Jagalah Hati

Assalamualaikum… Terima kasih admin dan semua yang sudi membaca coretan ini, ada sesuatu yang mahu dilepaskan untuk renungan bersama..

Merujuk tajuk, penulisan ini agak umum untuk menjaga hati semua orang.. kerana daripada hati akan menilai suka atau tidak, baik atau buruk.. Maka bersihkan hati untuk mendapat cahaya agar tidak terpesong menilai kebenaran.

Daripada hati juga akan menentukan niat seseorang, ikhlas atau tidak, dengki atau benci, suka atau sayang… Hati juga yang mengawal nafsu selain dipandu akal.

Di sini, yang paling perlu dijaga hati adalah ibu… Ibu yang melahirkan yang paling dekat nalurinya dengan anak… Yang mustajab doanya.

Ini kisah saya, tentang hati dan doa ibu…

Kisah ni dah lama, zaman sekolah… Tapi bila dikenang bagaikan segar dalam ingatan, masih ada dalam simpanan memori…

Hubungan saya dengan ibu sangat baik, sebab saya rasa ibu sangat baik dan saya baik, masa sekolah rendah saya suka belajar dan mendapat tempat ke asrama penuh.

Tapi sayang, saya sebenarnya manja kerana jarang buat kerja rumah termasuk basuh baju dan kasut, atau gosok baju… Jadi di asrama saya jadi kekok dan agak ketinggalan dalam mengurus diri sedangkan saya berpotensi untuk cemerlang dalam kelas.

Saya mula jadi resah kerana ada perkara yang tidak diurus dengan baik di asrama, baju hilang kasut hilang… Saya bagai keliru dan rasa dipulaukan bila selalu lewat atau tertinggal aktiviti.

Tiada yang membuli cuma saya sendiri yang rasa rendah diri seperti rasa tidak cantik, tidak pandai dan tidak berkemampuan.

Bila ada keluarga kawan yang datang melawat bawa banyak buah tangan dan makanan, saya cemburu. Keluarga saya jauh dan susah untuk datang..

Sehingga bila boleh balik hujung minggu saya tak balik sebab tak mahu menyusahkan keluarga, sudahnya saya histeria duduk sendirian di asrama.

Waktu tu seakan ada suara berbisik dan mendesak untuk bunuh diri. Terjun saja bangunan kamu tak berguna, memalukan keluarga gagal di sini. Aku sayang keluarga, bila ingat ibu ayah aku nangis teruk rindu mereka.

Warden, GPK, ustazah datang tenangkan aku. Aku dah tak fokus nak belajar di situ, aku malu dan mahu berhenti sekolah!

Sedih kan, ramai je pelajar yang boleh ceria dan belajar dengan baik, setakat dibuli sikit-sikit mereka boleh bangkit.

Tapi aku membuli diri sendiri, sebotaj dengan diri tidak mahu menerima hakikat bahawa tiada manusia sempurna dan kesilapan masih ada peluang untuk berubah.

Keluarga bawa pulang, berubat dengan bomoh dikata ada gangguan makhluk halus. Aku baru tahu apa itu saka dan apa itu penyakit ain. Mungkin ada yang tak suka melihat aku berjaya dan dengki maka aku jatuh sakit.

Pastinya yang paling sedih keluarga bila aku murung, tidak mahu keluar bilik, waktu tu aku rasa macam nak bunuh diri sebab sedih nak hidup tapi bukan kerana keluarga jahat atau kawan jahat… Tapi gangguan jiwa.

Namun dengan sedikit iman aku sedar, jika bunuh diri Allah murka dan masuk neraka.

Satu malam tu aku bermimpi yang sangat tenang. Bagai ada cahaya dan harapan.. Bila aku sedar dadaku lapang.

Aku melayari beberapa blog internet dan bertemu dengan kata-kata nasihat yang memujuk. Pastinya daripada ayat alQuran dan hadis Qudsi. Aku mula bersyukur dengan apa yang ada.

Awalnya aku tak nampak apa hikmah kegagalan itu, aku hilang kawan, aku gagal banyak perkara, aku juga tak mahu kahwin…

Yang aku temui sekarang, tentang nilai kasih ibu bapa yang tak akan tinggalkan anak walaupun apa keadaan atau kesalahan sekalipun. Aku menjadi pemburu taubat dan juga mudah simpati dengan kekurangan orang lain.

Tidak mudah untuk aku lemparkan kata nista kepada mereka yang mungkin khilaf atau salah. Bertenang berdamai dengan hati, syukur dengan ujian kerana titik utamanya untuk hamba lebih dekat dengan Tuhan. Tidak sombong dengan kelebihan diri.

Aku menjadi saksi air mata ibu ayah dan doa mereka yang mustajab… Baiknya aku, berjayanya aku, atas doa mereka… Redha Allah atas redha mereka.

Saban waktu aku tak putus doa buat mereka, aku juga takut kelilangan mereka namun aku yakin Allah SWT aturkan taqdir yang terbaik dalam hidup ini, kerana sayangnya Allah kepada hambaNya melebihi sayang ibu bapa dan diri sendiri.

Aku simpati dengan mereka yang hilang ibu bapa dari kecil, namun itu bahagian mereka, Allah Maha Adil, ada rezeki lain dan kekuatan bagi mereka yang bertaqwa dan bertawakal.

Maka, jagalah hati. Jagalah hati sendiri, jaga hati ibu bapa, jaga hati orang lain. Pasti dunia ini ada ujian untuk menilai hati dan amal soleh seseorang, jangan mati sebelum mati, hidup ini perjuangan, semoga husnul khatimah…

Alhamdulillah ‘ala kulli hal.

– Nazrah Abdullah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *