Jadikanlah Sempadan

Assalamualaikum w.b.t. Aku nak kongsikan pengalaman kawan aku dan diharap cerita ini dijadikan sempadan.

Kawan aku bekerja di Putrajaya, sudah tentu semua tahu dia bekerja sebagai pegawai kerajaan.

Aku memang rapat dengan Fauzi, kami sama-sama minat aktiviti outdoor. Hiking, cycling, running, camping – you just name it hampir setiap minggu kami akan lakukan.

Keluarga Fauzi juga aku dah kenal. Ayahnya dan adik beradiknya juga telah mengenali aku.

Kalau Fauzi rindu makanan arwah ibunya atau suasana bersama seorang insan bernama ibu, dia akan minta izin aku untuk ikut balik kampung kat Kuala Selangor.

Senang cerita, Fauzi dan aku sudah seperti keluarga walaupun tiada pertalian darah.

Satu hari, Fauzi datang ke rumah aku. Waktu itu hujung minggu dan aku sedang berehat sahaja di rumah kerana Fauzi kata dia ada hal penting untuk diuruskan, maka tiada perancangan aktiviti outdoor yang boleh dilakukan.

Namun, apabila menerima panggilan Fauzi yang dia nak datang ke rumah, aku hanya menyangkakan urusan dia dah selesai dan mungkin dia bosan kerana tiada aktiviti.

“Lan, aku nak cakap sesuatu tapi tolong janji untuk simpan semua ini hanya untuk diri kau sahaja.”

Aku sedikit terkedu. Sudah bertahun-tahun mengenali Fauzi, aku dah kenal nada suara serious ini. Mesti ada hal penting yang ingin dia sampaikan. Aku hanya mengangguk sambil merenung tepat padanya.

“Tadi aku ambil result blood test. Aku positif HIV.” Fauzi berkata perlahan sambil menundukkan kepala. Aku tersentak. Kenapa?

Bagaimana? kedua-dua persoalan ini hanya terluah di dalam hati. Aku tak sanggup untuk bertanya. Aku cuma mahu dengar daripada mulut dia sendiri.

Setelah satu minit lebih terdiam, Fauzi mengangkat mukanya dan memandang aku.

“Aku dah buat salah Lan. Aku takut. Aku terlalu percayakan orang. Aku pentingkan nafsu aku sahaja. Kau tau aku macam mana kan Lan?

Sebab cuma kau sahaja kawan baik aku yang normal yang sanggup terima kekurangan aku sebelum ini, sebab tu aku datang pada kau. Aku takut nak cakap dengan keluarga aku. Aku takut dibuang keluarga.”

Aku mula membuka mulut walaupun jantung aku masih berdegup kencang.

“Kau tahu tak dari mana kau dapat?” soal aku berpura-pura tenang.

“Aku rasa aku tahu.”

“Siapa?” soal aku.

“Kau kenal tak Ari? Budak PTD tu. Kita Pernah Cycling dan hiking dengan dia sebelum ini.” Ada air mata jatuh di pipi Fauzi.

“Tak baik tuduh sebarangan bro.”

Aku sememangnya tidak percaya. Ariezal (bukan nama sebenar) adalah someone yang memang agak terkenal di Putrajaya. Kalibernya tidak dapat disangkal malah dia aktif dalam aktiviti outdoor.

Apa yang aku tidak sangka adalah, dia juga memiliki nafsu songsang seperti Fauzi.

“Sebenarnya Lan, dah lama aku dengar orang cakap yang dia ada HIV, tapi taku tak percaya. Dia kan nampak sihat je. Aku pernah buat benda tu dengan dia beberapa kali.

Ada satu hari aku ternampak ubat yang dia ambil, aku google ubat tu dan dapati ianya untuk pesakit HIV. Dari situ aku jadi takut.

Sebab tu 3 hari lepas aku pergi ke klinik untuk buat ujian darah, dan hari ini aku ambil result dan doktor sahkan aku positif HIV. aku juga ada sifilis dan tanda awal gonorea.

Kenapa aku cakap dia adalah punca aku dapat sakit ni semua sebab aku cuma pernah buat benda tu dengan dua orang sahaja. Sebelum dengan Ari, aku pernah buat benda tu dengan seorang lelaki ni, tapi sekali sahaja. Cuma itu cerita setahun sebelum aku kenal Ari.”

Aku menghela nafas perlahan. “Doktor cakap apa berkenaan rawatan?” aku bertanya ringkas sebab bagi aku apa yang penting sekaranga dalah rawatan.

“Doktor minta aku buat check-up dekat klinik kesihatan untuk second opinion. Doktor kata klinik kesihatan lebih pakar untuk handle benda ni.” Jawab Fauzi panjang lebar. Aku mengangguk faham.

“Fauzi, aku harap kau tak putus asa. InshaaAllah apa yang aku boleh bantu akan aku bantu. Kau kena fokus untuk rawatan sekarang. Aku tak tahu sangat tentang penyakit ini.

Jadi, aku rasa kau dengar la cakap doktor. Hari Isnin nanti kau pergi klinik kesihatan. Dapatkan rawatan segera.” Aku berikan sedikit nasihat kepada kawan baik aku ini.

“Ini pengajaran Fauzi. Ini teguran dari Allah.” Aku tepuk bahu Fauzi dan aku biarkan dia tersengguk-sengguk menangis. Aku yakin dia kuat.

Aku juga berjanji untuk bantu dia seterdaya aku.

Kisah ini sudah berlalu 6 tahun lepas. Fauzi disahkan positif HIV 6 tahun lalu oleh klinik kesihatan present 9.

Sepanjang hidupnya perlu mengambil ubat untuk memastikan virus yang ada di dalam badannya “TIDUR”. Istilah tidurlah yang sering digunakan oleh Fauzi untuk membuat aku faham sebelum ini.

Ariezal bagaimana? Aku ada terserempak dengannya di Putrajaya. Aku juga dengar dia masih lagi aktif dengan hubungan songsang TANPA KONDOM. Risau kan?

Aku yakin kumpulan hom0s3ksual sekitar Lembah Klang terutama Putrajaya mesti kenal dengan dia.

Di media sosial semuanya terlihat indah dengan cerita kebanggannya sebagai pegawai kerajaan dan aktiviti outdoornya, tetapi hakikatnya dia seolah-oleh merosakkan dirinya dan orang lain dengan aktiviti tidak bermoralnya.

Aku harap dia dah UVL supaya dia tidak menjangkiti mana-mana pasangan s3x nya selepas ini.

Aku banyak mengkaji tentang HIV dan mana-mana penyakit STD setelah Fauzi dijangkiti. Aku juga telah berkahwin dengan seorang aktivis HIV dan isteri aku pun sangat mengenali Fauzi.

Melalui pembacaan, mana-mana pesakit HIV yang dah UVL masih boleh menjangkiti/ dijangkiti penyakit STD yang lain. Oleh itu, suka aku nak ingatkan kepada semua untuk sentiasa berjaga-jaga.

Kita tiada hak untuk memberi persepsi negatif kepada seseorang individu yang mempunyai kelainan orientasi seksual seperti Fauzi. Kita bukan Tuhan untuk menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka.

Tetapi, dari sudut yang lain aku berharap agar sesiapa sahaja yang melakukan aktiviti sex yang tidak sihat untuk mengambil iktibar daripada kisah Fauzi dan Ariezal.

Ariezal memang nampak sihat 6 tahun lepas, tiada tanda-tanda dia ada apa-apa penyakit STD. Tapi akhirnya Fauzi dijangkiti (dan aku harap Fauzi bercakap jujur dengan aku berkenaan dengan senarai sex partner nya).

Tolonglah, anda yang aktif melakukan hubungan seksual secara tidak sihat, berhati-hatilah. Jangan sampai anda bertemu dengan seorang Ariezal lagi. Jadikanlah cerita Fauzi sebagai sempadan.

Tuntutan nafsu ni sedapnya sekejap sahaja, bila Allah dah tegur kita tidak boleh berpatah kembali.

Jika ada orang sekeliling kamu telah dijangkiti, tolong jangan hina mereka. Stigma perlu dibuang. Bantulah mereka. Jika tidak mampu bantu, diamlah dan doakanlah kebaikan untuk mereka.

– Azlan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *