Isteri Derhaka

Aku Maya. Berusia akhir 20-an, sudah berkahwin dan punyai seorang anak berusia setahun. Suami ku Man, bekerja di sebuah organisasi kerajaan dan berusia awal 30-an, berpangkat rendah. Anak aku Jelita, berusia setahun.

Ini cerita tentang aku, seorang isteri derhaka. Aku harap admin akan hide identiti aku kerana aku tidak mahu aib suami ku tersebar.

Aku berkenalan dengan Man kira-kira 9 tahun sebelum kami berkahwin. Aku seorang yang bercita cita tinggi, lulusan ijazah di sebuah universiti dan mempunyai beberapa sijil pengiktirafan antarabangsa dalam bidang professional.

Seawal usia 23 tahun sudah mampu membeli sebiji rumah berharga 300k dan sebuah kereta buatan malaysia.

Aku bekerja di sebuah international company dengan gaji yang agak lumayan, memegang jawatan eksekutif.

Gaji ku semestinya lebih tinggi dari Man. Manakala Man hanya lah seorang lelaki biasa dengan level pendidikan SPM.. Aku sangat sayangkan Man.. Ya.. Terlalu sayang.

Hari pertama aku di rumah keluarga Man selepas kami menikah, ayah Man telah menceritakan padaku tentang bekas kekasih Man.

Ayah Man memuji bekas kekasih Man yang merupakan seorang anggota perubatan berpangkat rendah. Aku tahan hati cemburu. Aku isteri Man. Dan Man sangat baik dengan ku.

Namun Man berubah semasa Jelita di dalam kandungan. Man tidak suka aku meluahkan tekanan kerja padanya. Man marah setiap kali aku cuba berkongsi masalah di pejabat.

Man, sewaktu itu sangat menggilai permainan game online sehingga tidak peduli tentang anak dalam kandungan. Disebabkan itu, kami sering bertengkar dan berakhir dengan tangisan ku.

Man tak pernah memujuk ku. Ketika aku muntah kerana morning sickness, tidak pernah dia berusaha untuk menenangkan loya ku, malah Man kata dia amat geli dengan muntah ku.

Setiap check up, aku pergi sendiri tanpa Man. Aku tertekan dan sangat sedih sehingga setiap malam, tidur ku ditemani air mata. Namun Man tidak pernah peduli.

Ye lah. Dia sedang bermain game, mana mungkin ada masa untuk aku.

Aku menghadapi komplikasi ketika bersalin sehingga memberi effect kepada Jelita. Menurut doktor, Jelita berkemungkinan tidak boleh hidup secara normal.

Ia memberi tekanan kepada ku sehingga aku disahkan menghidap penyakit meroyan dan depresi. Aku di pantau oleh pakar psikiatri dan diberi ubat penenang. Aku sering kali menyalahkan diri ku sendiri di atas apa yang menimpa Jelita.

Bulan berganti, Jelita berusia 4 bulan. Man kantoi mengambil barang terlarang. Alasan yang diberikan kerana dia stress dengan masalah kesihatan Jelita. Aku terduduk, menangis semahunya.

Aku telefon ibu mertuaku untuk meminta tolong. Namun hampa. Ibu mertua ku menyuruh aku menyelesaikannya sendiri. Man berjanji untuk berhenti. Beberapa bulan selepas itu, Man kantoi pula menonton video porno.

Hancur luluh hati ku. Apakah kurangnya aku? Aku bukan mahu perasan. Namun aku punya rupa sehingga menjadi rebutan lelaki lelaki di pejabat walaupun tidak pernah sekali aku melayan.

Cinta dan kasih ku begitu utuh buat Man. Tapi ini yang Man balas padaku.

Sejak itu, aku menjadi sangat kasar dengan Man. Respect yang aku pegang selama ini telah punah. Aku sering memaki Man dengan bahasa kesat. Aku seakan benci dengan Man.

Aku tidak pernah berkira soal duit. Aku tidak pernah berpaling tadah dengan Man. Tapi aku terasa dikhianati oleh Man.

Nafkah zahir ku tidak pernah aku tuntut. Man akan beri ikut suka. Paling banyak sebulan RM50. Aku sering menyuruh Man menjaga solat. Namun aku dimarahi kerana kuat membebel. Man benci mendengar suara ku.

Kerana mulut ku yang semakin lantang terhadap Man, aku pernah dipukul oleh Man. Terperosok berbenjol kepala dihentak kedinding, di sepak terajang dan ditampar.

Tapi aku seperti kebal. Pukulan Man tidak berbekas dihati ku. Kerana apa yang lebih mengecewakan bila janji Man untuk berhenti mengambil barang telarang hanya tinggal janji. Begitu juga porno.

Kerana masalah kesihatan Jelita, aku kini telah menjadi suri rumah sepenuh masa. Aku mengorbankan cita cita ku demi menjaga Jelita sepenuh masa.

Kehilangan kerjaya menambah luka dihatiku. Namun, aku tidak mahu menyesal dikemudian hari kerana mengabaikan Jelita.

Aku mahu melihat Jelita sihat, berlari seperti kanak kanak yang lain. Aku pernah meminta cerai dari Man. Namun Man tidak mahu melepaskan aku.

Aku tahu, aku boleh minta fasakh. Namun mengenangkan Jelita yang sangat rapat dengan Man, aku batalkan niat ku.

Hubungan aku dan Man tidak ubah seperti housemate. Tiasa kasih sayang dalam berumahtangga. Man seperti selesa dengan hubungan sebegini.

Aku melayani Man selayaknya sebagai suami. Namun, kekasaran aku dengan Man seperti sudah sebati. Aku seperti hilang hormat pada Man.

Aku terlalu sedih. Begini kah pengakhiran perkahwinan ini? Aku tidak mahu menjadi isteri derhaka. Ia bukan impian ku. Namun, hati aku sepertinya sudah terlalu hancur. Aku tidak pasti bagaimana pengakhirannya.

Doakan aku lebih sabar dalam menempuhi ujian hidup. Sesungguhnya, Allah itu maha baik.

Pasti ada sebab mengapa aku diuji dengan Jelita dan Man. Tolong doa kan Jelita sembuh dan jauh dari penyakit celebral palsy. Tolong doakan Man menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab.

Aku sangat merindui Maya yang dahulu. Maya yang ceria dan positive. Doa kan aku.

– Maya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *