Jangan Beralasan Nak Buat Baik

Aku nak cerita tentang sahabat aku. Aku namakan dia S. Suatu masa dulu, S ini pernah mengalami stress yang teruk.

Terpaksa berhenti belajar di universiti, terpaksa hadap mak ayah yang mendera emosi, kewangan yang tak stabil, dipulaukan kawan-kawan, beban hutang lagi. Pendek kata memang banyak masalah dia waktu itu.

Dia selalu luah kat aku tentang masalah dia, dan apa yang aku boleh tolong aku tolong semampunya.

Aku pernah syorkan dia ke hospital sebab aku risau dia ada tanda-tanda ke arah depression. Jadi apa yang aku nak kongsi ini, sesuatu yang aku nak sangat semua orang muhasabah dan ambil pengajaran.

Buat baik ini tak perlukan sebab.

Lepas dia berhenti belajar, ada 2 3 tempat yang dia kerja. Dekat tempat kerja, orang yang lagi lama bekerja dari dia seolah-olah buli dia. Bukan buli fizikal, tapi lebih kepada buli secara ‘verbal’ dan kesan dia pada emosi.

Contohnya, biasa lah bila baru kerja mesti ada silap kita buat kan. S ini ada terbuat silap waktu minggu pertama dia kerja, dan penyelia dia marah dia dahsyat sangat depan beberapa staf yang lain. Walhal kesilapan dia tak teruk mana pun, dan kalau tegur sekali cukup secara tegas mesti tak akan berulang.

Kenapa aku kata bagi kesan dekat emosi, sebab S nampak sendiri staf yang lain buat kesilapan yang sama tapi penyelia yang sama tak marah dan boleh bergelak ketawa.

Di tempat kerja lain, disebabkan kesilapan pekerja lain, S yang kena marah dengan bos. Sebagai orang baru, S tak melawan sebab dia tak nak besarkan isu itu. Lagi pun aku faham, dia memang perlukan sangat kerja waktu itu, jadi kalau ‘buat hal’ dan dibuang kerja, dia akan lagi susah.

Setiap hari, dia hadap orang-orang macamtu. Dan disebabkan banyak sangat masalah dia, isu keluarga, duit, pelajaran dan sebagainya, perkara kecil macam jurujual yang kasar, pemandu yang gangster atas jalan raya, pelanggan yang banyak karenah memang bagi kesan pada dia. Seolah-olah bertimpa-timpa masalah.

Aku bayangkan, kalau semua orang itu tahu keadaan dia, mungkin mereka akan layan lebih baik. Tapi macam tajuk aku, buat baik ini tak perlukan sebab.

Tak perlu pun kita kena tahu dulu seseorang itu ada depression, mak ayah baru meninggal ke, baru dibuang kerja ke untuk kita buat baik dan layan seseorang dengan elok. Sesiapa pun kita jumpa, buat baik. Tak perlu sebab. Kita tak tahu apa yang seseorang itu hadapi, apa kesusahan dia.

S pernah cerita, ada satu hari, dia lapar sangat, duit tak berapa nak ada. Lepas balik kerja dia singgah kedai makan untuk beli lauk. Dia ambil lauk ayam dengan saiz sederhana, dia dah niat lauk itu untuk 2 hari makan.

Dan pakcik kedai itu waktu tengah letakkan lauk dalam plastik, pakcik itu letak extra lagi seketul ayam saiz besar. S dah risau kalau pakcik itu nak caj lebih. Tapi pakcik itu kata, ‘Tak apa dik, pakcik sedekah. Ambik la.’

Lepas keluar dari kedai, menitik air mata S. Perbuatan baik yang ‘simple’ pun sudah cukup untuk menyentuh hati dia. Dan ini yang aku nak tekan kan. Perbuatan kecil macam pakcik itu buat, mampu menyentuh hati seseorang.

Kadang-kadang cukup kita sebagai pelanggan, bersabar bila pekerja kedai sedikit lewat layan kita. Tak marah bila pekerja tersilap bagi saiz, kita boleh cakap elok-elok.

Bila berurusan dalam talian, kita berakhlak baik dengan sesiapa sahaja. Atas jalan raya, kita buat baik macam bagi laluan, bagi signal dan sebagainya. Nampak kecil tapi bagi sesetengah orang besar ertinya.

Tak kira masa dan medium bagaimana, kita harus berakhlak mulia. Layan semua orang dengan baik, sebagaimana kita nak diri kita dilayan.

– Tulip (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *