Isteri Yang Cemburu

Assalamualaikum. Hai, nama aku Lina, baru je mendirikan rumah tangga selama tiga tahun, dikurniakan seorang anak perempuan yang comel berusia setahun.

Aku mempunyai masalah cemburu buta kepada suami, dan aku cuba sedaya upaya untuk membuang perasaan cemburu tak bertempat ni. Namun selalunya aku gagal.

Rasa cemburu adalah seperti hati yang tengah meletup letup, seperti letupan gunung di bali, tapi letup lagi hatiku ini.

Letupan di hati akan menyebabkan oksigen berkurang dan aku akan berasa sesak nafas. Sungguh tak rasional. Ya, aku sedar tak rasional. Jangan kutuk sangat.

1. Aku ingat lagi, Suami aku pernah mendermakan RM100 kepada seorang balu, punyalah cemburu sampai aku menangis dalam diam.

Suami aku tanya kenapa, aku cakap takde pape, rasa tak sihat. Ingat ye, kita tak boleh kontrol emosi, tapi tindakan ke atas emosi kita boleh kontrol ye.

Jadi untuk para wanita pencemburu sekalian, sekalipun anda cemburu buta, cuba sekuat mungkin untuk merasionalkan diri anda. Hanya yang melalui sahaja mengerti.

2. Sewaktu menghadiri kenduri kahwin rakan sekolah suami, aku lihat ramai kawan kawan sekolah suami datang, cantik cantik semuanya. Maka cemburuku sampai terbakar di dada berulang lagi.

Sekali lagi suami aku pening melihat aku seolah menangis tanpa sebab, suami takde buat apa apa pun. Aku dah kenapa?

3. Suami membelikan aku hadiah daripada seorang rakan perempuannya, aku berasa sangat emosi dan marah, kerana aku berasa seperti suami hanya mahu membantu rakannya yang cantik itu, bukan nak sangat pun beli untuk aku.

Ye. Betul, aku sangat tak rasional.

Ada banyak lagi kisah cemburu buta yang hadir kerana ketidakrasionalan aku dan aku sedar bahawa suami aku tidaklah bertuah kerana perlu melayan emosi aku.

Tapi cukuplah tiga cerita itu untuk menggambarkan betapa tak rasionalnya aku.

Setakat ini apa yang aku boleh buat, aku cuma acknowledge perasaan aku, jujur pada suami dan berjanji untuk tidak lagi cemburu yang mana janji itu sangat sukar ditepati. At least i try…

Aku cuba mencari faktor mengapakah perangaiku sebegini, antara faktor faktornya adalah rasa percaya diri yang lemah dan insekuriti yang tinggi,

Jelas sekali cemburu aku tersasar kepada golongan yang bagiku lebih cantik dan cerdik daripada aku. Jelas sekali, sikap dengki adalah sikap mazmumah dan perlu dibuang daripada terus merasuk aku.

Kepada wanita yang selalu cemburu, marilah kita sama sama bermuhasabah diri, bersangka baik kepada suami, jangan sesekali hilang kerasionalan diri, memaki hamun, menjerit, menghempas barang mahupun menjadi pembunuh.

Cuba sedaya upaya untuk tidak mengawal suami, walaupun suami berasa seperti terkawal kerana anda wanita pencemburu.

Orang lain mungkin akan mengejek ketidakrasionalan kita walhal emosi adalah perkara yang sukar untuk dikawal. Ke aku sorang sorang je yang ada masalah ni?

Aku ada terfikir nak jumpa kaunselor tau. Patut ke aku jumpa kaunselor?

Kepada wanita yang tiada rasa cemburu, janganlah mengejek kami insan yang lemah emosi ini, kami cuba untuk kuat seperti kalian, maka doakanlah kejayaan kami.

Kepada para suami yang mempunyai wanita yang sering cemburu, layanlah mereka dengan penuh kasih, setiap kali mereka cemburu, pujilah mereka dengan kata kata yang lembut seikhlas hati, masa akan mengubati cemburu mereka.

Yang penting adalah kejujuran. Jangan menipu untuk mengelak wanita pencemburu mencemburu kerana ia akan mengeruhkan keadaan, berikanlah kata kata manis seperti “awak seorang yang paling cantik di hati abang” gittewh.

Kerana wanita pencemburu memang pendahaga pujian dan juga attention seeker.

Kepada suami saya, terima kasih kerana menerima kelemahan saya, meredhai kesilapan saya, saya tak tahu kenapa suami berjaya mengesan ketidakwarasan saya walaupun saya cuba sembunyikan.

Terima kasih kerana selalu memaafkan saya yang sukar menepati janji saya untuk tidak cemburu lagi. Walaupun kata orang, tiga tahun bolehlah tahan lagi….

Saya berharap suami saya boleh bertahan untuk tiga ratus tahun lagi, doakan saya supaya boleh memperbaiki diri saya, supaya saya cemburu yang celik celik sahaja. Biarlah cuma cinta yang buta. Ewah.

Kepada pembaca yang budiman, jangan komen bagi cadangan atau pendapat untuk suami cari lain plez. Nanti aku akan kemurungan. Sudahlah lemah yakin diri, kesedihan pula. Jadi jika terniat untuk menaip di komen sedemikian, silalah padam semula. *virtual hugs.

– Lina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *