Jalan Bahagia Kita

Ini adalah kesinambungan dari post terdahulu di IIUM Confession bertajuk “Kerana Bujang Lama Sangat” (https://iiumc.com/kerana-bujang-lama-sangat/).

Abang nukilkan tulisan ini untuk sayang sempena ulang tahun perkahwinan kita.

Setiap hari abang bangun pagi dan sayang ada di sisi, abang bahagia dan abang sambung tidur.

Setiap hari abang pulang kerja dan sayang menyambut di pintu rumah, abang bahagia walaupun sayang tak offer air macam dalam drama.

Setiap hari abang kita solat bersama, abang bahagia kerana dapat pahala lebih dari solat sorang-sorang.

Setiap hari kita makan bersama, abang bahagia sebab sayang akan makan semua bahagian abang dan anak sekali.

Banyak yang kita lalui suka dan duka, sihat dan sakit bersama-sama seperti kena covid dan abang bersimtom lebih teruk dari sayang.

Kelahiran anakanda kita yang pertama telah melengkapkan keluarga kita tanpa perlu menunggu lama kerana faktor usia abang.

Kelahiran anakanda yang kedua pula akan menambahkan ceria kita, havoc dan huru hara ruang tamu, dapur dan bilik semuanya.

Bertahun abang menanti jodoh yang tak pasti, siang malam berdoa agar jodoh cepat datang kerana banyak orang tanya abang bila nak kahwin, bila nak kahwin.

Perkenalan kita singkat dan abang tidak dapat betul-betul menilai sikap dan akhlak sayang kerana abang nak cepat kahwin.

Bila kita bertunang, abang pula berbelah bahagi, ujian dan dugaan masa bertunang abang jadi keliru entah apa-apa.

Tapi akhirnya kita bersatu dan benang-benang cinta mula menyulam rasa sampai abang angau di awang-awangan.

Pabila sudah bersama, abang mula mengenal siapa isteri abang zahir dan batinnya.

Sayang cukup sempurna dan sayang menyempurnakan abang yang penuh kekurangan ini.

Sayang, sayang tahu bila sayang merajuk, abang jadi tak keruan dan abang pun merajuk juga kerana tak pandai pujuk dan akhirnya abang yang dipujuk.

Sayang, sayang tahu bila sayang marah, abang jadi takut sangat dan abang pun buat lawak bodoh untuk hilangkan anxiety.

Sayang, abang tahu bila sayang sedih, abang jadi sayu dan abang pun berdoa dalam diam supaya Allah SWT hapuskan kesedihan sayang.

Sayang, abang tahu bila sayang letih menguruskan anak, abang cari makan sedap-sedap supaya sayang ceria dan tidur kekenyangan.

Sayang, andai masa boleh diputar, abang akan cari sayang seawal abang habis belajar dulu walaupun sayang masih sekolah rendah.

Kalau abang tahu bahagianya berada di sisi sayang, abang takkan sia-siakan umur abang sehingga lewat begini.

Sayang sememangnya bidadari abang yang ditunggu-tunggu dan ibu mithali kepada anak-anak kita yang comel.

Sayang, banyak lagi yang abang nak lakukan bersama-sama sayang sehingga hari tua abang.

Abang nak pusing dunia travel cari makan sedap-sedap sambil melihat pemandangan bumi tuhan yang indah ini bersama sayang dan anak-anak.

Abang nak kita sama-sama didik anak-anak kita menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara Malaysia bukan negara jiran.

Abang nak menjadi pendorong terbaik untuk setiap kejayaan sayang dalam kerjaya dan apa jua yang sayang lakukan.

Abang nak menjadi tukang masak yang hebat untuk hidangkan makanan terbaik dan paling sedap untuk sayang dan anak-anak.

Abang nak berubah jadi manusia rajin serajinnya membantu sayang menguruskan rumah tangga kita, tak macam sekarang abang ada sedikit kemalasan.

Abang nak menjadi penghibur suka duka sayang yang dapat membuat sayang ketawa bahagia dan beri abang 10x ha macam raja lawak.

Abang nak buat banyak surprise yang best kepada sayang selama umur abang bukan sekadar beri bunga, tapi mungkin lepas ni abang beri bunga dan pasunya sekali.

Sayang, bahagia itu kita yang corakkan di atas canvas hidup kita dengan cara kita.

Jangan biarkan hidup kita dipengaruhi dengan unsur-unsur negatif dari mereka-mereka yang toksik.

Berhati-hati dengan adu domba, fitnah dan umpatan yang boleh merosakkan kepercayaan sesama kita.

Jangan baca kisah-kisah yang negatif sahaja dalam IIUM Confession ini seperti kisah-kisah perseteruan menantu dan mertua, ipar duai durjana, suami-suami kahwin dua, jiran-jiran bertalam semuka.

Baca juga cerita-cerita positif yang boleh dijadikan ikhtibar dalam hidup kerana perjalanan kita masih jauh jika kita diberikan umur yang panjang.

Salam bahagia dari abang untuk isteri tercinta.

– Abu Angau (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *