Istighfar dan Rezeki

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera..

Terima Kasih kepada admin IIUM Confession sekiranya perkongsian aku ini dikongsikan kepada pembaca dan peminat IIUM Confession.

Aku Abe (Bukan Nama Sebenar) berumur 28 tahun dan semestinya panggilan Abe sangat sinonim berasal dari Kelantan. Aku sudah mendirikan rumah tangga selama 2 tahun dan bulan ini genaplah usia rumah tangga aku dan isteri.Alhamdulillah..

ISTIGHFAR adalah satu ucapan yang sangat ringkas namun ada kehebatannya yang tersendiri.. Disini aku ingin kongsikan pengalaman aku mengamalkan istighfar (Astaghfirullahalaazim) dan kehebatannya menjemput rezeki yang tidak disangka-sangka.

Selepas selesai solat 5 waktu aku akan mengambil masa dalam 5 minit untuk beristighfar 100x (paling minimum) setelah selesai solat fardu setiap hari dan bermakna aku akan beristighfar 500x sehari. Amalan ini aku sama² lakukan bersama isteri sehingga kini.

Ajaibnya istighfar ini pada tahun pertama penikahan aku dan isteri, kami sudah berjaya membeli sebuah rumah berharga setengah juta yang berdekatan dengan tempat kerja kami di Putrajaya.

Pada awalnya kami tidak merancang untuk membeli rumah di kawasan Lembah Klang ini namun rezeki dari Allah telah tertulis untuk kami memilikinya.

Sebenarnya aku dan isteri mengamalkan istighfar kerana kami ingin memiliki zuriat kerana aku pernah menonton video ceramah Ustaz dari Youtube dan aku pernah terbaca satu kisah iaitu:

Kisah iktibar itu mengenai tabi’in bernama Hasan al-Basri. Beliau sering didatangi segenap lapisan masyarakat bertanyakan hukum agama dan meminta nasihat.

Kemudian beliau didatangi seorang mengadu masalah ketiadaan zuriat. Beliau menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah Surah Nuh ayat 10-12.

Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Aku secara konsisten mengamalkan istighfar tanpa rasa bosan dan jemu bersama isteri dan kami mula nampak rezeki Allah itu sangat luas selepas mengamalkan istighfar sehingga mampu membeli rumah dengan harga yang sedemikian.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan masuklah tahun kedua perkahwinan kami.Alangkah gembiranya aku dan isteri kerana ulang tahun perkahwinan kami yang kedua Allah telah mengurniakan rezeki yang tidak diduga di bulan Ramadhan yang penuh barakah.

Isteri aku telah hamil dan ini adalah merupakan hadiah Anniversary yang sungguh bermakna bagi aku dan isteri. Hadiah dari Allah SWT yang Maha Memberi Rezeki kepada hamba-hamba nya. Alhamdulillah..

Ditambah lagi permohonan pertukaran aku ke Jabatan lain telah diluluskan dan aku ditempatkan di jabatan yang boleh menjana lagi pendapatan aku dengan membuat kerja lebih masa (OT).

Percayalah, sungguh hebat kesan bila kita mengamalkan amalan Istighfar ini..Dan selain itu aku ingin kongsikan beberapa tips dan amalan yang lain juga yang telah aku amalkan. Antaranya:

-Amalkan doa ini bagi yang iktiar untuk hamil:

1.Surah Al-Anbiya’ ayat 89,

رَبِّ لَا تَذَرْنِيْ فَرْدًا وَ أَنْتَ خَيْرُ الْوَارِثِيْنَ (Rabbi laa tadzarnii fardan wa anta khairul waaritsiin)

2.Surah Al-Furqan ayat 74,

رَبَّنَا هَبْلَنَا مِنْ أَزْوَاجِنِا وَ ذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ (Rabbanaa hablanaa min azwaajinaa wa dzuriyyatinaa qurrota a’yun)

3. رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

(Rabbi habli minash shalihin)

#doa ini dibaca setiap kali sujud terakhir dalam solat

-Solat Dhuha.

-Sedekah Subuh (Bertawassul iaitu pasang niat apa saja seiring dengan sedekah).

-Memberi makan pada binatang.

-Belanja mak ayah dan kawan² dan minta mereka doakan kita supaya dimurahkan rezeki lebih² lagi doa dari mak ayah.

Itu adalah merupakan antara amalan yang aku amalkan dan aku ingin kongsikan kepada pembaca dan peminat IIUM Confession. Aku tahu ramai follower page ini masih menanti kehadiran cahaya mata pertama mereka.

Insya Allah jika korang amalkan apa yang aku kongsikan diatas korang akan merasakan perubahan dalam hidup korang dan rasa “Lain Macam” tu akan hadir.. dan semestinya rezeki Allah itu tersangatlah luas..

Di akhir-akhir Ramadahan ini, ambilah kesempatan sebaiknya untuk beramal dan berdoa kepada Allah kerana Dia lah yang Maha Pemberi Rezeki..

Akhir kata Selamat Hari Raya kepada semua peminat IIUM Confession maaf jika coretan aku diatas ada mengguris hati. Assalamualaikum..

– Abe (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *