Assalamualaikum semua. Terima kasih admin kalau luahan hati ni disiarkan.
Tak tahu nak mula dari mana tapi sebab pengalaman hidup yang sangat sarat dan berat menjadikan aku pilih platform IIUM Confession ni sebagai medium untuk aku meluahkan rasa hati yang terpendam semoga tidak mendapat kecaman.
Aku pernah bercinta sekali seumur aku hidup, tapi tak kesampaian mungkin sebab jodoh tak berpihak pada kami. Aku patah hati. Lama aku berdiam diri, aku kunci semua perasaan dan rasa lepas aku dapat tahu dia nikah beberapa bulan lepas tu.
Klishe bila aku cakap aku antara orang yang mengalami mental health issue lepas patah hati. Tapi itu hakikat kehidupan yang hanya orang yang mengalami akan memahami. Sarat, berat. Bagi aku, untuk berhujah dengan orang yang mengalami depresi atau mental health issue menggunakan “agama” sangatlah tidak adil.
Kerana hakikatnya, kami semua tahu agama itu jalan yang paling terbaik untuk kita berdamping saat hati rasa kian mati tapi rasa yang hadir bisikan yang hadir beratnya nak menanggung hanya Allah yang tahu. Aku berdoa selepas tragedi yang menimpa supaya aku dapat bertemu dengan orang yang mampu berdamping bersama aku mencari jalan untuk bahagia bersama inshaaAllah dalam keredhaan Dia.
Takdir atau pilihan aku? Selepas beberapa ketika dan perjuangan melupakan cinta yang lalu. Aku terkenan dengan seorang hamba Allah.
Perkenalan yang sangat singkat tapi memberi kesan pada aku dan hidup aku sekali lagi. Dalam banyak banyak hamba Allah, hati aku tergerak untuk dia. Sekadar bertegur sapa kosong kosong je mulanya tapi rasa yang hadir hanya Allah yang tahu.
2 bulan sesi perkenalan, perjumpaan secara fizikal. Kali pertama bersua, tak kena reject pun. So, aku anggap dia okay dengan aku? Entah aku tak tahu.
Aku sebagai seorang perempuan yang patah hati dari perhubungan yang lepas, aku rasa bahagia sebab ada orang ambil tahu ambil peduli pasal aku. Aku rasa disayangi. Dan hari demi hari, rasa sayang kat dia makin hadir walaupun takdelah contact kerap sangat pun.
Perjumpaan yang kedua dan ketiga membuatkan aku takut dan menyoal kembali adakah ini takdir atau pilihan aku sendiri. Setiap malam dan saat aku berdoa pada Allah, andai orang ini yang terbaik, berilah aku petunjuk. Aku, hamba yang degil dengan petunjuk Allah, pejam pejam je mata nak elak kebenaran yang aku sedar pahit.
Seminggu berlalu, aku sedar aku bukan pilihan. Aku menangis sedu sedan bukan untuk menyalahkan tapi aku selalu persoalkan di manakah silap aku jika ini takdir yang menentukan. Aku telan semuanya keseorangan. Andai ini pilihan aku dan Tuhan ingin mengajar dan menghukum aku untuk dosa dosa aku, aku terima. Aku redha.
Cuma, aku pohon kekuatan untuk meneruskan kehidupan yang aku rasa semakin aku ke depan, semakin gelap…. Dan jika ini takdir Tuhan untuk insan seperti aku, cuma satu pintaku, izinkan aku kembali ke sisiMu dengan sebenar benar keampunan dan kemaafan. Aku tak mampu lagi nak hidup dalam kegelapan dan kehinaan.
Fitrah manusia, aku sedar tak lari dari kesilapan tapi saat kau benar benar tersungkur mencium lantai baru kau sedar bahawa hidup ini amat memenatkan.
Kadang kadang aku sedih, sebab aku rasa hati aku betul betul ikhlas nak terima orang seadanya, maksud aku, aku sedia terima siapa pun dia waktu lalu andai di hati masih ada rasa untuk berubah bahagia mencari redha Allah, aku terima. Aku tak baik, aku tak alim. Jauh sekali muslimah.
Kadang aku cemburu, dengan wanita wanita solehah yang dijauhkan dari hubungan yang sia sia dan dijaga rapi sampailah ketemu ajnabi yang sudi untuk dijadikan isteri. Walhal aku? Zaman silam yang sangat gelap. Tak terhitung dosa aku. Tersungkur.
Setiap langkah yang aku ambil, terasa kemurkaan Allah. Setiap nafas yang aku hembus, terasa kemarahan Allah. Lagi pilu, kalau tengok muka mak ayah yang selama harini kita sembunyi segala sisi gelap kita.
Dah lama aku kuatkan diri untuk meneruskan kehidupan yang lebih diredhai. Tapi hanya yang mengalami yang tahu betapa susahnya jalan penghijrahan. Banyak kali aku terjatuh dan bangun kembali. Tapi jatuh lagi dan lagi. Cemburu aku pada insan yang sentiasa berada di jalan Allah tanpa tergelincir sedikit pun :’) Sungguh aku cemburu…
“Untuk awak yang berlalu pergi. Saya doakan, setiap perjalanan kehidupan awak diredhai dan dirahmati Allah dan sentiasa diampuni. Rasa sayang yang hadir ini bukan pinta saya, semuanya dari hati yang saya percaya Allah detikkannya. Terima kasih atas pertemuan yang banyak memberi erti. Singkat tapi meninggalkan kesan yang sangat mendalam.
Terima kasih untuk masa dan wang yang diluangkan. Saya percaya awak baik, saya percaya awak anak yang soleh, saya percaya awak hamba Allah yang soleh, cuma fitrah insan kita hamba yang sentiasa diuji keimanan.
Doa saya, moga awak bahagia dengan pilihan hati inshaAllah insan yang mampu memberi erti. Terima kasih untuk semuanya M. Saya hargai perkenalan ini. Harapan saya, moga kita dapat bertemu kembali di syurga Allah mungkin sebagai jiran atau kenalan yang lebih bahagia”
Doakan aku, diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan dalam mencari Nur dan hidayah Allah. Walau tersungkur macam mana pun aku, aku takkan berputus asa mencari Nur. Doakan aku.. Doakan aku.. Doakan aku.. Aku benar benar ingin pulang dengan sebenar benar keampunan. Doakan Allah terima taubat aku sebelum aku di jemput pulang ke sisi Dia.
Buat insan insan seperti aku, aku doakan kalian diberikan kekuatan untuk terus mencari redha Allah, kerana aku tahu betapa payahnya perjuangan ini, betapa beratnya dugaan ini kerana aku yakin kita adalah insan-insan yang terpilih untuk melalui jalan gelap ini :)
Bersaksikan airmata keinsafan ini;
Semoga jalan gelap yang dilalui, berakhir dengan Nur Hidayah pengampunan Allah. Aamiin.
– Hamba Hina.
– Safiya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit