Isteri Yang Tidak Ada Empati

Hi semua. Aku dah tak tahu nak luah dekat mana. Mungkin sinilah tempatnya. Hati abang perlu dijaga, sementara hati aku memberontak untuk marah isteri dia.

Beberapa tahun lepas, abang aku didiagnosis dengan kanser. Aku pendekkan cerita, selepas pembedahan, keadaan abang aku tidak lagi normal seperti dulu. Dia menjadi separa buta dan mempunyai banyak masalah kesihatan yang lain. Dia perlu bergantung kepada ubat seumur hidup. Risiko untuk strok dan sawan sangat tinggi.

Abang aku bekerja dengan kawan-kawan, jadi walaupun dia dalam keadaan begitu, kawan-kawan masih membayar gaji seperti biasa (RM5K+-) walaupun dia dah tak boleh bekerja. Terima kasih kepada orang-orang baik ini.

Semua duit abang, keluarga uruskan untuk diberikan kepada isterinya. Semuanya. Dengan harapan isteri akan menjaga dia dengan baik. Bagi aku, nikmat apa lagi yang nak didustakan? Ada orang sakit, tak dapat kerja, duit pun tak ada.

Tapi kami silap. Manusia kalah dengan duit. Kalah dengan ujian. Dari mula abang sakit, abang aku diuruskan oleh aku dan mak aku, baik dari segi tenaga (menyediakan makan minum & keperluan), kewangan, dan masa. Hampir 80% berada di bahu aku dan mak.

Awalnya, aku memberi masa. Mungkin dia masih dalam fasa untuk menerima takdir Tuhan. Aku biarkan. Lama aku biarkan. Sampai pertolongan aku dah bertukar menjadi tanggungjawab yang diletakkan secara tetap di bahu aku.

Beberapa bulan kemudian (dalam keadaan dia masih tak menjalankan tanggungjawabnya terhadap suami), dia menyuarakan rancangannya untuk membeli kereta baru. Masa ni, dah nampak terlalu red flag. Suami baru sakit, dia belum ada usaha untuk menjaga suami, tapi dah merancang itu dan ini. Abang aku disuruh belajar berdikari. Disuruh makan ubat sendiri. Makan minum masih aku uruskan. Jarang sangat dia beli barang rumah melainkan abang yang suruh. Itu pun sangat kedekut. Beli untuk masak sehari saja.

Dipendekkan cerita, dia beli kereta baru. Dia teruskan hidup dengan membeli-belah secara dalam talian hampir setiap hari dan membeli barang kemas yang sangat mahal. Sehinggalah gaji abang aku diturunkan oleh syarikat. (Aku rasa mungkin kawan-kawan abang boleh nampak gaya hidup dia masa tu. Mungkin semua orang nampak apa yang aku nampak. Aku tak tahu.) Aku sangat setuju gaji itu dipotong sebab tak digunakan untuk abang pun. Sampai hari ini, aku harap syarikat terus berhenti membayar gaji abang sebab tak ada manfaat untuk dirinya pun. Baik abang tak berduit, aku boleh berhenti kerja untuk jaga abang dengan senang hati. Aku harap macam tu sebab tak ada kebaikan pun dari si isteri untuk kesembuhan abang. Bagi aku, dia penghalang abang untuk sembuh. Selalu buat abang stres. Duit ada, tapi tak boleh belikan makanan yang elok untuk suami yang sakit.

Aku faham kenapa abang tak ambil tindakan. Mungkin dia rasa tak yakin dengan dirinya. Mungkin dia rasa dia ada kekurangan, jadi dia terima kekurangan isterinya. Mungkin dia malu dengan kawan-kawan. Mungkin. Hanya dia yang tahu. Tapi aku cuba untuk faham. Walaupun bunyinya macam tak adil pada aku dan mak yang kena pikul tanggungjawab tu sebab abang aku berduit dan ada isteri.

Satu hari berlaku juga pergaduhan, dan aku nasihatkan abang bawa isterinya pindah sebab si isteri beri alasan tak dapat menjalankan tanggungjawabnya kerana diganggu oleh kami, terutamanya mak. Okey, pindahlah. Urus rumah tangga sendiri. Aku pun dah burnout. Menghadap manusia yang tak ada empati ni. Yang penuh drama untuk menutup keburukannya. Bagi aku, kalau abang nak simpan, abanglah hadap. Tenaga aku dah habis. Aku pun ada tanggungjawab dan komitmen sendiri yang perlu aku fikirkan. Mak pun boleh berehat.

Beberapa bulan selepas pindah, si isteri nak bekerja semula. Dia mesej aku minta mak aku jagakan abang aku dengan alasan itu anak mak aku. Seorang ibu kan, takkan mungkin dia tolak untuk menjaga anak sendiri walaupun kudrat dia pun dah tak kuat. Mak aku terima. Realitinya, aku dengan mak saja yang sanggup buat apa saja untuk abang. Sampai hari ini, abang aku kembali menjadi tanggungjawab mak dan aku. Kami terima dengan rela hati. Aku terus ingatkan diri aku yang Allah tak tidur. Sabar. Allah tak tidur. Tunggu masa untuk doa mak atau mungkin doa aku dimakbulkan.

Aku beri sepatah dua kata kepada si isteri. Nak kerja boleh. Tapi dia perlu siapkan lauk tengah hari suami setiap hari. Jangan susahkan mak aku sebab abang aku ada isteri. Aku pun bekerja. Tapi aku boleh pastikan ada lauk untuk mak aku setiap hari di atas meja. Jadi bagi aku, tiada alasan. Semua orang boleh buat, antara nak atau tidak saja. Malangnya, lauk yang dihantar sangat mengecewakan sehingga abang aku tak usik pun. SANGAT MENGECEWAKAN sampai kadang-kadang aku rasa dia ni nak bagi kucing makan ke. Hmmm. Disebabkan emosi abang aku keutamaan kami, tanggungjawab menyediakan makanan yang dia BOLEH MAKAN menjadi tanggungjawab aku dan mak semula tanpa aku cakap apa-apa kepada si isteri.

Abang aku dihantar dalam keadaan dia selalu tak ada duit. Hampir semua digunakan untuk membayar segala belanja rumah sana dan nafkah isteri. Untuk diri sendiri hampir tak ada. Bukankah turutan nafkah nombor satu adalah diri sendiri dulu? Dan bukankah bukan semua duit suami itu hak isteri? Untuk apa beri nafkah kepada isteri yang tak nak berkhidmat untuk suami? Duit abang cukup untuk mereka hidup berdua. Cuma ya, bukan semua orang boleh turunkan taraf hidup selepas seronok pegang duit yang banyak. Bukan semua isteri boleh bersusah dengan suami. Jumlah pendapatan mereka lebih daripada pendapatan aku dan mak (hasil pemberian anak-anak yang lain). Aku berjaya uruskan, kenapa dia tak boleh? Dah kerja tapi masih perlu menyusahkan mak.

Mak aku dah tua dan sakit. Walaupun aku sangat marah, tapi mak tak bagi aku cakap apa-apa demi abang aku. Sebab stres akan buat dia sakit. Walaupun mak tu sendiri pun sakit. Allah kurniakan akal pada manusia, tapi bukan semua manusia pandai guna.

Kesian mak. Kesian abang. Kadang-kadang aku terfikir, apa akan jadi dengan mak dan abang kalau aku tak ada? Entahlah. Aku okey saja nak jaga abang. Malah, dari mula sakit pun memang aku yang banyak tolong dia. Aku rela saja nak keluarkan belanja untuk dia. Tapi mengenangkan dia ada duit dan isteri, kadang-kadang aku rasa marah.

Sepanjang abang sakit ni, si isteri selalu guna media sosial untuk perli mak aku, aku, dan keluarga aku yang lain. Nak gambarkan kepada orang yang kami ni toksik dan sebagainya. Sampai hari ini dia masih macam tu dan sampai hari ini juga aku masih diamkan. Semuanya demi abang. Entah ini tindakan yang bodoh atau ini yang terbaik, aku pun tak tahu.

Baru-baru ini, dia bagitahu abang dia tak dapat bawa abang pergi pemeriksaan lagi sebab dah tak boleh cuti. Aku yakin mak yang akan ambil tanggungjawab tu nanti. Sebab aku perlu kerja. Begitulah sadisnya manusia yang tak ada empati ni. Materialistik.

Allah tak tidur, kan? Aku tunggu hari Allah hantar balasan kepada dia. Sebab yang dia aniaya bukan hanya abang, tapi mak dan aku juga. Sesungguhnya aku tak mampu nak maafkan. Aku tak akan maafkan. Bagi aku, kalau tak nak jaga abang, tinggalkan saja. Jangan jadi parasit, sedut segalanya untuk kepentingan diri sendiri.

Doakan kesembuhan abang aku. Doakan mak aku kuat. Doakan abang dijauhi daripada manusia-manusia yang mengambil kesempatan atas kekurangan dia. Kesian dia. Sepatutnya isteri jadi tempat dia berpaut, tempat yang menenangkan. Tapi dia selalu stres disebabkan si isteri. Doakan kami. Doakan abang aku kuat membuat keputusan terbaik untuk hidup dia.

-adik yang sangat marah

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. Nampak jelas si istri kahwin semata2 nak kaut harta dan pergunakan je…

    Tunggu apa lagi…nak tunggu dia sepak terajang maki maki abg ko?

    Pengalaman sy tgk para istri yg hanya mahukan suami masa senang dan bila suami sakit tak berduit sgt trs merungut dan minta suami mati cpt dan tuntut cerai.

    Nak cr istri hampir solehah zmn ni susah sgt mcm cari permata dlm lumpur

  2. Kau dan mak kau memang hebat dik! Allahu. Sebak aku baca. Jarang nak jumpa adik yg sudi jaga abang sakit. Aku doakan abang kau diberi kesembuhan oleh Allah. Semoga kalian bahagia walaupun nampak derita oleh orang lain. Aamiin Allahumma Aamiin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *