Assalammualaikum, harapnya coretan aku disiarkan dan pembaca yang lain sudi memberi pandangan serta kata semangat buat diri ini.
Nama aku Nur (nama samaran) berumur lewat 20an, aku baru mendirikan rumahtangga alhamdulillah Allah temukan aku jodoh pada usia yang sesuai atas dasar suka sama suka.
Bercinta dengan suami Roy (nama samaran) hampir dua tahun lebih hingga ke jinjang pelamin.
Kata orang zaman bercinta semuanya indah belaka, sebumbung sebilik sekatil barulah kita mengenali pasangan sebenar.
Terus ke topik sebenar, suatu ketika aku menyampaikan ketidakpuasan hati terhadap Roy bila mana dia selalu liked gambar artis mahupun insta famous yang seksi dari segi pakaian yang tak cukup kain, ketat nampak bentuk tiga bermuda serta bertudung tetapi ketat.
Katanya hanya liked, tapi aku bantah dan melarangnya. Alhamdulillah dia tidak lagi melakukannya.
Namun hati seorang isteri mengatakan sesuatu yang aneh. Tapi aku teruskan istighfar menafikan perasaan itu risau sekiranya itu mainan syaitan yang cuba meruntuhkan hubungan yang halal.
Bertambah perasaan curiga terhadap Roy apabila setiap kali dia sedang asyik dengan telefon aku cuba untuk mendekati lalu dia akan tutup telefonnya bagai menyembunyikan sesuatu.
Kami berdua pernah bergaduh atas sebab dia tidak mahu telefonnya diganggu oleh aku.
Aku pula mengatakan hanya orang yang berbuat salah sahaja yang akan takut, sekiranya Roy tidak bersalah kenapa berkelakuan seperti pesalah.
Jiwa aku sakit, tak tenang sampai suatu ketika aku merasakan seperti aku bukanlah diri aku yang sebenar. Kadang terlintas difikiran, adakah aku sedang sakit, adakah aku sedang disakiti.
Allah gerakkan hati aku untuk bangun lewat pagi meminta dan mengadu pada Nya.
Berlarutan perasaan bercampur baur hampir sebulan lebih, perasaan ragu-ragu dengan suami ku sendiri. Tipu kalau aku tidak berdoa untuk dijauhkan berburuk sangka terhadap Roy.
Namun hati ini tetap mengatakan ada sesuatu tentang Roy yang aku tak ketahui. Apa sahaja yang aku katakan terhadap Roy dia akan balas dengan positif membuatkan aku mengalah.
Antaranya aku jujur mengatakan yang aku sedang merasakan dia sedang melakukan sesuatu dibelakang ku, tapi jawapan Roy adalah semua itu mainan syaitan.
Roy seorang yang baik, sukar untuk marah segala keperluan ku sebagai isteri dia cuba untuk sediakan, alhamdulillah dari segi ini tiada cacat cela.
Cuma ada sesuatu yang buat aku sentiasa curiga apabila berkeras dia melarang aku menyentuh telefon bimbitnya namun manusia lagi dilarang lagi dibuat.
Segala social media search history miliknya dipadam, yang ada hanya tentang gadget. Tapi Roy lupa, Allah itu maha kaya, maha mengetahui.
Suatu petang selepas zohor dia keluar untuk membeli sedikit keperluan rumah. Ketika itu aku sangat bersyukur Allah menjawab setiap persoalan ku.
Hari itu sangat tenang aku sedang membelek ipad milik suamiku, sambil menanti kepulangannya.
Bermula dengan bermain game serta menonton netflix sehingga terdetik hati untuk melihat segalanya yang ada di dalam ipad. Segala dokumen aku buka sehingga ke google photo maka terpampang gambar wanita.
Wanita yang bertudung hitam berwajah comel, wanita yang berbaju ketat menampakan bentuk kemaluannya sehingga ke wanita yang tidak berbaju. Bahasa mudahnya p*rn star.
Semuanya tersimpan dalam email kedua aneh namanya, yang pasti bukan email nama sebenar Roy.
Aku menantinya pulang dengan sabar, ketika tibanya dia dihadapan pintu rumah ku sambut dengan senyuman getaran di jiwa untuk dilepaskan.
Aku mengajaknya untuk berbual lalu ku hulurkan ipad miliknya sambil berkata “sayang jumpa rahsia biy”. Terus menangis Roy terjelopok ke lantai.
Dan ketika itu aku terus naik hantu, bertanyakan apa kurangnya aku. Apakah salahnya aku, kenapa dilakukan aku sebegini. Pasangan lain tiga bulan sedang sibuk mengukuhkan kepercayaan, tetapi Roy pijak maruah aku hancur lumat hati tiada apa yang tinggal.
Kami cuba perbaiki kekurangan diri ketika ini, namun jujur ku katakan percaya ku terhadapnya sudah tiada.
Aku sudah bersiap sedia sebarang kemungkinan, sebab aku meletakkan Allah dihati ini. Jadi aku yakin tiada apa yang mampu sakitkan hati aku lagi. Aku sentiasa berdoa supaya Allah kuatkan hati ini.
Perkara ini terjadi sebulan sebelumnya Ramadhan 2022, sungguh ketika ini aku masih sakit. Menulis sambil menangis kerana aku tidak tahu apa yang hendak dilakukan seterusnya.
Ke manakah penghujung hubungan yang baru dibina ini. Apa yang aku harus lakukan sekarang.
Doakan aku kuat dan bahagia untuk hari-hari yang mendatang.
– Nur (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit