Isteri Yang Bodoh

Assalamualaikum dan hai semua. Aku sebenarnya tak tahu nak luah kat mana. Penat aku search laman kaunseling untuk aku tanya menda-menda hal ehwal rumah tangga, tapi semua macam susah nak dapat respon.

Aku harap ada la yang sudi berikan sepatah dua kata komen macamana nak stop jadi isteri yang bodoh.

Aku berkahwin dengan suami aku atas pilihan keluarga. Tahun ini masuk tahun ke 6 kami berkahwin. Dikurniakan 3 orang cahaya mata. Sebulan selepas berkahwin aku terima tawaran kerja yang pertama.

Gaji aku yang dua ribu cuma ketika itu semua aku serahkan kepada suami kerana katanya kita boleh gabungkan gaji dan beli apa yang kita suka.

Aku naif waktu itu, maka aku serahkan semuanya. Tapi alhamdulillah waktu itu, nafkah masih berjalan seperti biasa.

Masuk tahun ke 2 berkahwin, aku tukar pekerjaan. Alhamdulillah gaji naik sikit dari 2000 ke 2500. Macam biasa, aku diminta serahkan semuanya sehingga aku cuma ada seratus dua sahaja di dalam tangan.

Aku masih okay, masih bodoh dan terus positif kononnya ingin membantu suamiku membayar segala macam bil dan bayaran bulanan. Nafkah masih berjalan, jadi ketika itu, aku masih merasa cukup.

Hari ini, masuk tahun ke 6 perkahwinan, aku sudah berada di tahap yang agak selesa. Suamiku masih di tempat yang sama dengan gaji yang sama. Katanya untuk kestabilan dia harus stay disitu.

Sedangkan aku, bertungkus lumus kerja dan cari kerja yang lebih baik untuk dapat gaji yang lebih tinggi supaya aku ada baki lebih selepas semua gajiku diserahkan padanya.

Gaji aku kini mencecah 6000. Tetapi, atas dasar ehsan dan permintaan, aku terpaksa serahkan hampir kesemua gaji tersebut sehingga yang tinggal sekarang cuma 500 sahaja untuk aku.

Nafkah juga sudah tidak diendahkan kerana katanya aku sudah banyak lebihan duit. Kalau tak cukup minta padanya. Gaji aku, tapi akhirnya masih perlu meminta-minta nafkah. Kadang di marah lagi katanya aku boros.

RM500 baki gaji aku itu sajalah aku berjimat untuk ulang alik ke tempat kerja, bayar makan, parking bulanan dan apa-apa melibatkan kerja aku. Sehingga aku rasa terlalu miskin walaupun bergaji tinggi.

Bila aku suarakan hak aku, suamiku mula berang. Katanya komitmen kami tinggi. Dia perlukan sokongan dari aku untuk sama-sama bayar komitmen.

Tapi.. apa yang aku nampak, kehidupan suamiku lebih mewah walaupun gajinya separuh dari gajiku sedangkan aku, gaji tinggi tetapi diserahkan padanya.

Kadang-kadang mampu bawa bekal sahaja ke tempat kerja sementara tunggu gaji lagi. Aku dah mula rasa tak reda. Dah mula rasa diperguna.

Suami aku baik. Sangat baik. Dia banyak sediakan semua kelengkapan rumah untukku dan anak-anak. Dibelikan aku macam-macam. Tapi aku tahu semua itu datang dari gajiku juga. Tapi aku masih bersyukur. Bodohkan aku.

Ketika aku berpantang dikampung, aku masih serahkan gaji pada suamiku. Hidupnya bahagia di sana seakan lelaki bujang, berjimba bersama kawan, sedangkan aku, nak upah orang datang mengurut pun fikir sepuluh kali.

Suamiku juga pernah kantoi menyimpan video-video lucah dan berjanji tidak akan ulangi. Tetapi aku masih merasa dia masih melayan semua itu.

Tapi aku tetap berdoa supaya dia insaf dan betul-betul stop semua itu. Aku betul-betul terhina bab tu, tapi entahlah. Kenapa aku masih bodoh?

Dia juga perokok. Aku menangis merayu-rayu minta dia berhenti merokok dan aku katakan aku sanggup bunuh diri jika dia tidak mahu berhenti.

Alih-alih aku pula dipersalah. Katanya terlalu memaksa untuk dia berubah, Tak ingat Tuhan menda begitu pun nak bunuh diri. Haha.

Marah-marah aku dan mula merajuk tidak ingin bercakap denganku lagi. Last-last, aku yang minta maaf dan janji tak akan paksa apa-apa dalam hidupnya. Aku masih berdoa supaya dia berubah. Haha, bodohnya aku.

Suamiku juga ramai kawan yang bujang dan suka provok suamiku untuk cari scandal. Dasar kawan tak guna dan aku minta suamiku stop berkawan dengan mereka. Aku minta pilih antara aku atau kawan, dan dia pilih kawan. Hahaha, sekali lagi, aku bodoh.

Aku mula alami simptom depression. Rasa hidup tak berguna, kerja kuat tapi tetap miskin. Gaji banyak tapi tak guna asyik kena kebas.

Bulan lepas, aku cuma transfer separuh sahaja gajiku padanya, kataku biar aku bayar yang lain sendiri. Alih-alih disuruh aku bayar semuanya sehingga habislah gajiku. Terpaksa minta semula yang aku dah beri padanya. Sekali lagi, bodohnya aku.

Bulan ini, aku dah tekad, aku tak kan transfer apa-apa lagi. Aku bayar yang aku mahu bayar sahaja. Apa lagi bergaduh lah kami dan sehingga saat ini aku mula rasa aku hanya dimanipulasi dan diperbodohi oleh suami sendiri.

Tuan tuan dan puan puan, aku tidak tahu apa perlu aku lakukan untuk fokus tentang diri sendiri. Aku penat fikirkan dia.

Buat masa ini, bukan sebab kukuh untuk berpisah kalau semata bab gaji. Dan aku pun tak nak berpisah. Aku cuma nak cari bahagia aku sendiri.

Cuma aku tak tahu bagaimana. Aku kalau boleh dah malas nak ambil tahu apa-apa tentang suamiku, tapi fikirkan anak-anak yang sedang membesar, aku cuba juga jadi terbaik walau kadang-kadang semua itu fake cuma.

Aku dah malas nak fikir. Nak masak, nak jaga anak, nak buat kerja. Aku nak bahagiakan diri sendiri sahaja. Aku penat jadi orang bodoh dan terus diperbodoh.

Dan sekarang aku pun tak tahu apa lagi function aku sebagai isteri. Entahlah.

Next week, aku dah nak start jumpa doktor untuk depression. Aku dah penat menagis sebab jadi bodoh. Aku nak bahagia dan aku tak nak fikirkan sesiapa lagi termasuk suamiku. Dia pilih kawan. Aku pilih bahagiakan diriku.

Doakan aku kuat. Dan mohon kata-kata semangat untuk perempuan naif, bodoh dan hampir nak gila macam aku ni untuk terus berjuang untuk diri sendiri.

Aku fikirkan anak-anak sahaja waktu ini. Apa lagi aku nak harapkan. Selebihnya, aku harap aku boleh mati cepat bawa anak-anakku bersama.

Tapi jap, aku kena taubat dulu sebab ngumpat suami aku kat sini dan aku kena ganti puasa dulu. Aku harap esok-esok, kalau ditakdirkan aku mati, aku dapat mati dengan anak-anak dalam husnulkhotimah. Aamiin. Okay. Itu aje. Terima kasih guys! Doakan aku.

– Mia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *