Assalamualaikum kepada warga IIUMC dan admin. Terima kasih kepada admin yang sudi menyiarkan kisah saya 2 hari lepas, ‘Apa Dia Vaginismus’, (https://iiumc.com/apa-dia-vaginismus/).
Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada warga IIUMC yang memberikan komen dan maklumbalas terhadap perkongsian saya. Kali ini saya berikan sedikit maklumbalas terhadap komen netizen di dalam ruangan komen tersebut.
“Jika kahwin dan tahu isteri kena vaginismus, seeloknya bercerai sebelum dapat anak…”
Untuk perkara ini, ia mengambil masa sebelum kita betul-betul kenalpasti bahawa penyakit itu adalah vaginismus. Mungkin kita rasa teknik kita salah, isteri ada masalah trauma yang kita tidak tahu. Kita juga akan mengambil masa untuk berjaya memujuk isteri berjumpa dengan pakar sakit puan.
Selain daripada itu, perpisahan adalah perkara yang paling saya ingin elakkan. Seperti yang saya ceritakan dalam perkongsian lepas, kami kahwin atas dasar suka sama suka. Saya juga merasakan ini adalah ujian yang Allah berikan kepada kami yang kami perlu hadapi bersama.
Saya amat berharap bahawa mungkin sayalah lelaki atau hero yang berjaya membantu isteri menghadapi cabaran ini. Bayangkan jika satu hari, ujian yang lebih kurang sama menimpa si suami. Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Si suami kemalangan, dan kemudian ‘aset tidak berfungsi’. Ataupun lebih gerun lagi, badan lumpuh (semoga kita semua tidak diberikan ujian sebegini).
Adakah kita boleh terima sekiranya isteri ingin meninggalkan kita dan membina keluarga bersama orang lain? Walaupun sebenarnya boleh, tetapi persoalannya bersediakah kita untuk menghadapi perkara ini?
“Si suami boleh berpoligami atau berkahwin lain”
Di dalam Surah An-Nisa, ayat 3 bermaksud:
“Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu tidak dapat berlaku adil diantara isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu berkahwin seorang sahaja.” (An-Nisa: 3)
Ayat ini sahaja telah jelas menerangkan bahawa berpoligami jika adil. Saya tahu kemampuan saya yang tidak dapat berlaku adil sekiranya berpoligami.
Saya tidak reti membahagi-bahagikan kasih sayang. Kemungkinan saya akan melebih-lebihkan isteri yang baru. Kemungkinan juga saya akan berikan tumpuan yang lebih kepada isteri yang memerlukan perhatian lebih untuk rawatannya.
Ketidakadilan ini akan membuatkan saya berdosa besar. Namun, yang lebih utamanya, adalah saya amat sayangkan isteri saya.
“Guna pelincir bro, nanti isteri akan merasa nikmatnya juga” (komen ini telah dipadamkan)
Bro, ini penyakit bro. Kena perbanyakkan bacaan. Banyak sumber bacaan berkenaan vaginismus. Pelincir ialah perkara pertama yang digunakan. Nikmat? Tiada nikmat bro. Hubungan suami isteri tidak dapat dilakukan lansung.
Kami berjumpa Pakar O&G, kaunseling, urutan tradisional, akupuntur, rawatan Islam, tetapi kesemuanya tidak konsisten dan tidak kerap. Inilah cabaran utama untuk memujuk si isteri istiqamah dalam menghadapi setiap rawatan.
“Apa punca perpisahan?”
Alhamdulillah, saya amat memuji warga IIUMC kerana tidak membuat sebarang andaian punca perpisahan kami.
Cukuplah dengan saya nyatakan bahawa permainan sihir oleh rakannya yang memisahkan kami. Beliau lebih percayakan rakan universitinya dalam hal sihir menyihir ini.
Bayangkan setelah lebih daripada setahun kami berkahwin, kawannya pernah maklumkan kepada saya bahawa dia tahu saya masih teruna. Sedangkan perkara ini memang kami rahsiakan bersama kerana menjaga keaiban isteri.
Si Isteri juga tidak pernah menceritakan kepada sesiapa kerana ingin merasakan rendah diri tidak dapat berfungsi sebagai seorang isteri.
Selepas dua tahun kahwin baru beliau bercerita dengan sahabatnya itu. Dan mulalah pelbagai perkara yang pelik terjadi di antara kami yang akhirnya menjadi punca perpisahan kami pada tahun ketiga. Inilah kisah pendek yang saya boleh kongsikan kali ini.
Sekali lagi saya mendoakan agar pasangan yang menghadapi cabaran penyakit vaginismus, dan mana-mana penyakit lain dikurniakan Allah kesembuhan segera.
Berikan sokongan yang kuat kepada pasangan, kurangkan tekanan mereka, selalu menggembirakan hati bersama dan bersama-sama menghadapi rawatan secara konsisten.
InshaaAllah, dengan rawatan dan usaha yang konsisten, Allah akan kurniakan kesembuhan dengan usaha kita. Kuasa penyembuhan adalah pada Allah.
“Banyak cara kita ke syurga, dan mungkin ini adalah salah satu daripadanya.”
– The Brahma Bull (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit