Isteri Tak Memasak Dan Tak Mengemas

Assalaumualaikum semua, harini aku tergerak untuk menulis sesuatu yang telah lama aku pendam dan simpan dalam hati aku.

Aku seorang lelaki yang telah berkahwin selama hampir 10 tahun. Aku direzekikan untuk berkahwin dengan seorang wanita yang sebaya dan dianugerahkan 2 orang anak.

Perkahwinan kami atas dasar suka sama suka ketika kami bersama2 melakukan hobi kami satu masa dulu.

Aku tergerak untuk menulis disini setelah aku berborak dengan seorang kawan aku yang bujang, dimana dia meluahkan perasaan yang dia risau untuk berkahwin.

Kerana pada pandangan dia semua perempuan yang dia jumpa merisaukan. Dia seorang yang berpendidikan dan berkerja bagus, tetapi rezeki nya jodoh belum tiba.

Aku membiarkan dia untuk meluahkan perasaanya dan menunggu masa untuk aku pula membalas tentang pandangan aku sebagai seorang yang telah berkahwin.

Isteri aku adalah seorang guru, ketika kami berjumpa pada awalnya aku tidak menyangka bahawa dia adalah seorang guru bahasa inggeris. Aku lihat dari awal seperti seorang ustazah.

Peribadinya membuatkan aku tertarik, dan kurang dari 2 tahun setelah hari pertama kami berkenalan, kami telah bernikah.

Pada awalnya aku mempunyai sangkaan yang normal pada seorang perempuan, haruslah pandai masak, kemas dan teratur. Disebabkan aku dibesarkan dalam keluarga yang sebegitu.

Tetapi sangkaan aku sebenarnya kurang tepat. Setelah bernikah aku lihat isteri bukanlah orang yang hebat memasak, dan pandai mengemas rumah. Aku adalah orang yang akan membuat semua itu.

Pada awalnya aku terima dan ada kadangkala ianya menaikkan darah aku sebagai seorang suami yang sudah biasa dengan rumah kemas.

Tetapi tahun ke tahun perkahwinan, aku mulai belajar bahawa Tuhan mempertemukan kita dengan seseorang adalah untuk mencukupi sesama kita.

Aku mulai terima dan belajar, faham aturan ini dan aku redha atas perkara itu.

Dalam perbualan itu aku memulakan dengan bercerita sedikit perkara yang agak kurang senang dalam perkahwinan. Selepas itu aku memulakan perkara yang indah dalam perkahwinan.

Aku pernah diuji gagal dalam perkerjaan, dan masih lagi dalam fasa untuk bangkit. Jika bukan kerana isteri aku yang telah Tuhan anugerahkan pada aku, tidak mungkin mudah untuk aku bertahan.

Pemikiranya yang matang, memberikan kata-kata semangat pada aku telah membuatkan ujian itu mampu aku hadapi.

Dari awal perkahwinan, gaji aku tidak pernah melebihi dia, sedangkan kami berdua mempunyai tahap pendidikan yang sama, tetapi berlainan bidang.

Sedikitpun tidak pernah keluar dari mulut dia untuk merendahkan aku, dan bahkan membantu aku dalam perbelanjaan.

Ketika aku melihat kekurangan yang ada dalam diri dia, aku sebenarnya dianugerahkan beribu lagi kelebihan yang ada dalam diri dia.

Aku mungkin kemas, tetapi aku lemah dalam mengawal emosi, aku kerap risau dengan kerja aku, tetapi suara isteri aku lah yang membantu aku untuk bertenang.

Aku teringat satu titik penting ketika aku berborak dengan rakan kerja yang sama2 menghadapi persekitaran kerja toksik. Kami berdua stress, tapi aku lihat kawan aku ni seperti tiada tempat mengadu.

Aku pernah tanyakan, selain dari aku kau ada kongsi benda ni dengan siapa? Isteri mungkin?

Satu jawapan yang aku ingat adalah dia berkata, ‘aku tak boleh kongsi dengan isteri aku, nanti reaksi dia buat aku lagi stress’.

Sedangkan aku? Isteri aku lah tempat aku mengadu dan meluahkan. Dialah yang menerima segala kelemahan aku dan memberi semangat pada aku.

Jadi selepas bertahun aku berkahwin dan belajar tentang takdir hidup, Tuhan menemukan kita adalah untuk mencukupi pasangan kita.

Contohilah ibubapa kita, terima kekurangan pasangan dan sama2 membantu dalam hidup.

Pada lelaki atau perempuan di luar sana yang mungkin ada perasaan takut untuk kahwin, luahkan pada Tuhan, orang yang baik ada.

Tetapi sebelum kita inginkan pasangan yang baik, perubahan harus bermula dengan diri kita, inshaallah lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan itu juga sebaliknya.

Semoga rumah tangga pembaca semua aman harmoni dan membawa kita ke syurga, aamiin..

– Sambadi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *