Assalamualaikum. Terima kasih admin sudi kongsikan cerita saya. Pertama sekali nama saya Goku, maaf jika nama ini terdengar agak lucu. Sudah pasti bukan nama sebenar.
Saya sudah berkahwin dan dikurniakan seorang anak yang comel. Saya berumur 30-an. Berkerja di salah satu sektor kerajaan. Isteri saya pula berumur 20-an dan seorang suri rumah.
Saya menulis cerita tentang keluarga saya diruangan ini disebabkan saya terbaca banyak nota dari confessor yang bagi saya memberi banyak bermanfaat, juga seringkali terbaca nasihat-nasihat berguna dari para pembaca diruangan komentar IIUM-Confession ini.
Saya sebenarnya tidak pernah berkongsi kepada sesiapa perihal keluarga saya, mujur ruangan ini memberi peluang kepada para confessor untuk sembunyikan identiti mereka.
Oleh sebab itu, saya merasa agak selamat sedikit jika saya meminta nasihat dan cadangan melalui medium ini.
Entahlah kebelakangan ini saya begitu aktif mengikuti tulisan para confessor dekat ruangan ini. Mungkin juga disebabkan dasar kerajaan kini yang memberi peluang berkerja dari rumah kot, menyebabkan saya banyak masa mengikuti ruangan ini.
Berbalik kepada cerita keluarga saya. Saya sangat menyayangi isteri saya, kasih sayang itu semakin bertambah semenjak kami dikurniakan cahaya mata oleh ilahi. Saya sedaya upaya cukupi keperluan harian mereka atau nafkah zahir.
Soal nafkah batin termasuk “Bersama” inshaaAllah saya bagi jika dia minta. Soal “Bersama” saya kena bagitau sebab diakhir perenggan nanti risau jika ada pembaca yang salahfaham.
Walaupun terkadang tu saya culas juga seperti tidak dapat membantu menyediakan makan minum tengah hari disebabkan tertidur, terlupa bantu isteri cuci dan sidai pakaian,
Terkadang tu sengaja malaskan diri untuk bersihkan rumah, akan tetapi saya berusaha berubah supaya keculasan seperti ini tidak berulang.
Isu keluarga saya macam ni. Ketika itu, saya dengan isteri masih dalam status bertunang. Hubungan kami bukan atas pilihan keluarga, manakalah mak-ayah pula mengikut sahaja pilihan saya. Setelah mengikat janji untuk bernikah kamipun sah menjadi tunang.
Biasalah adat bertunang, kita diajarkan oleh para ustaz-ustazah kononnya ujian betunang bukan calang-calang. Syaitan pangkat jenerel apa segala datang menghasut, jadi saya banyak bersabar.
Isunya isteri saya Ketika itu, terlalu kerap meminta putus, bahkan sehingga ketahap mengugut.
Pernah sekali saya cabar dia untuk putuskan hubungan tunang, namun selang sehari dua kami berbaik semula. Begitulah rutin kami sepanjang bertunang, gaduh baik gaduh baik.
Syukur Alhamdulillah kami berjaya harungi dunia pertunangan dan selamat diijab kabul. Soal gaduh-gaduh sebelum ini saya lupakan kerana saya yakin semua itu bisikan syaitan.
Setelah kami berkahwin, ingatkan isteri saya boleh berubah, namun sebaliknya, dia semakin giat meminta cerai, jika timbul salahfaham, mulalah isteri saya bangkitkan soal cerai.
Terkadang tu saya stress dan tindakan saya pergi keluar rumah dan tidur di hotel berdekatan, sebab malas nak bertekak mulut dengan isteri sendiri.
Saya tak nak la terikut-ikut perangai muda saya ketika bertunang, diugut putus kemudian saya cabar dia untuk putuskan pertunangan.
Tidak serupa hukum ketika sudah bernikah, Saya tahu jugalah sedikit sebanyak berkenaan hukum-hakam pernikahan ini. Sekali lafaz cerai tanpa sengaja hukumnya jatuh talaq satu. Jadi saya banyak berhati-hati untuk soal ini.
Selang setahun pernikahan kami, isteri saya disahkan hamil/ mengandung. Pada tahun kedua pernikahan, alhamdulillah selamatlah dilahirkan putera pertama kami.
Sepanjang Sembilan bulan hamil, isteri saya tidak banyak ragam, tidak pemarah seperti sebelum ini,
Terkadang dia sedih yang saya pun tidak tahu apa puncanya, dan terkadang nak bermanja selalu, nak makan benda manis, pedas dan masam sehinggalah selamat melahirkan ketika PKP 1.0.
Sepanjang hamil/ mengandung, Ya Tuhan tidak dapat digambarkan bertapa bahagianya hidup ini kerana isteri tak pernah bawa bertekak, malah mengharap sepenuhnya kasih sayang daripada saya.
Namun segalanya berubah selepas melahirkan anak kami, walaupun tidak lagi meminta cerai, namun setiap kali terdapat salah faham, dia seringkali cabar saya untuk berpoligami seperti,
“awak boleh berkahwin lain”, “kalau nak carilah perempuan lain”, “saya ada cadangan perempuan untuk awak”.
Sebenarnya saya tidak setuju berpoligami akan tetapi tidak pula menolak hukum berpoligami. Memandangkan isteri saya sihat dan dapat melahirkan anak dengan selamat.
Namun, saya stress jika selalu dicabar bukan-bukan macam ni. Takkalah nak bermalam di hotel seperti sebelum ini, nanti dituduh pula tidak bertanggungjawab disebabkan biar isteri dengan anak di rumah.
Mohon rakan-rakan pembaca jika ada cadangan dan nasihat yang berkesan untuk tangani masalah seperti ni.
– Goku (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit