Assalamualaikum kepada semua pembaca IIUM Confession. Terima kasih aku ucapkan kepada admin sekiranya apa yang aku coretkan ni dapat dipaparkan untuk bacaan publik.
Sedikit latar belakang mengenai aku, aku seorang pelajar IPTA di ibu kota yang kini berada di semester akhir. Anak bongsu dari tiga orang adik-beradik. Mak dan Ayah dua-dua tak ada pekerjaan tetap.
Mak hanya duduk rumah jaga nenek aku yang sakit. Ayah pula dapat belanja pencen setiap bulan RM300 dan kemudian sewakan bot untuk orang-orang memancing. Dari dulu, aku tak pernah dapat bantuan persekolahan, termasuklah RMT. Bila ada kawan-kawan yang lebih senang dari aku dapat RMT, aku selalu rasa cemburu.
Iyalah, duit belanja lagi besar dari aku, tapi siap dapat makanan percuma. Walaupun begitu, sebenarnya aku bukanlah susah tahap tak mampu nak makan. Alhamdulillah, ayah tak pernah abaikan tanggungjawab beliau. Walau dah masuk universiti pun, aku rasa aku antara orang yang masih cukup dari segala kelengkapan harian sehinggalah pembelajaran.
Masa di asasi, ada kawan mohon zakat yang disediakan oleh Universiti aku. Aku nak ambil, tapi ayah pesan, “Selagi adik tak rasa susah dan cukup makan pakai, jangan ambil hak orang”. Jadi dalam otak aku selalu fikir, zakat itu kepunyaan orang-orang yang betul-betul memerlukan.
Maka aku pun biarkan ia berlalu. Sekali lagi aku rasa cemburu bila kawan-kawan yang dapat zakat tadi beli kolagen (waktu tu semua obses makan K-Kolly sebab nak putih macam Iena Azman). Mereka bawak shopping duit tersebut beli beg, baju baru dan make up.
Bukan nak acah-acah baik, tapi tolonglah semua para pelajar yang dapat bantuan zakat, gunakanlah duit tersebut ke saluran yang betul. Alhamdulillah, baguslah kalau masih ramai di luar sana menggunakan wang-wang pinjaman, wang zakat, wang baucer buku untuk membeli kelengkapan untuk hidup di IPT.
Kenapa saya hantar confession di sini? Kerana saya terbaca di surat khabar yang ada pelajar terpaksa ikat perut untuk berjimat. Ingatlah, itu hak mereka. Mereka lebih layak dr kita. Jangan senang-senang menghambur duit untuk benda tak penting.
Lepas tu, ada jugak yang tak susah pun tapi ambil kupon Muhibbah Food Voucher dengan alasan “alah, kalau kita tak guna sapa lagi nak guna?”. Ini jadi depan saya ye. Ya Allah, bukak mata besar-besar dan lihat sekeliling. Ramai yang susah dan perlukan kupon tu. Jangan pentingkan diri sahaja.
Sekian sahaja. teguran ni memang pendek. Dan saya tak pasti pandangan yang saya akan terima. Segala kelemahan adalah dari saya atas ketidakupayaan untuk menegur mereka secara terang-terangan. Moga Allah pelihara kita dari menjadi hamba yang menzalimi orang lain.
– Kakak Macho
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit