Isteri dan Ibu: Siapa Perlu Diberi Keutamaan?

Assalamualaikum Admin, terlebih dahulu Lampu Jalan nak ucapkan terima kasih kepada admin sebab sudi siarkan confession saya, sebenarnya confession ini juga saya tujukan kepada posting “Aku Si Tanggang” (https://iiumc.com/aku-si-tanggang/). Harap mesej ini sampai kepada confessor dan semua para lelaki yang bergelar suami dan anak lelaki.

Kehidupan merupakan suatu pilihan yang dibuat berdasarkan amalan ilmu yang baik dan penggunaan akal yang berkesan. Namun samaada pilihan itu tepat atau sebaliknya bergantung kepada kebolehan seseorang individu itu menilai sesuatu tanpa membelakangi peraturan dan ketetapan Allah S.W.T. Dalam memahami kehendak hidup, sebagai manusia yang perlu memakmurkan alam, kita harus sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan terutama berkaitan dengan amalan keagamaan terbaik bermatlamatkan meningkatkan tabungan pahala sebagai bekalan di akhirat sana.

Bekalan ini termasuklah kepentingan untuk kita bijak memilih, antara dua insan yang penting dalam hidup kita samaada sebagai seorang suami mahupun sebagai seorang anak. Timbul persoalan, antara kita sebagai suami dan anak, fungsi kita yang manakah perlu didahulukan? Memilih mengutamakan isteri atau ibu? Siapakah isteri dan siapakah ibu?

Isteri merupakan insan yang kita nikahi dengan lafaz akad atas nama Allah S.W.T. bagi memulakan munakahad kita sebagai umat Islam dalam memenuhi salah satu tuntutan Allah S.W.T. dalam beragama iaitu berkahwin dan berpasangan. Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan isteri sebagai perempuan yang menjadi pasangan hidup kepada seorang lelaki. Perkahwinan pula ialah akad yang menghalalkan kehidupan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram untuk hidup bersama dengan ditetapkan hak-hak dan tanggungjawab mereka antara satu sama lain. Ibu berdasarkan definisi Dewan Bahasa dan Pustaka pula bermaksud panggilan kepada wanita yang melahirkan seorang anak samaada lelaki mahupun perempuan.

Persoalan yang sering membuatkan seorang lelaki keliru ataupun tersilap perhitungan ialah apabila hendak memilih untuk mengutamakan samada isteri atau ibu. Kesilapan dalam pemilihan ini boleh menjatuhkan seorang anak lelaki itu ke lembah derhaka. Berdasarkan temubual saya dengan salah seorang Imam Masjid Jamek Kemaman, isu keutamaan melibatkan isteri dan ibu perlu difahami dengan jelas oleh setiap lelaki. Isu ini seandainya gagal difahami bakal menyebabkan seseorang lelaki itu bakal dilaknati dan dimurkai Allah S.W.T.

Jika dilihat dari sudut hak isteri dalam perkahwinan, perkara utama yang melibatkan hak isteri ialah berkaitan isu nafkah zahir selain nafkah batin. Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Urutan nafkah yang dikenali sebagai nafkah wajib ini adalah bermula dari diri sendiri, isteri, anak, bapa, ibu, cucu, datuk, saudara dan ahli keluarga berikutnya. Urutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menegaskan;

“Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. Al-Jami’ As-Saghier, hadis no. 46). Imam An-Nawawi mengulas dan menyimpulkan hadis ini dengan meletakkan pelaksanaan tanggungjawab pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut dalam hadis tersebut. (Syarah Soheh Muslim, Juz 7, Kitab Az-Zakah, Bab Al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Keutamaan isteri dalam pemberian nafkah wajib berbanding ibu ialah makan minum sehingga kenyang sebanyak dua kali sehari, pakaian sebanyak dua persalinan setahun dan tempat tinggal yang selesa. Walaupun begitu, nafkah perhiasan dan perubatan masih di dalam perbahasan ulamak. Apa sahaja nafkah yang selepas keperluan tersebut tidak lagi wajib diberikan oleh suami melainkan atas ehsan sahaja. Namun andai keperluan isteri melibatkan pakaian adalah dalam keadaan mendesak bagi menutup auratnya akibat pakaian yang sedia ada telah rosak dan tercemar, wajib ke atas suami memenuhi keperluan itu sehingga pakaian yang ditambah menutup aurat isterinya.

Dari sudut keutamaan ibu pula, keutamaan ini adalah dari sudut berbuat baik. Seorang anak lelaki mempunyai tanggungjawab berbuat baik kepada ibubapanya sepanjang hidupnya walaupun telah beristeri. Tanggungjawab ini tiada had masa dan kekal sehingga dia mati. Abu Hurairah R.A. telah meriwayatkan sebuah kisah berkaitan seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah S.A.W. dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda Rasulullah S.A.W. menjawab: “Ibu kamu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayah kamu.”. Di sini jelas membuktikan keperluan dalam keutamaan berbuat baik adalah kepada ibubapa terlebih dahulu sebelum orang lain termasuk isteri.

Persoalan keutamaan bagi isteri merujuk kepada keperluan nafkah wajib hidupnya manakala permintaan yang selain dari keperluan itu adalah ehsan dan selagi seorang suami tidak memenuhi nafkah keperluan anak-anak dan ibubapanya, segala kehendak isteri selain dari nafkah wajib adalah tidak wajar dipenuhi. Dalam soal berbuat baik pula, antara isteri dan ibu, ibu perlu diutamakan berdasarkan hadis yang telah dinyatakan di atas. Keperluan berbuat baik ini adalah tiga kali ganda lebih utama dari ayah. Sesudah ayah, barulah persoalan hak berbuat baik kepada isteri dan tanggungan-tanggungan lain boleh diteruskan. Keperluan berbuat baik kepada ibubapa ini kekal tanpa had dan sempadan.

Perlu diingat, dalam melaksanakan tanggungjawab samaada sebagai seorang suami kepada isteri atau sebagai seorang anak kepada ibubapa, seorang lelaki harus bijak dalam menguruskan tanggungjawab itu. Setiap orang perlu tahu batas ketaatan yang telah ditetapkan agama terutama dalam soal keutamaan melaksanakan tanggungjawab samaada kepada isteri mahupun ibu. Seandainya setiap perbuatan itu melanggar syariah dan memudharatkan, maka boleh engkar. Ini dapat dilihat dari hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkanoleh Imam Ahmad, “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam hal kemaksiatan kepada Allah Azza wa Jalla.”. Selain itu Imam Bukhari ada meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda bahawa “Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah dalam hal yang ma’ruf.”. Oleh itu, sekiranya permintaan ibu menyebabkan keburukan di pihak isteri atau permintaan isteri menyebabkan keburukan di pihak ibu, seorang lelaki wajib engkar.

Secara kesimpulannya, isu berkaitan keutamaan antara isteri dan ibu terletak kepada kedudukan isteri dari segi keperluan nafkah wajib dan ibubapa dari segi keperluan berbuat baik. Dua perkara yang berbeza namun mempunyai impak yang besar kepada amalan dan punca keberkatan serta keredhaan Allah S.W.T. kepada seorang lelaki yang bergelar suami dan anak.

Seorang anak lelaki yang juga suami perlu bijak dan sentiasa mendalami ilmu berkaitan pelaksanaan tanggungjawab dirinya terhadap isteri, anak-anak, ibubapa serta sesiapa sahaja yang berada di dalam lingkungan nafkahnya. Apa yang utama ialah mencari keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T. dalam melayari hidup bukan menumpukan kepada kebahagiaan sesetengah pihak semata-mata dengan membelakangi hak dan tanggungjawab ke atas sesetengah pihak yang lain.

Semoga mendapat manfaat.

Yang resah dengan dunia lelaki akhir zaman,

– Pakcik Lampu Jalan

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *