Aku Syasya (nama samaran). Umur dalam lingkungan 20-an. Bujang tetapi dalam relationship lebih 3 tahun. Aku tak nak kahwin sebab mak bapak aku.
Bapa aku dulunya berkahwin dengan ibu aku sehingga mereka dapatkan aku dan abang aku. Kemudian mereka bercerai ketika aku berusia 3 tahun. Usia mereka ketika bercerai adalah sama dengan usiaku sekarang.
Pada umurku 9 tahun, bapaku berkahwin lagi. Cukuplah sekadar itu aku bercerita.. dan mak tiri aku ni alhamdulillah baik orangnya. Cuma sebagai anak tiri, kita rasa perbezaan kasih sayang itu walaupun dia kata kita dianggap sebagai anak sendiri.
BF aku menyatakan hasrat untuk berkahwin denganku setelah 1 tahun berkenalan. Aku menyatakan hasrat tersebut kepada ibu bapaku. Mereka cuma diam.
Selepas aku bercerita tentang latar belakangnya ibu bapaku tidak setuju. Alasannya mereka tidak mahu aku duduk dengan mertua.
Aku juga setuju dengan alasan itu dan mengatakan bahawa dia boleh berhijrah ke negeriku dan tinggal di rumah ibubapaku sementara.
Namun mereka tidak setuju. Mereka ingin dia menyediakan rumah khas untuk kami berdua.
Aku pelik kerana apabila abang aku berkahwin dan duduk bersama kakak ipar aku dan ibu bapa mertuanya, ibu bapaku tidak membantah.
BF aku bukanlah menganggur. Dia bekerja cuma pekerjaannya tidaklah semegah mana bekerja di ofis. Dia berniaga menolong emaknya. Ada kalanya naik, ada kalanya turun. Namun, aku nampak usahnya menghalalkan aku.
Bapaku juga kerap mengatakan keluarga akan kekal sampai bila-bila tetapi pasangan boleh menjadi musuh utama kita. Aku tahu dia bercakap tentang ibu kandungku.
Aku rasa tidak adil. Aku dihukum oleh ibu bapaku atas kesalahan ibu kandungku.
Aku ingin cepat-cepat kahwin kerana aku ingin melakukan ibadah yang paling panjang kepada-Nya. Dan kerana aku tidak mahu duduk di rumah. Mentalku koyak. Aku dilayan seperti babu dan burung.
Aku tidak berkira tentang kerja rumah tetapi aku sahaja yang kena buat. Bila adik-adik tiri atau abang aku culas membuat kerja rumah, ibu bapaku membela mereka. Alasan mereka lelaki.
Aku juga dulu dilarang bekerja sehingga aku tekad lari rumah untuk bekerja.
Apabila aku bekerja, mereka paksa aku berhenti. Alasannya kerja retail tidak megah. Mereka ingin aku kerja 9-5 dengan gaji banyak seperti mereka walaupun aku tiada pengalaman.
Kawan, lagilah tiada. Kawan-kawan yang semuanya perempuan aku menjemput aku keluar berjalan atau ke kenduri perkahwinan mereka sahaja pun aku dilarang pergi.
Ada sahaja alasan, waktu hari bercuti dengan keluarga, duduk di rumah sahaja lebih baik, perempuan tidak elok keluar berjalan-jalan dsb.
Jangankan kawan, hatta aku ingin berjumpa dengan adik tiri aku sendiri daripada ibu kandungku, hanya abang aku dibenarkan jumpa. Aku tidak boleh. Betul-betul seperti burung yang dikurung.
Bila aku menyuarakan tentang hasrat perkahwinan dgn BF aku berkali-kali, mereka tetap membantah.
BF aku pun ada mesej sendiri ayah aku untuk berjumpanya secara depan berdua sahaja untuk berkenalan dan menyatakan hasratnya untuk mengahwini aku, namun ayah aku tidak mahu langsung berjumpanya. Alasannya tidak kenal.
Aku cakap jika begini lebih baik ibu bapa aku sahaja carikan aku calon suami yang mereka kenal dan kahwin kan saja aku. Mereka tidak mahu. Alasannya mereka tidak mahu memaksa.
Apabila aku cakap kalau susah begini baik aku tidak kahwin sahaja, mereka juga cakap tidak boleh.
Alasan mereka siapa nak menjaga aku bila mereka tiada.
Aku sedar diri aku bukanlah cantik, educated, dan bercareer hinggakan ada dato atau anak dato ingin meminangku tiba-tiba. Kerjaya pun aku tiada kerana mereka suruh aku berhenti kerja.
Ibu bapaku menyuruhku memutuskan hubungan dengan BF aku. Aku masih bertahan.
Namun 3 tahun usia perkenalan bukanlah mudah. Sudah beberapa kali kami terlanjur.
Kami ada pergi ke sempadan untuk bernikah di sana terlebih dahulu. Tetapi pernikahan di sana juga dianggap haram di sisi agama dan undang-undang Malaysia. Aku buntu.
Ada kalanya aku ingin sahaja berterus terang dengan ibu bapaku bahawa kami telah terlanjur dan tidak ingin membuat perkara haram lagi. Namun aku tau, mereka tetap tidak akan membenarkan juga kami berkahwin.
Kadang-kadang aku terfikir biarlah aku mengandung jika susah begini. Tapi aku tidak mahu menganiaya anak aku hanya kerana keinginan diri aku seperti mana yang dilakukan ibu bapaku.
Sekarang aku fikir aku boleh putuskan hubungan aku tetapi aku tidak akan kahwin seumur hidup aku.
Aku tau jika aku bawa lelaki yang sempurna sekalipun di depan ibu bapaku, mereka akan mencari sekecil kecil alasan untuk tidak mengahwinkan aku.
Biarlah aku menjadi andartu kerana ibu bapaku dan adat Melayu.
Islam ini mudah tetapi ibu bapaku telah menampakkan padaku yang sebaliknya.
– Syasya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit