Istikharah Cinta Maya

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin sekiranya perkongsian saya disiarkan.

Saya Maya. Seorang isteri dan ibu kepada 2 cahaya mata dari perkahwinan terdahulu. Saya pernah memasang niat untuk tidak berkahwin lagi setelah gagal dalam perkahwinan pertama.

Pada saya, adalah hampir mustahil wujud seorang lelaki yang akan menerima anak-anak saya seperti anak sendiri.

Saya takut jika berkahwin lagi, kasih sayang saya pada anak-anak akan terbatas. Apa lagi jika saya melahirkan anak dengan suami baru nanti. Takut anak-anak saya dibezakan kasih sayang oleh ayah tiri mereka.

Saya ego. Saya angkuh. Saya rasa saya tak perlukan lelaki dalam hidup saya. Allah limpahkan rezeki yang mencukupi untuk saya dan anak-anak.

Bukanlah kaya untuk bermewah-mewah, tetapi saya punya kerjaya yang stabil dalam sektor kerajaan. Wang bukan masalah pada saya. Saya sudah punya rumah sendiri, tak besar, tapi cukup selesa buat kami 3 beranak.

Keangkuhan dan keegoaan saya runtuh apabila Allah bukakan pintu hati saya untuk seorang sahabat yang sebelumnya tidak pernah rapat. Dia bujang.

Pada awalnya, saya memang tidak pernah terfikir untuk serius. Namun hati saya terusik apabila melihatkan dia begitu bersungguh-sungguh mahu memperisterikan saya. Dia pandai mengambil hati anak-anak saya.

Saya tahu dia tiada apa-apa. Kewangan juga belum stabil. Tapi saya tahu dia rajin berusaha.

Saya tak pandang harta. Saya tak pandang kerjaya. Saya cuma mahu seorang lelaki yang ikhlas terima anak-anak saya. Cuma saya tahu, keluarga saya pasti menghalang kerana dia tak punya apa-apa. Bukanlah keluarga saya materialistik. Cuma mereka bimbang, takut nanti saya diambil kesempatan.

Begitu juga keluarganya. Saya tidak rasa keluarga dia akan terima saya yang berstatus J anak 2.

Tatkala dia berterus terang untuk melamar saya, saya nyatakan padanya, saya takkan sesekali terjebak dengan hubungan yang tidak direstui keluarga.

Jawapannya mengejutkan saya. Dia memberitahu saya, sebelum membuat keputusan untuk melamar, dia sudah melaksanakan solat sunat istikharah. Dia sudah mendapatkan restu dari kedua-dua orang tuanya. Adik beradiknya juga tidak menghalang.

Walaupun begitu, saya masih ragu-ragu. Saya takut disia-siakan. Keluarga saya juga pastinya tidak bersetuju. Saya maklumkan padanya, saya juga akan istikharah. Berkenaan keluarga saya, saya serahkan padanya untuk berjumpa dan berbincang.

Dipendekkan cerita, jodoh itu rahsia Allah. Perhubungan kami begitu lancar. Kedua-dua keluarga merestui hubungan kami. Saya anggap itu jawapan kepada istikharah yang kami lakukan. Kami disatukan dalam majlis yang serba ringkas.

Pada awal perkahwinan, kami cukup bahagia bersama anak-anak. Tapi Allah uji saya lagi. Suami mula berubah. Dia banyak melukakan hati saya dan anak-anak. Nafkah saya diabaikan. Dan akhirnya dia gantung saya tak bertali.

Keluarga saya cukup kecewa. Saya pujuk hati sendiri. Istikharah itu tidak semestinya akan memberi bahagia. Allah mahu saya lebih dekat padanya. Saya belajar bersangka baik pada Allah. Allah pastinya mahu mengangkat darjat saya ke tahap yang lebih tinggi. Saya berlapang dada.

ALLAHUAKBAR..

Segala puji bagi Allah..

Aku bersyukur dengan ujian ini…

Kenapa?

Ujian Allah buat saya dan suami sebenarnya membuatkan kami lebih bahagia. Istikharah Cinta kami membuatkan kami lebih dekat padaNya. Allah memberi ujian pada hambaNya, dan, Allah lipat gandakan anugerah buat hambaNya yang BERSABAR.

Selepas setahun lebih saya digantung tak bertali, suami kembali kepada saya. Dia cukup menyesal dengan perbuatannya.

Dia kembali dengan perubahan yang saya tak jangkakan. Nak cerita satu persatu cukup panjang.

Tak mudah untuk saya menerimanya kembali. Tapi saya nampak satu persatu perubahannya yang pada mulanya saya ingat dia hanya berlakon. Ujian yang kami lalui menjadikan dirinya berubah menjadi seorang suami dan ayah tiri yang penyayang buat anak-anak saya.

Itu cerita 5 tahun dulu. Alhamdulillah, saya sudah punya 4 anak. Suami tak pernah bezakan anak kandungnya dengan anak tiri. Nafkah saya dan anak-anak juga tak pernah diabaikan. Kami sekeluarga sering ke masjid bersama-sama.

Allah limpahkan kehidupan kami dengan kasih sayang. Saya sendiri tak jangkakan keluarga kami sebegini setelah diuji dengan pelbagai ujian sebelum ini.

Terima kasih Ya Allah untuk anugerah dari Istikharah Cinta kami. Mohon doakan moga perhubungan kami sentiasa dalam keredhaan dan rahmat Allah selalu.

– Maya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *