Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aku Yusuf seorang suami yang telah berkahwin selama 10 tahun.
Alhamdulillah perkahwinan aku dan isteri bahagia dan tiada langsung apa-apa masalah. Isteri sangat mudah dibawa berbincang dan sangat memahami.
Jika perlu bagi rate aku akan rate kan isteri aku 9/10. Dia betul-betul hampir sempurna buat aku dan keluargaku.
Tapi ada satu perkara yang setiap hari buat aku rasa berdosa dan bersalah kepadanya.
Selain isteri aku, ada satu nama yang tidak mampu aku padam dari hati dan ingatan aku.
Sejak dari hari aku bertunang dengan isteri aku, setiap hari aku berdoa supaya Allah hapuskan nama itu dari hati aku.
Ada masa sampai aku tidak boleh tidur kerana fikiran aku tidak mampu menghakis dari memikirkannya.
Aku bangun dan solat taubat serta solat hajat supaya Allah hapus nama itu.
Aku menangis tapi kenapa sampai hari ini aku masih belum mampu melupakan terus nama itu.
Kadang ada masa isteri aku tersedar saat aku solat malam kerana dia dengar esakkan aku. Dia tanya kenapa sampai begitu aku menangis? Apa yang aku risaukan?
Allah, makin berdosa aku rasa pada isteri aku.
Nama yang tidak mampu aku buang dari hati aku itu adalah nama seorang perempuan pertama yang telah menyentuh hati aku.
Dia wanita pertama yang buat hati aku berdebar. Aku namakan dia Mawar, bukan nama sebenar.
Dia wanita pertama yang buat aku berfikir untuk mendalami ilmu agama, memperbanyak ibadah dan belajar sungguh-sungguh supaya aku dapat mengejar cita-cita.
Saat aku telah mampu untuk menghalalkannya, tiba-tiba aku bertemu dengan isteri aku.
Dia bersungguh-sungguh berusaha bertaaruf denganku dan berusaha untuk membawa perhubungan kami ke jinjang pelamin.
Manakala Mawar, aku telah hilang contact dengan dia. Media sosialnya tidak aktif. Nombornya sudah tidak dapat dihubungi. Aku tidak tahu di mana mahu mencarinya.
Silap aku juga dulu, waktu aku sedar Mawar telah mengusik hatiku maka aku cuba sebolehnya untuk menjaga ikhtilat dengannya.
Aku tidak mahu perasaan yang aku rasai saat itu menjadikan jalan kami berdua menuai dosa.
Tapi dia berusaha mendekati aku, aku terpaksa mengatakan padanya, “jika ada jodoh, pasti bersatu jua pada akhirnya”.
Selepas itu Mawar hanya akan menghubungi aku melalui whatsapp setahun dua tiga kali sahaja. Waktu hari raya dan birthday aku.
Bertahan selama 4 tahun sehingga kami sama-sama habis degree.
Kemudian masing-masing sudah sibuk untuk start up kerjaya masing-masing.
Di awal kerjaya aku, aku banyak masa berada di kawasan pedalaman yang tiada liputan line telefon. 5-6 bulan aku akan berada di pedalaman itu. Jadi kami terus hilang contact selepas itu.
Saat itulah, kehadiran isteri aku di kehidupan aku. Kami rakan sejawat sama-sama bujang dan sama-sama terpaksa berkampung di kawasan pedalaman itu.
Maka banyak masa kami bersama, kami mula kenal lebih dekat.
Pada saat itu aku hanya menganggap dia rakan sejawat sebab waktu tu memang fokus aku pada kerjaya aku tiada yang lain.
Isteri aku itu sahabat baik kepada classmate aku waktu di universiti dahulu. Jadi classmate aku telah menceritakan tentang perasaan isteri aku pada saat itu.
Apabila aku tahu mengenai perasaan isteri aku itu, buat aku tersedar. Aku telah terlalu lama abaikan satu nama di hati aku iaitu “Mawar”.
Aku mula mencari kembali Mawar. Aku cuba contact kawan-kawan yang lain untuk bertanyakan keberadaan Mawar. Kerana aku tahu dalam hati aku cuma ada Mawar.
Tapi malangnya, Mawar telah memutuskan hubungan dengan semua rakan-rakan setelah ibunya meninggal dunia.
Maklumat terakhir mengenai Mawar yang mereka ada, cumalah Mawar sedang menyambung pelajaran di Jordan.
Waktu tu, aku rasa akulah paling tidak berguna sebab ibu Mawar meninggal pun aku tak tahu. Aku tak tahu apa apa mengenai Mawar.
Aku ambil cuti 4 hari sebab fikiran aku berkecamuk rasa nak meletop.
Semasa cuti tu, aku kembali mendekatkan diri dengan Allah. Aku buat solat taubat dan solat istikharah.
Aku minta Allah berikan petunjuk dan beri ketenangan pada aku supaya aku dapat buat keputusan yang paling terbaik di sisinya.
Aku juga cuba tanya pendapat beberapa rakan-rakan yang lebih alim tentang situasi aku itu.
Maka aku telah memutuskan untuk bertaaruf dengan Hanim (isteri aku sekarang).
Lepas taaruf, aku rasa Hanim adalah wanita yang baik untuk dijadikan isteri dan teman hidup aku.
Maka aku terus merisik dan bertunang. Tapi saat aku bertunang, bayangan Mawar makin kerap hadir dalam fikiran dan hati aku.
Aku mula menjadi keliru apakah betul keputusan aku akan menikahi Hanim ini. Apakah aku betul betul mampu menghapus Mawar dari hati aku.
Lepas tu aku makin kerap melakukan solat istikharah dan jalan untuk menghalalkan hubungan dengan Hanim itu sangat mudah.
Walaupun ada beberapa kali aku cuba putuskan pertunangan tu, tapi kerana cara Hanim menghadapi kegelisahan dan ketidaktetap pendirian aku itu, akhirnya tali ikatan pertunangan tu tetap tidak putus.
Sampailah hari kami diijabkabulkan. Waktu ijab kabul itu sempat bayangan Mawar terdetik dihati aku.
Aku masih ada sedikit harapan bahawa yang berada di tempat duduk Hanim sekarang adalah Mawar.
Kemudian aku tersedar, aku mula tidak yakin untuk teruskan perkahwinan itu sebab aku takut aku akan melukai Hanim.
Tapi bila melihat wajah Hanim dan keluarganya aku fikir jika aku memberhentikan akad nikah pada saat itu, akan lebih melukakan Hanim.
Selepas itu kami mula menjalani kehidupan berumah tangga yang bahagia seperti orang lain.
Hanim tidak pernah tahu tentang kedudukan Mawar di hati aku. Jadi dia tidak pernah mempersoalkan perasaan aku pada dia. Dia percaya hanya dia yang ada di hati aku.
Tiap kali aku dengar dia berkata begitu, rasa hati aku ditoreh dengan pisau. Berdosanya aku pada dia.
Alhamdulillah dari sejak aku kahwin dengan isteriku Hanim aku tidak pernah menghubungi, dihubungi atau berjumpa dengan Mawar. Tidak pernah sekalipun.
Cuma ada beberapa kali aku lihat ada sahabat yang berkongsi tentang Mawar di facebook.
Melihat sahaja gambarnya tiba-tiba hati aku menangis ingin sekali aku berjumpa dengannya dan menyapa dia. Aku rindu rindu yang amat sangat pada dia.
Tapi aku ingat status aku sebagai suami Hanim.
Dua tiga hari aku tidak bermaya kerana menahan rindu pada Mawar.
Setiap kali nampak Mawar di postingan sahabat aku yang lain, setiap kali itu aku akan tidak bermaya dua tiga hari.
Sampai hari ini, walaupun sudah 10 tahun kenapa aku lemah sangat tidak mampu menghapus Mawar dari hati dan ingatan aku.
Apakah ini yang dinamakan cinta sejati? Apakah wujud yang dinamakan cinta sejati itu?
Aku menulis ini untuk melepaskan beban yang aku pendam mengenai perasaan aku pada Mawar sejak kali pertama getaran itu datang.
Perasaan aku pada Mawar hanya aku dan sahabat-sahabat aku yang lebih alim sahaja yang tahu.
Mawar sendiri juga tidak pernah tahu kerana pada saat aku ingin menyampaikan rasa cinta aku pada dia, pada saat itu juga lah sudah terlambat bagi aku mengungkap perasaan.
Jadi aku simpan rasa dan bebanan perasaan ini untuk aku sendiri.
Mengikuti berita “Abang Tes” membuatkan aku semakin menghargai isteri aku. Dengan luahan ini maka aku harap, aku akan lega.
Bebanannya akan beransur hilang dan bayangan Mawar akan terus pudar dari hati dan fikiranku. Untuk yang pertama dan terakhir.
“Mawar, Kehadiranmu dari kali pertama sudah buat jantungku berdegup kencang.
Sayang sekali di saat kamu memberikan hati padaku, aku menjauh. Disaat kamu menjauh aku pula yang cuba mengejarmu.
Terima kasih kerana kamu, aku mula mengejar cita-cita. Kerana kamu setiap hari aku berusaha keras untuk menghargai dan mencintai isteriku.
Dulu kita bertemu di masa dan tempat yang salah. Hari ini pula takdir sudah bukan milik kita.
Kebahagiaanmu adalah kebahagiaanku. Berbahagialah kamu, jangan biarkan senyummu tawar kerna senyummu itu paling aku cintai” – Yusuf
– Yusuf (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit