Isteri Yang Single

Assalamualaikum semua. Terima kasih andainya kisah saya disiarkan. Saya Sarah, seorang wanita bekerja yang telah berkahwin dengan pilihan sendiri.

Semasa kami dinikahkan, saya dan suami sama-sama tidak mempunyai sumber pendapatan tetap kerana telah kehilangan kerja akibat pandemik oleh itu tiada majlis sambutan diadakan. Kami cuma nikah di masjid saja.

Sebelum bernikah saya dan suami sepakat sekiranya saya tidak berjaya mendapatkan pekerjaan maka saya akan menetap bersamanya dahulu (tinggal bersama mertua sehingga kami mendapat kerja dan boleh mencari rumah sendiri).

Walaupun saya agak nervous kena tinggal dengan mertua saya setuju juga sebab menurut suami ia cuma sementara.

Tapi Alhamdulillah, dua minggu selepas bernikah saya telah mendapat panggilan pekerjaan di bandar.

Semasa itu suami telah kembali ke rumah ibu bapanya sementara saya perlu tinggal dikampung untuk menyelesaikan beberapa urusan. Saya meminta izin untuk menerima kerja tersebut dan dia mengizinkan.

Pada awalnya suami duduk dengan saya, berdasarkan perbincangan kami untuk sementara kami tinggal disini dulu dan suami pun akan mencari kerja sambilan sementara menunggu dipanggil semula bekerja oleh syarikat lama.

Tapi sepanjang lebih kurang 6 bulan kami duduk sebumbung, rasanya boleh dikira berapa kali saja saya lihat dia mencari kerja. Itu pun saya tak pasti macam mana dia cari, yang saya tahu dia cuma keluar round-round kawasan berdekatan.

Bila ditanya dia akan merajuk, katanya saya merendahkan dia dan tak nampak usaha dia. Sumpah saya tak ada niat, cuma saya kesian tengok dia tertekan duduk di rumah.

Saya ada share dengan dia group telegram jawatan kosong, group fb, sebab saya ada follow group tu dan nampak dekat sana banyak kerja kosong. Kadang-kadang ada juga forward iklan kat dia tapi takde respon langsung.

So, saya tertanya-tanya juga usaha dia sebenarnya apa. Grab dan foodpanda memang tak boleh buat sebab kereta suami kereta lama dan dia takde lesen motor.

Saya tak kisah sangat dia belum kerja, sebab bagi saya dia ada dekat pun saya dah cukup senang hati. Sekurang-kurangnya bila something happen at work, bila saya balik ada dia dirumah. Bila nak menangis ada bahu untuk bersandar. Bila cuti boleh buat aktiviti sama-sama.

Cumanya sebab suami tak kerja kadang-kadang dia stress, dan benda tu beri kesan terhadap hubungan kami. Sebab tu saya berusaha tolong dia cari kerja dan bagi dia semangat supaya tak putus asa.

Tapi lepas 6 bulan tiba-tiba kata nak balik duduk dengan parents dia sebab katanya kat sini susah cari kerja.

Alasan nak balik kononnya nak kerja kilang sebab ada saudara kerja kat kilang boleh mintak tolong rekemen. Tapi dah 2 bulan dah dia balik sana masih takdak citer, masih duduk rumah juga.

Alasan kedua sebab nak sambung rawatan tiroid yang tertangguh sejak tahun lalu. Bila ditanya nanti boleh tak pindahkan rawatan tu ke hospital dekat dengan tempat saya kerja, tapi dia tak nak sebab dia kata kat sana lebih mudah untuk dia bergerak dan lebih selesa.

Alasan ketiga katanya sebab dia segan nanti keluarga saya mengata dia duduk dengan saya tapi tak kerja. Dia tak nak orang kata dia biawak hidup. Tapi so far mak ayah saya tak pernah tanya pun.

Alhamdulillah mereka faham sebab nampak sendiri abang sulung sampai sekarang masih struggle cari kerja selepas hilang punca pendapatan masa PKP dan dia ada 3 orang anak yang perlu disara.

Mak dan ayah cukup gembira masa suami pindah duduk dengan saya, kata mak dia tak perlu risau lagi saya duduk jauh sorang-sorang sebab dah ada orang jaga.

Parents saya tak pernah tanya pasal kerja pun, tapi bila saya balik kampung tanpa suami sebelum PKP 3.0, mak tanya mana menantu dia. Saya jawab jujur suami balik rumah parents dia sebab nak sambung rawatan dan cari kerja.

Sampai sekarang asal call mak mesti akan tanya bila suami nak balik duduk dengan saya. Saya terpaksa tipu kata suami kerja sebab nak jaga air muka dia, padahal dia duduk kat rumah tak buat apa pun.

Mak ada tanya dia tak balik ke jenguk isteri dia. Nasib baik sekarang tak boleh rentas daerah jadi ada jugak alasan saya untuk cover.

Tapi kalau boleh rentas daerah pun suami saya memang beribu alasan jugak pun even nak lawat saya. Macam mana saya tahu? Sebab sebelum ni pun macam tu. Hahaha.

Mak pesan dengan saya dah kahwin ni susah senang biarlah sama-sama. Tak baik suami isteri duduk berjauhan lama-lama apa lagi kami yang baru berkahwin.

Baru-baru ni syarikat saya ada buat pengurangan gaji, untuk pekerja bukan pengurusan seperti saya gaji dipotong sampai hampir 50% sebab sebulan cuma datang kerja dalam 15 hari saja selebihnya cuti tanpa gaji.

Benda ni buat saya stress sangat sebab baki gaji tu cukup-cukup untuk tanggung komitmen saya saja. Bayar sewa rumah dan loan kereta tinggal habuk. Saya apply moratarium tapi lulus pengurangan bayaran saja.

Dah kurang pun tetap sesak untuk saya survive. Sedangkan gaji full pun cukup-cukup untuk lepas belanja sebulan saja, ini kan pulak bila dipotong. Sampaikan saya terpaksa tebalkan muka pinjam duit dengan adik untuk bayar sewa rumah.

Kadang-kadang saya rasa marah tapi tak tahu saya marah pada situasi ni atau pada suami atau pada syarikat atau pada diri sendiri sebab lemah sangat.

Saya ada ceritakan pasal pemotongan gaji tu dengan suami dengan harapan dia faham saya struggle tapi dia cuma tanya sampai bila dan komen keadaan sekarang ni susah. Lepas tu saya diam dan tak jadi nak bagi tau dia yang saya tengah struggle.

Jika saya luah pada suami, kami akan bergaduh sebab dia akan ikut stress. Alasan dia stress sebab dia tak jalankan tanggungjawab dia dan dia rasa saya salahkan dia sebab dia tinggalkan saya sorang-sorang kat sini.

Kedua, dia pun tak nak kalah stress. Dia cerita balik struggle dia macam kitorang tengah buat pertandingan siapa paling stress.

Saya pernah terus terang dengan dia saya tak suka keadaan kami sekarang. Dia akan suruh saya resign dan duduk dengan dia. Gila ke nak resign lepas tu dua-dua tak kerja. Habis tu hutang kereta dan ptptn aku siapa nak bayar? Aku pun nak hidup bebas hutang. Haha.

Lagi pun aku tak nak duduk dengan family mertua. Memanglah mertua aku baik tapi nanti tak pasal-pasal hubungan yang baik pun boleh jadi renggang kalau dah sebumbung. Lepas tu kat rumah tu ada adik perempuan suami yang perangai dia aku tak berkenan sangat.

Umur dah 20 lebih tapi bangun bila matahari dah tegak atas kepala, lepas tu bangun saja makan. Dah kenyang masuk bilik main game. So cadangan resign dan tinggal dengan mertua memang aku tolak tepi tanpa dipertimbangkan langsung.

Bila ajak berbincang pun akan end up macam diatas juga. Saya pernah bagi tau suami yang saya tak kisah dia belum dapat kerja, saya cuma harap dia ada disisi masa saya down. Tapi dia cakap saya selfish sebab tak fikir pasal mental health dia.

Tak, masalahnya saya bengang sebab dia balik sana tapi takde beza apa pun. Dia still duduk rumah jugak cuma bezanya dia tak rasa ego dia tercabar kot.

Dia ikutkan sangat perasaan takut orang mengata, tapi perasaan isteri sendiri tak fikir. Susah senang saya tanggung sendiri. Nafkah sesen pun takde, bab tu saya masih boleh tolak ansur. Kalau tak mampu bagi nafkah saya faham sebab keadaan susah dan saya takde pun tuntut apa-apa.

Kalau tak mampu bagi nafkah sekurang-kurangnya stay by my side bagi moral support saja pun dah cukup bermakna.

Kalau PJJ sebab kerja atau alasan lain yang tak dapat dielakkan sumpah saya tak kisah, tapi alasan dia nak PJJ tu korang nilailah sendiri sama ada apa yang saya rasa ni rasional atau tak.

Ye, saya boleh jaga diri sendiri tapi tipulah kalau saya tak rasa sedih setiap hari balik rumah yang kosong. Dah la sekarang PKP, nak buat apa pun tak boleh. Terkurung saja dalam rumah sorang-sorang. Kalau PKP bersambung lagi agaknya boleh gila kot macam ni.

Nak ajak kawan lepak memang tak lah, masing-masing nak jaga diri takut terbagi atau terima ‘hadiah’ tanpa sedar. Yelah sekarang kan ramai saja yang asymptomatic so lebih baik berwaspada.

Hidup saya sekarang takde beza dengan hidup sebelum kahwin. Makan pakai tanggung sendiri, sewa rumah bayar sendiri. Sakit drive sendiri pergi klinik.

Bezanya cuma bila nak keluar kena mintak izin suami, sebelum tidur kena call dia. Buat apa-apa kena lapor. Mula-mula tu okay lagi, tapi sekarang saya buat sebab terpaksa dan tak ikhlas dah.

Kalau dia call pun saya jawab sepatah sepatah saja. Dia kata saya jahat sebab sengaja hukum dia macam tu. Saya tahu saya salah, tapi saya dah tawar hati. Saya sayang dia cuma saya terkilan sangat.

Dia perasan perubahan saya tapi dia tetap salahkan saya tak faham dia, dia tanya saya adakah saya hormat dia sebagai suami atau tak? Saya jawab sepanjang kita kahwin apa tanggungjawab yang awak dah buat sebagai suami? Dia diam dan letak telefon.

Masa saya tertekan macam ni dia boleh pergi ikut kawan dia join volunteer buat kerja amal pulak, katanya nak lupakan stress duduk rumah. Memanglah kerja amal tu mulia, tapi awak beramal dahulukan orang lain tapi kebajikan isteri sendiri hang tak pikiaq.

Tapi takpelah, sekarang ni saya tengah fokus nak jadi cantik dan happy saja. Suka hati dia lah nak buat apa. Harap-harap PKP ni cepat habis, aku nak balik kampung dan nak jalan-jalan buat roadtrip.

Dah nak masuk 3 bulan dah ni nafkah takde, lepas tu dia tinggalkan aku tanpa kepastian sampai bila. Masa nikah ada lafaz taklik kan, so aku tunggu saja lah bulan ke 4 kalau masih macam ni aku suruh dia reflect balik makna taklik yang dia lafazkan tu.

Haihhh sorry lah merepek panjang sangat, saya tak tahu nak luah pada siapa. Nak luah dengan family atau kawan memang tak lah sebab walau macam mana pun saya masih hormat suami dan tak nak orang pandang serong pada dia. Saya luah kat sini pun sebab orang tak kenal siapa saya.

Terima kasih kepada yang sudi membaca, saya doakan urusan kita semua dipermudahkan.

Isteri yang single,

– Sarah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *