Assalamualaikum w.b.t. Pertama sekali, terima kasih kepada admin kalau penulisan ini dipilih untuk disiarkan buat tatapan pengikut setia iium confession.
Buat pembaca sekalian, kalau kandungan artikel ini mengecam atau menyentuh sensitiviti kalian, aku mohon maaf. Pasti kalian sendiri sudah jelas dengan kandungan penulisan ini berdasarkan tajuk yang aku pilih.
Bertahun aku mengikuti laman iium confession ni dan pelbagai cerita dan pengalaman songsang yang dikongsikan buat tatapan umum. Ada yang mengecam, tak kurang juga yang memberi semangat.
Hari ini aku terdetik untuk menulis terutamanya selepas membaca tentang kekeliruan adik confessor yang menulis confession bertajuk diari seorang songsang, (https://iiumc.com/diari-si-lelaki-songsang/).
Ya, aku salah seorang yang diuji dengan naluri songsang. Pertama sekali, aku tahu masih ramai yang mempunyai prejudis bila ada confessor yang mengatakan naluri songsang ini ada secara semulajadi dalam diri mereka.
Kadang-kadang darah aku tersirap apabila membaca komen-komen yang mempersoalkan hal ini, malahan ada yang selalu mengatakan pasti ada faktor atau peristiwa yang menyebabkan seseorang itu tiba-tiba menjadi songsang.
Tapi, aku juga faham bahawasanya kalian tidak pernah berada di tempat kami dan tidak mengalaminya sendiri jadi kalian berhak untuk mempersoalkannya. Tambahan pula, isu ini sangat ditentang agama kita (aku juga hamba Allah yang Maha Esa).
Aku mula sedar tentang ‘kesongsanganku’ pada usia 15 tahun. Itu pun setelah ustaz mengajar tentang ‘Musahaqah – hubungan sesama perempuan’ yang terkandung dalam silibus pendidikan islam. Barulah aku faham kenapa selama ini aku tertarik kepada kaum sejenisku sendiri.
Berbalik kepada soal naluri ini semulajadi atau tidak, aku mula membuat kajian sendiri ketika aku menginjak dewasa dan pastinya sebab aku sudah mendapat akses internet ketika itu pada usiaku 18 tahun.
Daripada pelbagai sumber yang aku temui, aku bahagikan golongan songsang ini kepada 3 golongan.
1) Naluri semulajadi – Golongan ini sebenarnya golongan yang diuji dan mereka mula tertarik pada sesama jenis seawal usia 9/10/11 tahun dan aku ialah salah seorang daripada mereka. Kenapa semulajadi?
Sebab seawal usia 10 tahun, aku tertarik kepada kawan aku sendiri. Aku tidak pernah terdedah kepada anasir negatif yang berkaitan (gambar, video atau yang seangkatan dengannya) yang boleh menjadi faktor yang menggalakkan kecenderungan aku ke arah itu.
Aku dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan agama jadi aku tak pernah tahu apa-apa tentang hubungan antara perempuan dan lelaki (s***) sehinggalah aku mengenal internet. Dan pada usia ini jugalah aku mula mengenal perkataan ‘lesbian, gay, homos3ksual, bis3ksual’.
Golongan songsang semulajadi ini kebanyakannya berusaha untuk menentang naluri mereka dan tidak ada apa-apa yang kami inginkan melainkan untuk menjadi ‘normal’ seperti orang lain.
2) Kesan trauma dengan opposite gender – Golongan ini pun ramai dan pastinya disebabkan s3xual harassment yang dialami sejak mentah atau ketika remaja jadi mereka ‘memilih’ untuk beralih arah.
Aku kata memilih kerana hakikatnya masih ramai mangsa s3xual harassment di luar sana yang kekal di jalanNya walaupun mereka masih menyimpan parut dan luka lama.
3) Terpengaruh dengan rakan sebaya – Ini faktor klise yang kita selalu tulis dalam karangan di sekolah. Tapi, faktor inilah yang paling bahaya sebab merekalah penyebar nafsu songsang yang melahirkan bis3ksual.
Ramai juga yang terjebak kerana nafsu walaupun mereka hakikatnya tidak songsang. Bila sekali terjebak, sukar untuk mereka melupakan dan kembali normal.
Aku tahu ramai yang sedang berjuang untuk kekal di jalan yang diredhaiNya dan aku harap kalian terus kuat. Aku juga masih berjuang kerana perasaan itu masih ada.
Buat adik-adik di luar sana yang sedang berada dalam kecelaruan identiti ini, hanya satu nasihatku – Jangan pernah ada niat untuk mencuba (berpasangan sesama jenis, hubungan fizikal, dll) kerana sekali terjebak, sukar untuk kembali lagi.
Alhamdulillah, aku tidak pernah terjebak kerana Allah masih melindungi aku sehingga ke hari ini tapi ‘perasaan’ itu tidak pernah hilang.
Buat rakan-rakan seperjuangan, aku doakan semoga kalian terus kuat dan terpelihara sentiasa. Buat pembaca yang budiman, aku alu-alukan kecaman dan persoalan daripada kalian. Terima kasih. Semoga Allah memberkati kita semua. Aamiin…
– Ms. D (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit