Jadilah Wanita Bahagia

Bismillah.. Maaf kalau tulisan aku kali ini agak menyentak perasaan kalian. Tapi aku hanya ingin menyampaikan hasrat, semangat dan seruan untuk insan sekaum ku. Tak kira agama apa, muda atau tua, bujang atau berkahwin ataupun janda.

Sejak akhir-akhir ini makin banyak kisah penindasan wanita yang melibatkan harta dihidangkan di depan mata. Jujur aku sebak. Agamaku sendiri membela wanita, mewajibkan lelaki untuk menjaga wanita sepenuh hatinya dengan ganjaran syurga bagi sesiapa yang menyempurnakan tugasan itu dengan baik.

Bagi aku semua ni puncanya bila wanita tidak mempunyai harta. Ya, masyarakat amat memandang sinis pada wanita yang gilakan harta. Tapi cuba kita fikir balik. Bolehkah bahagia jika tiada harta? Nak pergi tandas awam pun kena bayar dengan harta. Inikan pula nak ambil hati pasangan.

Bercuti itu bahagia, tapi masih memerlukan kos kan? Kalau duit tak ada, emosi pun kacau bilau. Silap sikit mesti bergaduh. Lagi teruk kalau bergaduh sampai bercerai berai atau putus tunang.

Kita disogokkan dari zaman nenek moyang kita lagi, tugas mencari harta adalah tanggungjawab lelaki, manakala wanita hanya duduk di rumah menjaga anak dan menyiapkan keperluan suami dan anak-anak.

Tapi apa yang berlaku zaman sekarang, wanita keluar bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga, balik di rumah masih diperlakukan seperti hamba sedangkan si suami silang kaki mengadap PUBG bagaikan raja. Isteri perlu bayar itu bayar ini dan gaji si suami digunakan untuk berjoli. Lepastu komen pula isteri tak pandai berhias, bau bawang, tak pandai jaga body untuk suami.

Mana masa isteri untuk diri sendiri kalau seluruh jiwa raga hanya untuk keluarga? Seluruh duit gaji dibelanjakan untuk keluarga? Cantik itu ada kosnya. Isteri orang boleh cantik sebab suaminya bagi duit untuk beli baju, make up dan facial/ body treatment. Mangsanya tetap isteri yang dipersalahkan.

Jadi saya nak share beberapa tips untuk jadi wanita bahagia. Demi sebuah senyuman dari kalian.

Pertama, perlu ada simpanan untuk diri sendiri. Simpanan ini tak patut didedahkan pada sesiapa pun. Simpan secara istiqamah walaupun sedikit. Ikut suka nak simpan di bank atau simpan sendiri dalam bekas rahsia di lokasi rahsia.

Simpanan ini sangat berguna ketika kecemasan atau nak beli barang yang kita inginkan tanpa mengharapkan duit sesiapa. Kalau simpan di tempat yang boleh menggandakan duit tersebut, itu lagi bagus.

Kedua, sumber kewangan. Tak usahlah mengharapkan duit orang lain walaupun suami sendiri. Kita tak tahu sampai bila Tuhan pinjamkan suami itu. Mungkin esok lusa hatinya berubah atau Tuhan ambil dia kembali. Suri rumah? ada smart phone kan? Jadi dropship berniaga.

Masa anak tidur tu bolehlah jalankan operasi. Boleh guna kaedah iklan di Sh**e* atau F**eb**k dan I*st*g**m untuk promosi barangan atau perkhidmatan. Kalau yang ada bakat, boleh buat facial service, potong rambut, make up atau henna di rumah. Cuma semangat tu kena kental dan jangan cepat putus asa.

Gunakan Wh**sA** untuk kebaikan dan cari duit. Ilmu berniaga ni luas. Jadi jangan jemu. Selalu buat live untuk jaga good connection dengan pelanggan. Duit keuntungan dibahagi 3, rolling-simpanan-sedekah. Sedekah tak semestinya pada orang miskin, utamakan keluarga dulu.

Ketiga, jaga emosi. Sakit mental dah semakin serius di kalangan warganegara. Boleh aim nak jadi perfect tapi jangan teruskan kalau itu akan membuatkan korang jadi lebih stress. Contohnya wanita bekerja, balik kerja rumah bersepah. Kemas dan bersepah semula.

Masa anak-anak masih kecil bukan masanya untuk rumah yang kemas berkilau. Ini masa anak-anak meneroka dunia dan mengasah motor pemikiran mereka untuk lebih kreatif dan mempelajari benda baru. Jangan dimarah anak yang tidak mengerti apa-apa. Ajak mereka kemas bersama. Kalau terlalu penat, biarkan saja. Buat bila rasa tenang. Ambil masa untuk berehat. Ingat, kita bukan robot.

Kalau suami mau menolong, itu bonus. Mak mertua bising? Angguk sambil cakap, “ya baik mak”. Anggaplah mak mertua sedang buat latihan suara.Kenapa nak sentap dan fikir sampai semak otak?Jangan ambil hati dengan orang tua.

Keempat, jaga personaliti. Antara percaya atau tidak, cara manusia melayan kita adalah berbeza mengikut keterampilan kita. Sebenarnya tak perlu kos mahal pun. Tak ada siapa yang tanya ori ke idok? Kecuali golongan makcik makcik onion yang terlalu banyak waktu senggang untuk memikirkan hal orang.

Kalau di rumah, kenakan compact powder yang sesuai warna kulit dan sedikit lipstick supaya tampak lebih segar. Jangan lupa deodorant dan sedikit pewangi. Serta baju yang sesuai. Kalau banyak waktu lapang, seterika baju harian supaya nampak lebih kemas.

Kalau yang bekerja, dengan kos rendah boleh je dapatkan baju paling murah RM50 di media sosial. Inginkan lebih glam? Boleh cari diamond atau lace dan tambahkan pada baju (Sh*p** banyak jual). Untuk gaya yang lebih feminin dan kaboom, make up boleh ditambahkan dengan hilighter (bukan yang alat tulis tu ye) dan lipsgloss dan sedikit glitter eyebrow dan eyeliner.

Kelima, jaga perangai. Jangan selalu meminta-minta, jangan selalu sibuk jaga hal orang. Fokus pada diri sendiri dan keluarga. Jangan berharap orang akan buat kerja untuk kita. Berhenti berkelakuan terlalu manja, merengek-rengek yang membuatkan kawan-kawan sekeliling menyampah.

Jadilah wanita yang sentiasa menawarkan pertolongan dan meringankan beban, tidak melaksanakan kerja saat akhir, dan fokus kepada hasil yang terbaik pada setiap tugasan yang diberikan. Bagi yang surirumah, fokus pada pendapatan sampingan, mencantikkan kawasan rumah, atau cari hobi berfaedah instead of membawang sampai lauk hangus.

Kenyataan – Siapa ada duit dia dipandang tinggi. Jadilah wanita bahagia dengan pendapatan sendiri dan peribadi yang positif. Selamat berbahagia wahai wanita. Tingkatkanlah amal ibadah seiring usia. Semoga kurang sikit kaum kita di neraka.

Saya mendoakan semoga wanita yang membaca artikel ini dimurahkan rezeki, dipermudahkan urusan yang baik-baik, dan diberikan kesihatan yang berpanjangan.

Mohon doakan saya juga berjaya menghabiskan PhD secepat mungkin, dan dimurahkan rezeki demi keluarga tercinta. Ingatlah, hidup ini terlalu singkat untuk dibazirkan dengan air mata. Bangkitlah wanita!

– Perempuan Tegar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *