Hampir setahun, datuk dan nenek ditimpa masalah kesihatan. Syukur Alhamdulillah mereka masih tinggal di rumah sendiri. Masih boleh berjalan, boleh untuk menguruskan diri sendiri namun sangat memerlukan bantuan dan penjagaan dari pihak lain.
Bagi mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku, adik beradik abah yang terdiri daripada 6 orang mengambil keputusan untuk bermalam di rumah datuk setiap hari.
Kebetulan adik beradik abah menetap di daerah yang sama, tidak jauh pun untuk berulang setiap hari jika perlu untuk ke rumah datuk. Paling jauh pun, kurang 1 jam sudah boleh sampai ke rumah datuk. Di sebelah siang pula, ada mak cik aku untuk tengok-tengokkan datuk dan nenek.
Abah seorang yang masih bekerja dalam kalangan adik beradiknya. Selebihnya, ada yang sudah pencen dan memang surirumah sepenuh masa. Ada juga yang sudah kematian suami. Namun tu tak menghalang abah untuk terima giliran lebih daripada adik beradik dia yang lain. Selain abah anak lelaki lah katakan.
Jadi, setiap dua @ tiga malam memang abah akan tidur di rumah datuk. Kalau hujung minggu pulangnya sebelah pagi, itupun pukul 9 pagi selepas siap membantu datuk dan nenek apa yang patut.
Abah pun aku lihat tak pernah berkira untuk jaga datuk dan nenek. Bersihkan najis orang tuanya pun sudah menjadi hampir rutin hidup abah. Sambil gelak tawa dia menceritakan ‘tugas mulianya’ membersihkan najis kepada kami. Dan Abah pun memang selalu bawa kami sekeluarga lawat datuk dan nenek.
Pada awalnya, semuanya berjalan dengan lancar. Semakin lama semakin ‘kelakar’ aku lihat gelagat adik beradik abah. Ada yang mula liat untuk menjaga datuk dan nenek, dengan alasan mahu ke masjid. Mahu belajar ilmu agama katanya. Ada juga yang siap hulurkan duit, sebagai ganti untuk siapa yang menjaga datuk dan nenek.
Ada yang datang untuk setakat tidur sahaja, datangnya lewat. Pulangnya awal. Tak apalah, sekurang-kurangnya tidaklah sanggup menghulur duit sebagai ganti untuk menjaga orang tua sendiri. Abah tak banyak berkongsi hal ‘buruk’ adik beradiknya pada aku. Inipun, aku tahu daripada ibu.
Macam-macam ragam yang dapat aku lihat. Alhamdulillah, mereka masih tidak segan untuk turut menghulurkan makanan. Mungkin untuk bermalam di rumah datuk berat untuk dilaksana barangkali. Jadi tinggallah 3 daripada 6 adik beradik abah untuk tidur rumah datuk.
Setiap hari selepas habis kerja abah juga akan ke rumah datuk untuk melawat atau membelikan makanan petang. Dan setiap hari bekerja jugalah, abah akan pulang lewat ke rumah. Ibu? Setiap petang sabar menunggu kepulangan abah. Tahu, suaminya lewat pulang kerana ada rumah lain yang perlu di ‘lawat’ seusai kerja.
Itu tak termasuk abah dapat ‘on call’ kerana datuk berak merata atau jatuh terlentang perlukan bantuan. Dan kadang-kadang abah/ibu juga yang membelikan barang dapur dan barang keperluan datuk dan nenek.
Ada hari, ibu membelikan lauk untuk nenek. Ada hari, ibu yang memasak lauk untuk nenek. Dua hari nenek simpan kalau ibu yang masak.
Untung ibu, nenek suka masakan menantu perempuannya seorang ini. Ada juga yang menghantar lauk, kadang-kadang tidak dijamah sedikitpun lauk itu. Samada tidak sedap atau kecil hati hanya lauk yang sampai bukan jasad yang sampai? Entah. Nenek lebih tahu.
Aku tahu, kadang-kadang abah tersepit antara datuk, nenek dan ibu. Lebih-lebih lagi dengan sikap sesetengah adik beradik abah yang cuba lepas tangan. Ibu cuma sabar. Ibu sabar melihat sesetengah adik beradik abah yang lain cuba untuk lepas tangan. Tapi sampai bila?
Aku risau suatu hari nanti, ibu mengungkit. Ibu memberontak. Ibu kecil hati kerana asyik abahlah yang perlu ke sana kemari. Abahlah yang buat itu abahlah yang buat ini. Padahal, ada lagi yang dekat daripada rumah kami untuk ke rumah nenek. Boleh sahaja tolong tengok-tengokkan sekejap.
Ini tidak, kalau tidak disuruh bukan main liat untuk datang menjenguk. Setiap keluarga pastinya ada komitmen masing-masing yang perlu dijaga.
Kadang terlepas juga ketidakpuasan hati ibu pada abah. Sengaja ibu merajuk, tanda perlukan perhatian dari seorang suami mungkin. Sering juga aku pujuk ibu. Maka, rajuk ibu tidaklah lama selepas itu. Alahai, ibu pun satu, macam pasangan muda. Hihi
Pujuk aku pada ibu;
“Sabarlah, abah kan anak lelaki?”
“Sabarlah, abah masih ada mak cik (kakak abah) untuk bantu tengok-tengokkkan datuk dan nenek sekali”
“Sabarlah, kita kena sokong abah. Abah buat benda yang betul kan”
“Sabarlah, datuk dan nenek baru sahaja macam ni, lihat keluarga lain. Ada yang sudah bertahun-tahun menjaga orang tua yang sakit”
Sampailah aku sedar lepas baca satu tazkirah bahawa tanggungjawab anak perempuan pun tak terlepas untuk turut sama menjaga orang tua. Boleh baca di page “Majlis lmu” untuk penjelasan lebih lanjut.
Mahu saja aku hantarkan tazkirah ini ke group whatapps keluarga. Biar sahaja adik beradik abah tahu. Bukan suami sahaja yang perlu diberi bakti. Bukan ilmu agama sahaja perlu dicari. Janganlah fikirkan suami sahaja sampai lupa ibu bapa sendiri.
Tapi tidaklah sengaja aku mahu keruhkan hubungan mereka yang selama ini jernih. Lagipun, bukanlah mereka abaikan terus datuk dan nenek. Pernah datuk dan nenek tinggal di rumah aku seminggu, namun tidak lama. Rumah sendiri lebih selesa mungkin.
Dan mungkin, kalau dikira mak ciklah yang paling banyak berkorban berbanding abah. Kalau abah buat sekali ganda, dia berganda-ganda lagi tengok-tengokkkan datuk dan nenek.
Merekalah yang mop lantai, basuh kain yang terkena najis, bersihkan tandas, masakkan nasi dan lauk, berikan suntikan insulin pada nenek (yang dahulunya tugas abah setiap hari). Terima kasih mak cik, ringankan beban abah.
Kagum aku pada ibu, abah dan mak cik juga beserta doa. Doa aku, mereka akan terus sabar untuk jaga datuk dan nenek.
Untuk abah, biarlah abah kena berulang hampir setiap hari pun. Biarlah masa abah untuk ibu tinggal sedikit pun. Biarlah sampai bila-bila pun. Semoga amalan itu sampai ke syurga. Semoga ada berkatnya dalam hidup kami sekeluarga. Doakan.
Dan kalau ibu abah tua nanti, anak-anak ibu abah pun akan sabar jaga ibu abah macam mana ibu dan abah sabar jaga datuk dan nenek. Bukan niat aku di sini untuk highlight kekurangan adik beradik abah.
Aku tahu, keluarga lain ada yang memendam rasa bertahun-tahun. Ibu bapa sendiri dijadikan barang mainan, diambil ketika mahu. Dibuang ketika tidak mahu. Sabarlah. Moga dengan sabar kalian, syurga menungggu kalian atas tiket ‘As-sobirin’ iaitu ‘orang yang sabar’.
Amin.
– Lavender (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit