Terima kasih ku ucapkan buat pihak admin yang sudi menyiarkan artikel luahan rasa dan perkongsian pengalaman kisah benar hidupku selama 5 tahun bersama seorang suami yang mempunyai penyakit ‘Major Panic Disorder’.
Kami berkahwin atas dasar suka sama suka dalam tempoh perkenalan yang singkat. Sewaktu berkenalan, kami masing-masing baru diawal tempoh memulakan perniagaan dalam bidang masing-masing. Kami bukan seperti pasangan bercinta lain yang keluar ke sana ke mari makan minum shopping. Apabila dia meluahkan hajatnya untuk memperisterikan ku, terus aku minta dia bertemu kedua ibu bapaku. Dia pilihan istikharahku. Tindakannya pantas, sebulan kemudian kami bertunang dan 2 bulan seterusnya kami diijabkabulkan.
Bermulalah detik kehidupan sebagai seorang isteri. Bisnes aku berkembang pesat dan suami masih menjalankan bisnes dengan rakannya. Apabila aku tidak cukup tangan menguruskan bisnes ku, aku meminta bantuan dari suami untuk membantu ku dan aku yang mencadangkan suami berhenti menguruskan bisnes orang lain yang juga rakan baiknya semasa diuniversiti. Pendapatku, rakannya hanya memberi dia gaji kecil dan bukan perkongsian untung untuk usaha keras dia.
3 bulan selepas suami membantu bisnesku, bisnes ku semakin lancar. Kami direzekikan seorang cahaya mata selepas 2 tahun berkahwin. Selepas aku memujuk dan menangis kerana masih tiada anak walaupun lama sudah berkahwin. Suami mula menunjukkan kelainan. Dia mula tidak berminat membantu menguruskan bisnesku. Banyak berada dirumah,layan fb dan tv. Suami ku menjadi terlalu kerap tidur. Tidurnya pada setiap kali selepas solat Subuh, Zohor,Asar dan Isyak. Aku selalu sengaja tidak mengejutkan suami bangun untuk solat selepas penat dan lali berpuluh kali mengejutkannya diawal waktu. Saat-saat akhir waktu solat, dia akan bangkit dengan sendirinya. Jika di rumah ibu bapa suami, suami seaman bermotivasi bangun Subuh awal dan 5 waktu ke masjid. Tiada tidur yang panjang.
Aku menjadi semakin garang dan bersuara tinggi dengan suami sejak habis tempoh pantang. Berlaku banyak adegan aku menghempas pintu dan menjerit kepadanya. Aku sebenarnya penat, bisnes, segala urusan rumah dan anak diuruskan oleh aku sendiri,suami hanya tidur,tidur,tidur. Segala barang dapur makan minum kami, segalanya ditanggung oleh aku. Sejak berkahwin hingga kini, suami hanya memberi nafkah rm500 sahaja ketika suami bekerja dengan rakannya. Kereta,bil dan sewa rumah segalanya ditanggung oleh aku. Berlalulah masa dengan rutin suami yang banyak tidur sehinggalah anak kami berusia 2 tahun. Aku mula mengugut mahu bercerai. Tidak tahan hidup tanpa nafkah zahir batin dan tubuh kepenatan selepas bekerja. Kerana suami takut dan malu pada keluarganya jika kami bercerai,lalu dia bertindak berulang-alik berubat ke pusat perubatan islam disekitar tempat tinggal kami. Katanya, dia sendiri tak tahu mengapa jadi kuat tidur.
Hubungan aku dengan keluarga mertua juga menjadi tidak baik. Setiap kali aku pulang ke rumah mertua, aku jadi sinis melihat suami berlagak normal dihadapan mereka. Dengan mertua yang selalu bertanya tentang duit dan bisnes,aku jadi lemas berbual dengan keluarga mertua. Hanya aku yang tahu sikap sebenar suami yang tidak bertanggungjawab dengan nafkah zahir dan batin. Aku jadi tidak dapat dengan ahli keluarga suami ku. Aku jadi muak, tidak mesra dan hanya menyudahkan tugasku sebagai ibu menjaga anak ku. Kami memang tidak duduk lama dirumah mertua. Suami pun tahu aku rimas dan lebih selesa di rumah ibu bapa ku sendiri. Di rumah ibu bapa ku, masalah ku jadi hilang dan aku jadi lupa masalah ku dengan suami. Di rumah ibu bapaku, aku memberi alasan suami banyak tidur kerana penat memandu jauh.
Aku semakin lali dengan kehidupan rumahtangga sebegitu. Selepas tempoh 3 tahun aku tidak diberi nafkah batin, aku mengugut untuk berpisah lagi. Stress,seperti suami sudah tidak menyayangiku lagi. Aku hanya isteri normal yang ingin dibelai manja dan ada masanya memerlukan layanan di atas katil oleh suami. Namun, hanya deraian air mata yang berlaku pada malam-malamku. Aku malu, segan,rasa rendah diri dan kekok untuk meminta hubungan tersebut. Lebih-lebih lagi dengan perubahan tubuh badan ku yang berisi selepas bersalin. Apabila aku bertindak mengugut sekali lagi suami untuk bercerai, suami mula ke hospital selepas langsung tiada perubahan berubat dipusat perubatan islam. Terkedu aku, dia disahkan mengalami ‘Major Panic Disorder’ oleh doktor psikiatri. Termenung aku, apabila tahu aku diuji dengan suami yang berpenyakit psikiatri sebegini.
Baru lah aku faham, manusia yang berpenyakit ini kurang fungsi alat nafsunya, terlalu mudah sangat panik,letih, sering pening kepala walaupun masalahnya cukup sedikit. Jika isteri masam muka kerana banyak masalah pun mereka akan terganggu teruk. Jadi, berkekalan beginilah keadaan aku sebagai seorang isteri yang merahsiakan penyakit suami dari pengetahuan sesiapa waima keluarga suami kerana perasaan malu dan menjaga maruahnya. (Tak diberi nafkah zahir batin pun jaga maruah suami lagi..hmmm,sampai bila)
Aku masih boleh bertahan hingga kini untuk menanggung hidupnya,makan minum, rumah dan seluruh perbelanjaan serta urusan rumah tangga kerana pendapatan bulananku sebagai ahli perniagaan ialah rm20k. Orang luar melihat dia lelaki yang segak,berjaya. Bisnes yang aku hadap hari-hari masalahnya, suami yang dapat nama. Kononnya, suami ku pandai urus bisnes. Namun,hanya Tuhan dan aku mengetahui kebenarannya. Betapa banyak peluh keringat,sendi ku sakit, pecah kepala memikirkan isu bisnes ku sehari-hari hingga ke tahap sekarang. Kadang kala apabila nafsu ku sebagai seorang isteri hadir untuk dibelai dan dimanja aku jadi teresak-esak sendirian. Suami memang tidur berasingan sejak dulu,alasannya panas dan mahu aku menemani anak ku. Walhal,rumah kami beraircond. Dalam esakan,memang aku selalu niat untuk bercerai dan kalau ada jodoh lain, kahwin dengan lelaki lain.Tapi, apabila lihat wajah suci anak ku, buat ku terbantut. Aku tak mahu anak ku ada ibu bapa yang tinggal berasingan dan terbantut perkembangannya kerana emosi terganggu. Hidup untuk anak je sekarang ni.
Kepada pembaca budiman, aku mohon kalian doakan aku untuk terus bersabar dan perbanyakkan ibadah. Memang ubat aku untuk kawal nafsu ku ialah dengan berpuasa sunat je sekarang. Telinga memang dah dipekakkan kalau orang dan ahli keluarga bertanya,bila nak tambah anak,dan ada yang memarahi aku dengan kata-kata sinis yang aku merancang kehamilan. Tuhan sahaja yang tahu dalam hati ku yang aku berteriak mahu memberi tahu masalah suami ku yang tak mampu beri nafkah batin. Mohon doakan semoga suami ku akan sembuh juga. Moga rumahtangga kami akan berubah bahagia dan kekal hingga ke syurga. Moga jadi asbab aku ke syurga tanpa hisab dengan ujian menjadi isteri kepada pesakit ini.
Jika ada kalangan pembaca yang turut menjadi Isteri kepada Pesakit ‘Major Panic Disorder’ ini,mohon berkongsi nasihat agar aku tidak meronta-ronta pilu keseorangan. Terima Kasih admin. Terima Kasih Allah,bagi lagi aku kekuatan.
– Hamba Yang Diuji
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit