Dulu, masa saya masih bergelar pelajar perubatan di USM, ada satu masa saya ditempatkan di jabatan kecemasan HUSM, atau yang selalu dipanggil ED (emergency department) oleh staf kesihatan. Dalam posting ini, memang ada beberapa hari yang kami kena oncall bermaksud kami perlu tinggal di zon kuning atau zon merah sepanjang malam bagi menimba ilmu perubatan sebanyak mungkin dalam posting yang sekejap itu, iaitu selama 4 minggu.
Memang menarik pengalaman posting di situ. Macam-macam kes yang saya boleh belajar, dan pengalamannya sedikit menarik kerana kami dapat menerima kes secara first-hand, bukan seperti di wad, di mana kebanyakkan pesakit telahpun disoal dan diagnosis telah dibuat oleh medical officer (MO). Kiranya ibarat kes yang segar dari ladang lah ni.
Banyak kes-kes trauma seperti kemalangan akibat terlanggar lembu yang tiba-tiba melintas tengah jalan, kes-kes perubatan seperti angin ahmar dan sakit jantung serta kes-kes sakit puan. Saya pernah terdengar seorang pakar perubatan di sebuah hospital ini mengatakan bahawa MO di jabatan kecemasan bekerja ibarat seorang polis trafik, mereka stabilkan pesakit, dan kemudian divert serta reroute mereka ke jabatan yang berkaitan.
Kes-kes yang teruk ini menambah ilmu pengetahuan serta menjadikan saya lebih bersedia tentang apa yang perlu dibuat andai saya bertemu dengan pesakit-pesakit yang mempunyai diagnosis yang sama. Namun, ada satu kes yang saya kira tersangat unik, bukan kerana kesusahan dan cabaran untuk merawatnya, tetapi lebih kepada menunjukkan bahawa betapa nonsense nya seseorang itu boleh jadi.
Kes ini berlaku pada malam Hari Raya Aidiladha, di mana semasa itu saya tidak pulang ke kampung halaman. Jadi, memandangkan saya kebosanan, adalah lebih elok untuk saya ke ED, untuk belajar serta membantu staf di sana seperti mengambil darah dan memasang branula.
Jam 9.00 malam, kami didatangi oleh seorang pemuda berusia awal 30-an. Apabila disoal oleh Assistant Medical Officer (AMO) di sana tentang sebab kedatangannya ke ED, dia menjawab
“Saya keguguran rambut selama 3 hari dah”.
Saya dapat lihat reaksi AMO tersebut apabila diberitahu sebabnya. Sudahlah kompennya keguguran rambut, masalah keguguran rambut itu sudahpun bermula sejak 4 tahun lepas lagi, dan katanya semakin ‘teruk’ 3 hari lepas.
Berbuih mulut AMO tersebut menasihati pesakit sedemikian, namun dia masih berkeras mahu berjumpa dengan MO dan ingin mendapatkan rawatan. Ini kerana esok, Hari Raya Aidiladha dan bakal tunangnya akan datang kerumahnya, jadi dia berasa malu sekiranya kepalanya botak di tengah.
Setelah di triage ke zon hijau, doktor pakar jabatan kecemasan diberitahu mengenai pesakit itu. Memang dah boleh agak respon mereka yang bukan tersengih atau ketawa terbahak-bahak, tetapi lebih kepada kehairanan. Namun, pesakit tetap pesakit, hak untuk mendapatkan rawatan itu tetap ada, dan doktor pakar tadi membiarkannya terlebih dahulu memandangkan zon merah dan zon kuning penuh dengan pesakit.
Mereka perlu membuat round dan membincangkan pelan rawatan setiap pesakit, yang berpuluh-puluh orang itu. Fikir mereka, kalau sudah terlalu lama menunggu, pasti pesakit tersebut kecewa dan pulang, tetapi jangkaan mereka meleset. Dia masih menunggu sehingga ke jam 2.00 pagi.
MO terus memanggilnya, dan memberikan surat rujukannya ke pakar kulit dalam tempoh dua minggu. Beberapa kali saya lihat MO tersebut menggeleng-gelengkan kepala sepanjang perbualannya dengan pesakit itu, dan agak hairan. Mungkin MO tersebut confuse sama ada nak memberi rujukan tersebut ke pakar kulit ataupun ke pakar psikiatri.
Saya bukan nak mentertawakan serta menjadikan pesakit tersebut sebagai satu bahan jenaka, tetapi lebih kepada menceritakan kepada anda semua, betapa karutnya seseeorang itu dalam masyarakat kita yang serba moden ini boleh jadi sehinggakan kes sedemikian pun masih dianggap sebagai kecemasan.
Di sini, saya nak kongsikan beberapa pengajaran penting yang saya dapat pelajari di jabatan kecemasan, supaya anda sebagai seorang pesakit boleh belajar sekali bersama;
1. Mengikut kepada kamus dewan bahasa dan pustaka, kecemasan bermaksud keadaan bahaya dan darurat, dan dalam konteks perubatan bererti sesuatu penyakit atau keadaan pesakit yang memerlukan rawatan secepat mungkin.
Contohnya seperti; Sakit jantung, angin ahmar, kemalangan jalan raya, serangan lelah, tidak boleh bernafas, lemas, muntah darah dan berak berdarah. Sakit gigi sejak 4 hari lepas, gatal punggung, ketiak masam, kentut busuk, demam selsema, hilang selera makan, ditinggal kekasih, mandi tak basah, tidur tak lena atau tahi hidung lekat tak boleh nak korek bukan kecemasan!
2. ED ada beberapa zon.
Zon merah adalah untuk pesakit kritikal (bilangan katil yang terhad, masa menunggu – tidak perlu menunggu)
Zon kuning adalah untuk pesakit separa kritikal dan masa menunggu adalah kurang daripada 10 minit. Doktor yang dirujuk perlu merawat pesakit kurang daripada 30 minit mengikut KPI yang ditetapkan.
Zon hijau adalah zon tidak kritikal, di mana pesakit harus dilihat oleh staf kecemasan kurang daripada 30 minit dan perlu dirawat oleh MO kurang daripada 90 minit.
Wad pemerhatian adalah untuk memerhati dan melihat respon pesakit yang mana rawatan biasanya mengambil masa yang sedikit lama, seperti rawatan drip intravena untuk pesakit yang cirit-birit.
Terdapat banyak lagi sub-division untuk ED, antaranya OSCC, Call Center, Stroke and Thrombolysis, STEMI Network dan lain-lain mengikut kepada hospital tersebut.
3. Anda nampak ada 5 bilik doktor, cuma ada satu sahaja bilik yang ada doktor, tolong jangan kondem. Mereka selalunya ada staf yang terhad. Kadangkala dan selalunya, akibat terlalu ramai pesakit di zon kuning, doktor daripada zon hijau akan dikerah ke sana, begitu juga dengan zon merah. Mereka pakar dalam mengutamakan pesakit yang mana perlu diberi perhatian dan rawatan terlebih dahulu.
4. Tiada konsep “first come first served” di ED. Zon merah akan dirawat terlebih dahulu, kemudian zon kunung dan akhir sekali zon hijau. Bayangkan anda datang sebab sakit perut sejak minggu lepas, kemudian ada pesakit kena serangan jantung, sudah tentu mereka akan merawat pesakit yang sakit jantung terlebih dahulu. Logik la kan?
Takkan anda nak marah staf hospital pula tentang pesakit yang kena serangan jantung itu pula kan?. Kalau anda rasa nak marah juga, anda boleh masuk ke zon merah dan marah pakcik tu, kenapa dia nak kena sakit jantung malam ni jugak, dan disebabkan dia, doktor lambat merawat anda.
5. ED bukan tempat mengisi semula ubat-ubatan. Hanya kerana anda malas nak ambik tarikh temujanji dengan klinik OPD atau klinik pakar, itu tidak bermakna anda boleh ke ED untuk mendapatkan ubat-ubatan anda yang kehabisan itu. Buat macam ni, karang anda kena sepak sampai dapat ED (erectile dysfunction) pula.
6. ED bukan tempat bergaduh. Baik bergaduh dengan staff mahupun bergaduh sesama sendiri. Dulu ada kes samseng lawan samseng, pergaduhan sampai berlarut di ED. Belah kanan ada seorang pesakit yang dah terburai perut akibat ditikam, yang belah kiri pulak ditikam di dada dan tension pneumothorax. Yang tengah-tengah ni pula, sibuk nak bertekak dan gaduh mulut antara satu sama lain.
Anda akan menghalang staf kesihatan daripada melakukan tugas mereka. Sila simpan pergaduhan anda dan mungkin boleh teruskan di rumah pula.
7. Membuat aduan secara langsung, membebel serta membising pada staf kecemasan tidak akan mempercepatkan giliran anda. Kecoh la macam mana pun, anda tetap akan dilayan mengikut keutamaan. Kalau dah memang rasa anda yang betul, anda boleh isi borang aduan dan masukkan di dalam peti aduan.
Saya sendiri pun, kalau tak berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh staf kesihatan, saya akan tulis aduan. Percayalah cakap saya, aduan itu bukan akan diabaikan, sebaliknya akan disiasat.
Saya tahu sebab saya pun pernah diadu lepas saya maki pesakit taknak masuk brannula walhal sedang mengalami pendarahan yang aktif. 3 branula yang saya masukkan sebelum itu direntap keluar, dan apabila saya nak masukkan kali keempat dia panggil saya bodoh. Saya pula membalas dengan memanggil dia biawak, hujungnya saya kena komplen dengan anak biawak. Kes berlarutan sehingga akhirnya saya kena tulis surat tunjuk sebab.
8. MC seeker akan dapat dihidu oleh AMO mahupun doktor di situ. Percayalah, anda bukan orang pertama dan bukan yang terakhir. Susah nak perdayakan mereka, tak berbaloi dan mereka dah lali sangat dah. Jangan buang masa staf kesihatan hanya kerana anda nak ponteng kerja.
9. Satu pesakit sewajarnya perlu ditemani 1 orang sahaja. Ini bukan tempat pesta muda mudi mahupun bazaar Ramadhan. Masuk seorang dua sahaja bila dibenarkan, tak perlu bawa saudara mara, jiran kampung, JKK surau, JKK kampung, anak saudara, biras, saudara bau-bau bacang dan lain-lain. Pesakit satu, yang kerumun pesakit satu kampung.
Itu tak dikira budak-budak terejal yang berlari sana-sini main dan rosakkan probe ultrasound yang beribu harganya. Jangan kata pihak hospital melarang anda menziarahi pesakit, di wad boleh, tapi ini di wad kecemasan, memang tidak boleh.
10. Jangan sesekali menyalahgunakan perkhidmatan ambulans. Ada yang menelefon ambulans untuk minta tukar Ryles tube, tiub kencing, untuk hantar pergi temujanji dan lain-lain. Tak lama lagi ada pulak yang call ambulans sebab nak minta tolong tukar lampin ayah dia.
Jadi, itulah dia. Memang anda rasakan mengarut tak agak-agak apabila rambut gugur, dia dapatkan rawatan di kecemasan, tapi percayalah, kes ini pernah berlaku. Saya juga rasa kes ini bakal berlaku lagi selagi masyarakat tidak memahami fungsi wad kecemasan ini.
Memang wad ini menerima pesakit selama 24 jam sehari, namun anda perlu ingat, pesakit KECEMASAN sahaja.
Jadi, itu sahaja yang saya boleh kongsikan. Harapan saya, para pembaca boleh menambah ilmu pengetahuan masyarakat umum mengenai wad/jabatan kecemasan.
Saya ingin memohon maaf andai kata pembaca tidak selesa dengan bahasa pasar dan campuran bahasa Melayu dan Inggeris di dalam artikel ini kerana sesetengah perkataan memang agak pelik apabila saya gunakan Bahasa Melayu. Bukan niat nak merosakkan bahasa ya. Maafkan saya.
– Ilzanno Sharky
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit