa minggu lepas suami saya bertanya, adakah dia patut bergelar the sole bread winner in the family? Sedangkan saya juga bekerja dan membantu kewangan keluarga.

Saya jawab, rumah tangga kita adalah dual-income earner. Kita berdua adalah bread winner. Tanpa bantuan saya, suami tak akan mampu nak jadi the only bread winner. Tapi itu tak bermakna darjat dan haknya sebagai suami lebih rendah dari saya.

Saya cakap, saya bekerja untuk bantu dia. Bila dia tak cukup duit saya Ikhlas hati bantu. Bila saya tak de duit, income suami saya yang bantu menampung kekurangan tersebut. Tapi… saya bagi amaran.. jangan dikhianati kepercayaan dan pertolongan saya sebagai isteri.

Isteri ini dia tak akan pernah berkira dengan suami dia lagi-lagi bab rumah tangga. Malah dia boleh beri lebih. Tapi once dia dikhianati, tanggunglah akibatnya.

Saya cakap pada suami, kalau perkara sama berulang lagi saya tak teragak-agak minta awak lepaskan saya. Awak nak sangat kat Perempuan tu, pergilah.

Saya akan tunjuk segala resit hutang piutang awak yang saya tanggung selama ni. Segala perbelanjaan rumah, anak, kereta. Dan saya akan bagitau Perempuan tu saya bersedia bila-bila masa saja kalau awak nak ‘kutip’ suami saya jadi suami awak.

Selamat maju jaya menanggung beban kewangan hidup dengan dia. Saya akan bawa anak-anak jauh dari sini. Berikan mereka kehidupan yang lebih baik. Dengan kelulusan Pendidikan saya, saya boleh pergi ke luar negara. Awak hiduplah dengan Perempuan tu..

Kenapa saya decide untuk berpisah saat itu kalau sekarang saya masih beri dia peluang?

Sebab pengkhianatan kali kedua, memang tiada maaf lagi baginya. Saya beri peluang sekarang kerana dia seorang ayah yang baik kepada anak-anak. Saya seorang yang tegas dan garang. Kehadiran dia sebagai pendamai menyeimbangkan dynamic rumah tangga kami. Anak-anak perlukan kami berdua sebagai 1 unit.

Orang yang mengenali suami saya tak akan sangka dia boleh buat saya macam tu. Kerana dia seorang anak dan menantu yang baik, abang yang baik pada adik-adik dia dan ipar yang baik dalam keluarga saya, beragama, penuh hikmah.. bak ahli Kumpulan nasyid, dah la handsome suara sedap pulak tu.

Dalam tempoh 10 tahun dia juga suami yang baik. Yelah siapa sangka kan… Allah uji juga saya dengan ujian ini. Saya juga beri peluang kepada diri saya untuk jadi isteri cerdik yang solehah.

Suami saya tersilap sekali.. mungkin juga berkali-kali (tapi saya tak nak korek dah kesilapan dia di masa lalu).. Jadi saya nak pimpin dia kembali ke jalan yang benar. Kalau bukan saya, siapa lagi? Even mak ayah dia pun tak tau. Hanya saya yang tau luar dalam suami saya.

Saya tidak membetulkan dia tapi saya bimbing dia untuk pilih jalan yang mana. Hanya dia yang layak buat Keputusan untuk diri dia sendiri. Saya anggap ini ujian untuk saya jadi lebih kuat. Dan peluang untuk saya lebih menyayangi diri saya.

Sekarang saya hanya fikir nak bina kerjaya saya, jadi orang yang lebih baik, bergaji lebih tinggi, lebih Berjaya dari sekarang. Sekiranya saya dikhianati sekali lagi, saya akan melangkah keluar dari rumah tangga ini dengan senyuman bukan dengan air mata.

Adakah masih ada cinta?

Masih cinta tapi tidak lagi 100%. Saya lebih cintakan diri saya sendiri dan anak-anak. If one day anak-anak dah ada kehidupan sendiri, saya ingin terus Bahagia dengan diri saya sendiri.

Saya tidak lagi meletakkan sepenuh kepercayaan pada suami saya. Ada saja ruang untuk saya curiga dan berjaga-jaga. Inilah bayaran yang perlu dia bayar atas perbuatan mengkhianati cinta dan kepercayaan saya. Dan suami juga akui, dia perlu teruskan hidup dengan kenyataan yang pahit ini.

Setelah semua ni berlaku, saya bawa suami fikir semula matlamat hidupnya. Apakah yang ingin dia capai dalam kehidupan ini? Untuk apa hidup? Untuk dapat redha Allah atau menikmati manis dunia yang sementara? Bercinta secara haram memang nikmat tapi kesannya sangat buruk.

Mungkin dia akan bertemu Bahagia yang lain dengan Wanita lain, tapi dia akan menghancurkan hidup anak-anaknya.

Sekiranya saya bukan lagi Wanita dambaan syurga buat dirinya, saya minta izin lepaskan dengan cara baik tanpa perlu melalui episode curang, tipu dan bermesej dalam diam. Saya sedia undur diri dengan cara paling terhormat kerana saya tahu, hati manusia tak akan selamanya cinta, sayang dan tertarik pada yang satu.

Perasaan ‘numb’ yang Allah berikan sebagai jawapan tahajjud saya adalah kekuatan untuk saya berdiri teguh dengan kata-kata ini. Saya tidak lagi mengharap dan mendambakan cinta suami. Dia nak cintakan saya seberapa banyak terpulanglah. Saya akan terus berkhidmat dan menjadi isteri solehah dalam rumah tangga ini.

Seandainya perkhidmatan saya sudah tidak lagi diperlukan, saya dengan rela hati akan keluar dari perkahwinan ini. Dan saat itu saya ingin jadi Wanita Bahagia dan anak-anak melihat kebahagiaan dalam perpisahan bukan sebuah kepahitan dan pengkhianatan.

– Raudhah Solehah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

8 Comments

    • batu api. sedia maklum kan ape tindakan confessor jika dicurangi lagi?

  1. Salam,
    Satu je nak tanya, suami puan mmg x malu ke pakai kete bini lepas tu berbangga depan orang?

    Ada kawan pompuan saya (cik S) ambil keputusan x jadi kawin ngan sorang mamat A gara-gara mamat A ni suka betul tanya dia bila ayah cik S nak pencen (keje gomen). Dan lagi, Mamat A siap ckp, x pyh la dia beli kete after mereka nikah. Cukup pakai kete cik S je (kete ni ayah cik S belikan betul2 lepas grad. so cik s pakai gi kerja).

    Saya yg dengar citer cik S pun dah geram apatah lagi baca citer puan. Puan sanggup ikat perut bersengkang mata hanya demi nak jaga kebajikan keluarga. Saya doakan puan terus kuat dan bersandar pada Allah. Ingat puan, tugas isteri bukan bimbing suami tetapi sekadar mengingatkan.

    Saya doakan puan tak lagi mempunyai keinginan untk menyakiti diri puan atau terfikir untuk bun.diri. Moga Allah jaga puan dan keluarga puan. Lastly, saya doakan suami puan betul2 insaf dan sentiasa bersyukur kerana diberi peluang kedua.

  2. I feel u sis
    Kakak telah melalui fasa itu
    Kakak kuat hanya sebab anak2

    Betul orang kata
    Kalau cari mesti jumpa
    Tapi kalau buat benda tak betul belakang bini mmg Allah akan tunjuk

    Kebanyakan suami mmg mcm ni
    Depan bini i love u i miss u
    Belakang bini boleh duk bagi love Bagi flying Kiss kat bini orang
    Nak test market konon
    Lupa anak bini kat rumah
    Lupa umuq dah tua
    Penyakit mcm2
    Anak berderet
    Hutang berlambak

    Kalau dulu mmg Kakak kata i love u till jannah
    Sekarang ni cukup
    I love u lillahi taala

    Kakak maafkan dia kali ni
    Tapi tidak jika kantoi lagi

    Kakak juga sudah bersedia Kalau dia memilih yg lebih muda sexy n manja.
    Kakak tak rugi apa2
    Dia yg akan menyesal tak sudah

    Semoga Allah mudahkan urusan sis.

    • Betul kak,, saya tak pernah korek pun apa yang dia buat selama ni. Percaya dia 100%. Tapi Allah nak tunjuk tu sekejap je dan Allah londehkan semua depan saya satu persatu. Saya x perlu hantar spy ke pasang recorder ke. Malam bulan Ramadhan dia kantoi.

      Saya tanya, kalau x kantoi ni agaknya sampai bila-bila la dok tipu saya, dok mesej cintan cintun dengan perempuan lain? Dia jawab, dia lega kantoi sekarang sebab dia x tau sampai bila lagi dia nak terus-terus tipu saya. Dia nak stop dah sebelum kantoi tapi dia kata nafsu dia nak teruskan lagi. Itulah manis yang syaitan bagi dok hasut suruh berakhlak buruk dengan isteri. Allah x izin benda tu berlaku tu yang kantoi dengan saya.

  3. Semoga sis terus tabah hadapi dugaan dan cubaan hidup. Apa pun jd JANGAN BERHNTI KERJA. Nanti apa2 jd naya awak. Nk bagi tips kat sis, lepas ni kalau dia bt pasal lg jngn teragak2 untuk p ke HR ofis dia dan report suami main kayu 3 dngn client/coworker. Silap hri bln dua2 kena tindakan or kena buang kerja.. as untuk betina tu, boleh buat aduan polis atas aduan gangguan perosak rumah tangga beserta bukti. Yg ni padu silap hri bln denda 5k + penjara 3 thn. Ramai org tak tao bnda ni. Nnti bleh guggle cri. Semoga membantu.

  4. Terima kasih atas nasihat dan kata-kata semangat. Betul pergantungan saya sekarang pada Allah je. Saya x habis cerita bab kereta tu. Saya x tanya pulak dia malu ke x pakai kereta bini tapi show off ngorat perempuan lain macam kereta sendiri. Tapi Allah nak tunjuk dekat dia, kereta tu kerap rosak. Pernah tersadai di bengkel lebih sebulan dengan kos repair hampir 20k. Walaupun masa tu masih dalam warranty tapi sakit juga la memikirkan kereta yang elok yang kami ada tu kena masuk bengkel.

    Akhirnya kami jual kereta tu dan beli kereta yg lebih kecil dan x teruk saya nak membayarnya. Lepas peristiwa saya tau dia ada scandal tu benda pertama yang dia sebut, dia nampak teguran Allah kat dia melalui kereta tu. Dia kata banyak kali dia cuba buat benda x elok (ada yang berjaya buat ada yang tidak) dengan kereta tu tapi selalu sangat lepas tu kereta tu rosak la buat hal la. Mungkin sebab itulah dia rasa kuat nak jual kereta tu. Kerana kereta tu dia jadi lupa diri, menunjuk-nunjuk, bangga boleh tayang kat perempuan lain.

  5. Akak , saya rasa mcm baca cerita sendiri . Nak kata maafkan tu tak tau la ikhlas ke tak .Tapi untuk melupakan memang susah . Semoga akak terus kuat ya . Hug

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *