Isu Dengan Keluarga

Assalamualaikum semua. Aku Ayla. Umur awal 30-an. Dah berkahwin. Maaf jika tulisan ini memeningkan kepala atau penggunaan ayat yang berterabur dan lintang – pukang. Cuma nak buat luahan hati.

Dari bujang lagi aku memang ada isu dengan keluarga aku. Aku kahwin lambat dan tinggal dengan parents aku sebab adik beradik yang lain semua tinggal di luar dari negeri tempat tinggal kami.

Jadi aku memang sedaya upaya berniat nak jaga mak bapak aku selagi hayat dikandung badan dengan sebaik-baiknya. Masalahnya, emosi aku terus jadi roller coaster bila dengan keluarga. Aku rasa nak baran je.

Aku ni baru berkahwin. Tapinya mak aku ni layan aku macam la kami laki bini orang suruhan. Semua benda nak dengar cakap dia. Ikut keputusan dia. Kalau tak ikut kehendak dia, mula la tazkirah anak derhaka, tak kenang budi, kurang ajar dan sebagainya.

Aku lega sekurang-kurangnya sekarang dah tinggal berasingan tapi pada masa yang sama aku masih penat mental dan fizikal. Banyak tanggungjawab masih di atas bahu aku walaupun adik beradik lain dah tua bangka.

Aku ni serba salah betul rasanya bila berkaitan keluarga. Sebolehnya untuk hormat dan melayan ahli keluarga dengan sebaik mungkin tapi agak sukar bila berhadapan dengan mereka. Automatik jadi bengis dan kasar.

Semestinya kalau diikutkan suami harus didahulukan setelah berkahwin tetapi aku berada dalam dilema setiap kali melibatkan keluarga belah aku dan suami. Keadaan keluargaku boleh dikatakan agak kucar-kacir dan memeningkan kepala.

Secara ringkasnya, bapak seorang pegawai kerajaan yang terlalu gemar berhutang. Hutang dengan institusi-institusi kewangan, hutang dengan orang tak usah dibilang banyaknya. Saudara – mara, kawan- kawan merata-rata meminjam wang.

Pening dan malu dibuatnya bila orang datang mencari aku untuk melangsaikan hutang.

Mak pula telah berhenti kerja mempunyai pelbagai masalah kesihatan disamping sakit misteri. Keadaannya ini membuatkan aku kurang sabar untuk menangani ragamnya.

Tambahan lagi beliau seorang yang agak boros berbelanja dan bersikap tak mahu kalah dengan orang lain walaupun sedar keadaan kewangan keluarga. Bila ditegur dimarahnya kita semula.

Konflik dari kecil sehingga kini ialah ugutan emosi dari mak bapak terhadap aku.

Selalunya bapa dan adik beradik kurang peduli jika melibatkan perbelanjaan urusan harian yang kelihatan kecil tetapi bila setiap hari jumlah yang kecil dihimpunkan menjadi agak membebankan lagi keadaan kewangan kami suami isteri.

Contohnya kami suami isteri mesti menuruti semua rancangan mak. Tidak boleh kata tak mahu turut serta acara keluarga seperti membeli belah atau makan-makan di restoran.

Jika kami membeli sesuatu barang, mak pun mahukan barang yang sama dibelikan untuknya. Bila keluar bersama-sama ke mana-mana harus sediakan “duit jajan” dan duit makan untuk sekeluarga.

Contohnya jika keluar dari pagi hingga ke malam, bersedialah untuk berbelanja besar. Sebulan sekali boleh la juga. Tapi kalau hampir setiap hari, terganggu juga perbelanjaan kami suami isteri.

Aku memang betul-betul rasa benci dan meluat dengan keluarga aku sendiri.

Kenduri kahwin kami yang asalnya kami suami isteri rancang buat secara kecil-kecilan dan mengikut citarasa kami dibantah sepenuhnya oleh mak. Bapak pula jenis tak reti buat keputusan dan bertegas.

Belanja kahwin saja hampir mencecah RM30K.

Baru-baru ini bapaku meminjam dengan suami. Suami beri juga walaupun berat hati. Jumlahnya walaupun hanya ratusan ringgit tetapi menjejaskan poket kami.

Entahlah. Kalau tak bagi tentulah dikatanya kami berkira walaupun kami sendiri ikat perut.

Aku membeli rumah tanpa rela berkongsi nama dengan mak. Atas alasan nanti rumah tu akan diberikan kepada aku. Tapi aku dah nampak apa nasib aku sebab sehingga sekarang pun rumah tu masih belum dihibahkan ke atas nama aku.

Tak mustahil rumah sekangkang kera tu akan jadi rebutan atas nama harta pusaka perlu difaraidkan satu masa nanti.

Pinjaman rumah atas namaku secara paksaan dan disebabkan aku tak yakin dengan kata-kata ibu bapaku rumah tu sememangnya hak mutlak aku kelak, bayaran bulanan pinjaman aku biarkan mak dan bapak lunaskan. aku tak ambil peduli.

Lagipun aku memang masih belum mampu untuk beli rumah. Keadaan kewangan aku sangat teruk memandangkan gaji aku yang kecil, hidup di bandar besar dan ada pinjaman peribadi akibat ditipu orang.

Perkara lain yang buat aku makin benci dan meluat dengan keluarga aku sendiri, sebab aku perlu menguruskan bayaran bil utiliti ahli keluarga yang mana masing2 dah tua bangka boleh bayar bil sendiri tapi semua harap aku yang bayarkan.

Kalau aku terlupa, sampai kiamat pun, mampuslah takde adik beradik lain yg akn buat bayaran walaupun pihak-pihak yang berkenaan telefon mengatakan ada tunggakan bil dan perlu dibayar segera.

Tetap aku juga yang perlu uruskan. Yang ini pun aku berkeras tak nak pakai duit aku. Aku hnya tolong bayarkn sahaja bila bagi duit pada aku.

Aku jadi semakin marah dan dendam bila aku perlu beli dan bayar apa sahaja keperluan sendiri dan menyumbang duit kepada ibu bapa sebaik sahaja aku mula bekerja tapi tidak untuk adik beradik yang lain.

Masing2 perbelanjaan ditanggung oleh ibu bapa walaupun dah berumur 20-an ke atas.

Skrip mak dan bapak aku, “anak orang lain hulur duit bulanan kt mak bapak kurang-kurang mak RM300 bapak RM300. Tapi anak kita tak bagi pun macam tu.”

Macam mana nk bg? Gaji aku suami isteri kecil. Dgn gaya belanja harian macam orang ada-ada. Kami suami isteri bercatu makanan. Catu belanja. Kami memang tak mampu nak bagi duit belanja sebanyak itu kepada ibu bapa.

Mujur saja keluarga mentua bukan jenis meminta belanja bulanan. Syukur mereka sedikit memahami keadaan kewangan kami.

Yang buat aku sakit kepala, yuran penyelenggaraan rumah yang dibeli itu rupanya ada tunggakan ribuan ringgit. Itu belum masuk tunggakan bil utiliti yang lain.

Sekarang aku sedang hamil. Suami pula entah apa gila dengan keadaan situasi kewangan yang menjerut kami,

Ingin membawa ibu bapa mentua tinggal dengan kami dengan alasan mereka boleh tolong tengok-tengokkan aku semasa berpantang, tolong jaga cucu yang bakal lahir tak perlu hantar dan bayar pengasuh.

Aku rasa serabut sangat, aku ni jenis tak suka bercakap tapi mak bapak aku dan mak bapak mentua jenis suka call berkali-kali dalam sehari bertambah buat aku rasa rimas.

Kalau aku tinggal serumah dengan mentua nanti mesti lagi serabut kalau dah serumah tapi berat mulut. Dijamin akan ada masalah lain pula yang akan timbul.

Buat masa sekarang ni. Aku dah rasa nak blok semua orang dan terjun bangunan. Aku betul-betul penat dan tak larat.

– Ayla (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *