Assalamualaikum buat para pembaca dan admin sekalian. Pertama sekali, jikalau confession saya dipilih untuk dipaparkan orang ramai, saya berharap kebanyakan dari anda dapat menerima apa yang bakal ditulis dengan hati yang terbuka. Tidaklah saya berniat untuk melaga-lagakan mana2 pihak, tetapi sekadar untuk berkongsi pengalaman hidup.
Sebelum saya cerita dengan lebih lanjut, perlu saya nyatakan bahawa suami dan saya masing2 tidak ada halangan yang besar untuk membuat sambutan perkahwinan yang besar kerana masing2 berkemampuan. Yang berbeza ialah suami dikurniakan rezeki kerjaya yang besar dan berasal dari keluarga yang agak berada dan merupakan anak tunggal, manakala saya mempunyai 4 adik beradik, dimana saya yang sulung dan berasal dari keluarga yang sederhana, jadi walaupun alhamdulilllah gaji saya sangat memuaskan, saya masih punya tanggungjawab kepada keluarga. Jadi untuk saya, masih ada kekangan kewangan untuk persiapan perkahwinan.
Menyentuh soal wang hantaran… bapa saya tidak meletakkan apa2 jumlah dan sekadar “apa2 yang mampu” untuk keluarga suami membuat keputusan. Bapa berpesan supaya kita harus berniat mendirikan rumah tangga kerana Allah, bukan hanya untuk diri sendiri. Saya masih ingat bagaimana raut wajah keluarga suami kelihatan serba salah untuk ‘meletakkan harga’ hantaran perkahwinan. Kemudian ibu saya pula berkata,
“Zarul, cukuplah kamu beri Hawa persiapan untuk akhirat kelak.. Makcik dan pakcik tak mintak apa2 selain itu.”
Apa yang saya terima di hari perkahwinan saya ialah sebentuk cincin, satu set al quran dan terjemahan hadis berserta set telekung dan sejadah. Itu sahaja. Tiada wang hantaran. Majlis belah lelaki dan perempuan diuruskan masing2. Kami bernikah di masjid berdekatan ibu bapa saya dan terus disertai bacaan doa selamat. Tetamu yang datang hanyalah beberapa orang masjid dan saudara mara paling rapat. Makanan serba sederhana, tiada sanding dan tiada pelamin.
Di rumah lelaki, kami hanya buat jamuan terbuka di rumah ala2 ‘open house’ raya, dan yang datang hanyalah saudara, jiran dan rakan akrab. Tiada persandingan, tiada kompang, tiada jurugambar dan sebagainya. Kami memaklumkan perkahwinan kami kepada semua rakan dan jiran lain yang jauh melalui facebook sahaja. Tiada paksaan untuk hadir ke majlis, dan kami juga menghantar kad kepada saudara mara menyatakan kami telah bernikah.
Saya tidak pasti jika ramai yang akan menganggap saya kedekut kerana tidak mahu memberi orang makan untuk walimatul urus, tetapi sebelum salahfaham berlaku, anda ada pelbagai cara untuk menderma kepada orang ramai selain daripada melakukan majlis keraian perkahwinan. Seperti contoh, selepas bernikah, saya dan suami memutuskan untuk membeli beberapa ekor lembu qurban untuk diagihkan kepada jiran2. Anda juga boleh membuat majlis makan2 di rumah anak yatim, rumah orang tua, ataupun yang paling mudah, menderma kepada masjid atau surau terdekat agar semua umat Islam berdekatan mendapat keberkatan.
Jadi janganlah kita rasa ‘terdesak’ untuk mengikut orang lain sedangkan banyak lagi cara yang diredhai Allah kita dapat pilih. Kita bukan selebriti, kita bukan tuan puteri, kita bukanlah special snowflake yang perlu diletak tanda harga untuk orang lain melihat nilai kita. Kita wanita, hanyalah manusia biasa. Punya cacat cela, punya keburukan dan punya nafsu. Haruslah kita ingat bahawa selepas berkahwin, suami itulah kunci untuk kita ke syurga selagi dia mengikut jalan Allah. Janganlah kita membebani dia dengan sengaja hanya kerana tugasnya sebagai seorang ‘lelaki’.
Untuk soal mahar atau hantaran, saya akui memang banyak yang meletakkan ‘harga’ atas dasar struktur ekonomi masa kini, demand semasa, adat, trend ataupun cita2 peribadi. Tetapi sebelum anda meletakkan apa2 tanda harga, haruslah diingat, apakah itu perkahwinan? Adakah perkahwinan itu hanyalah satu majlis keraian, ataupun adakah ia sepanjang hidup yang bakal anda tempuhi dengan seorang insan yang juga punya kekurangan dan perasaan?
Jikalau anda masih berfikir bahawa hantaran mahal itu adalah satu ‘ujian’ untuk kesanggupan lelaki untuk bersama wanita, adakah anda sedar bahawa anda sendiri meletakkan nilai diri anda dengan jumlah wang ringgit? Bukankah lebih bagus jika anda ‘uji’ bakal suami tentang betapa teguh imannya untuk beribadah, betapa disiplinnya dia untuk menjadi ketua keluarga, dan betapa matangnya dia apabila membuat keputusan?
Si dia yang sanggup mengambil loan untuk menikahi kamu, adakah kamu dapat jamin dia akan memberi nafkah untuk sepanjang hidupmu? Jika tanggungjawab yang kamu cari disaat seorang lelaki berusaha mengumpul wang untuk menikahimu, adakah kamu yakin yang ‘tanggungjawab’ ini yang boleh membantu mendidik anak dan menolong kamu di rumah kelak? Atau si suami sekadar pemberi ‘nafkah’ dan kamu sahaja yang menguruskan perkara lain? Lupakah kita yang manusia itu berubah-rubah?
Ubahlah mentaliti kita semua wahai wanita. Janganlah kita taksub dengan perihal dunia sehingga kita langsung lupa yang jalan yang diredhai Allah.
– Hawa
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit