Assalamualaikum reader IIUMC.. Saya tahu title yang diberikan itu akan menjadikan ramai wanita triggered. Tapi sabar, baca dulu kisah saya.
Saya dipinang oleh madu saya sendiri 3 tahun lepas. Dia datang dengan niat yang baik bertemu ibu saya meluahkan hasrat. Saya tahu salah saya juga kerana berhubung dengan suaminya, tetapi tidak lebih dari majikan dan sahabat. Saya menganggap dia seperti abang saya dan tidak lebih dari itu.
Mulanya saya tidak dapat menerima pinangan tersebut, tetapi memandangkan bakal madu sendiri yang meminang, dan anak saya perlukan kasih sayang seorang bapa, saya menerima dengan hati terbuka
Permulaan semuanya ok, saya tidak membantah hasrat suami bermalam di rumah kakak madu. Siap saya berikan 2 minggu dirumahnya 1 minggu dirumah saya.
Saya juga mempunyai kareer dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada suami 100% seperti kakak madu yang menjadi suri rumahtangga sepenuh masa.
Walaupun dibantah oleh emak, kerana tidak adil, tapi bagi saya itu bukan satu masalah yang besar. Saya berkahwin bukan ingin merampas suami kepada kakak madu. Saya dan anak hanya ingin menumpang kasih.
Sejak berkahwin, hidup saya semakin teratur, anak semakin menunjukkan sifat positif dan menjadikan suami sebagai idolanya.
Saya juga tahu persepsi masyarakat kepada isteri kedua, dicopkan sebagai perampas dan musnahkan kerukunan rumahtangga isteri pertama. Saya cuba sebaik mungkin untuk berlapang dada dan melebihkan kakak madu dalam segala hal.
Pernah anak saya demam berminggu-minggu dan waktu itu adalah giliran suami. Saya sendiri menghantar anak ke hospital tanpa beritahu suami kerana tidak mahu mengganggu waktunya bersama kakak madu dan anak-anak.
Malangnya saya telah dicopkan sebagai perampas apabila ibu mertua semakin baik dengan saya. Apabila giliran raya, saya kembali ke kampung halaman suami dan semua menyambut saya dengan baik.
Itu membuatkan kakak madu menjadi sasau dan cemburu kerana hubungannya dengan ibu mertua memang rapat.
Ibu mertua membahagikan kasih sayang sama rata. Dia tidak pernah bercakap jahat dan mengumpat. Waktu kehadiran saya, dia menyambut tanpa mengutuk kakak madu, samalah waktu giliran kakak madu melawatnya, tiada satu pun umpatan yang boleh membuatkan hubungan kami kucar kacir
Mulalah kakak madu membuat luahan, hidupnya tidak bahagia, suami melebihkan saya dan segala keburukan saya dijaja. Suami juga semakin kurang bersamanya kerana tidak tahan layanan kakak madu semakin dingin.
Saya tetap menyuruhnya pulang kerana tidak mahu dicopkan sebagai jahat dan menambah tekanan didalam rumahtangga kami. Akhirnya suami tidur di hotel selama giliran kakak madu tanpa pengetahuan saya. kakak madu terus menyerang FB saya dan memfitnah saya menyembunyikan suami
Saya tahu warganet bukan mudah untuk menerima luahan saya. Tapi ini lah terjadi antara kami bertiga. Saya sudah beritahu suami saya rela berundur diri kerana saya sudah biasa berdikari.
Cuma saya risaukan anak saya kerana hubungannya dengan suami amat rapat. Selalu solat bersama malah mereka akan jumpa setiap hari apabila suami mengambilnya di sekolah.
Buat masa sekarang saya masih menjadi isterinya. Saya sayangkan dia dunia dan akhirat, biarlah dia menjadi suami saya sehingga ke akhir hayat.
Buat suami tercinta, saya mohon maaf kerana kehadiran saya menambah episod duka didalam hidup abang. Harap abang dan kakak madu akan berbaik seperti sedia kala dan saya sentiasa mendoakan kebahagiaan kalian sampai ke syurga
Buat netizen semua, janganlah terlalu memandang serong wanita yang menjadi isteri kedua, kami pun mempunyai hak yang sama, tetapi terpaksa membuang hak kerana pandangan serong masyarakat terhadap kami.
Ikhlas dan Salam,
– Sarah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit