Assalamualaikum semua. Terima kasih admin sekiranya luahan hati saya ini disiarkan. Saya bukanlah pandai mengarang tetapi saya niat nak kongsikan pengalaman saya ini supaya jadi pengajaran kepada sesiapa yang membaca. Juga bukan niat saya untuk buka aib orang lain, jadi saya akan cuba untuk tidak ceritakan secara spesifik perkara yang menunjukkan identiti bekas kawan saya ini.
Haa kenapa saya kata bekas kawan? Haha sebab saya rasa mulai hari ini, saya dah tak anggap dia kawan dah. Dia pun tak anggap saya kawan dah, kalau dia anggap saya kawan, takkan lah dia nak block number fon saya kan.
Okay macam ini, saya zack adam (bukan nama sebenar), berumur dalam 20 an, pernah bekerja di satu syarikat yang terletak di selatan tanah air kita. Syarikat ni ada banyak cawangan di negara kita dan rezeki saya di tempatkan di selatan walaupun saya berasal dari negeri lain (hint negeri tu ada pengangkutan awam komuter).
Nak jadikan cerita saya ditempatkan satu pejabat dengan kawan saya, abu (bukan nama sebenar). Jadi semasa saya berpindah ke pejabat tersebut, abu lah yang paling mesra ramah dengan saya. Lunch pertama saya di sana, abu lah yang payungkan. Kami bersembang, bertanya tentang diri masing2, sesi bertaaruf kata orang sebab saya pun baru hari pertama di pejabat tu.
Setelah lama saya kenal dengan abu, saya perhatikan dia ini seorang yang sangat peramah, mudah bersembang, baik budi pekerti dia. Dia pun dah berkahwin dan ada anak. Kereta pun dah ada (more on this later).
Al kisahnya, dah satu bulan lebih saya kat pejabat tu, abu cakap dengan saya nak pinjam duit RM 100, saya pun sebab kenangkan kawan, saya pun bagi pinjam. Kebetulan bulan tu saya ada pendapatan lebih. Abu kata nanti dia bayar bila dapat gaji. Selang seminggu,dia pinjam lagi RM 100, saya pun beri. Selang beberapa hari dia nak pinjam lagi RM 200.
Masa ini hati saya tak sedap dah, takkan tak cukup gaji si abu ini. Kerja lebih lama dari saya maka gaji nya pun lebih besar dari saya. Saya terfikir abu dah berkeluarga, ada anak kecil, mungkin sebab tu jangkaan perbelanjaan bulanan dia lari sikit bulan tu. Saya bersangka baik sahaja pada waktu itu. Sekarang saya menyesal tak kesudah, geram berbuku dalam hati.
Jadi disebabkan sangka baik maka saya pun beri RM 200 pada abu. Keseluruhan abu pinjam duit saya RM 400 pada bulan itu. Bila tiba gaji, saya pun tunggulah abu bayar hutang dia pada saya. Saya segan dan malaslah nak minta hutang sebab pada pemikiran saya, orang yang berhutang sepatutnya kena ingatlah nak kena bayar hutang, kena ingat janji yang diberikan semasa nak pinjam duit tu. Betul tak wahai para pembaca sekalian? Hahahaha.
Pendek cerita, abu tak bayar hutangnya. bulan seterusnya baru saya minta RM 400 yang saya pinjamkan pada abu sebab pada waktu tu, handphone saya rosak baterinya dan saya nak guna duit untuk repair atau beli handphone baru. Abu pun pulangkan duit pada saya walaupun lambat, saya topup sikit dalam RM 160 lalu saya pun beli handphone yang saya tengah taip cerita ini.
Beberapa bulan selepas itu, sesudah saya pulang dari lunch with someone so dear to me, abu panggil saya kat pejabat dan berbisik dengan saya. Dia beritahu yang dia ada pinjam Along, bukan Along ahli keluarga abu ya, ini Along yang suka tolong a.k.a along lintah darat. Abu cerita dia pinjam RM 1600 dari Along dan sekiranya dia tidak bayar hari itu juga, Along suka tolong ini akan datang tempat kerja kami buat kacau.
Saya perhati abu memang cemas pada waktu itu. Saya terkenang yang dia kawan baik saya di pejabat, dia pun pernah pulangkan RM 400 saya, jadi saya pun beri abu pinjam RM 1600 atas dasar percaya dan sangka baik yang dia boleh bayar semula kepada saya. Saya teman dia pergi ke tempat Along tu. Biasanya Along ni pejabatnya mesti berhampiran dengan bank. Pandai mereka cari lokasi pejabat kan.
So dipendekkan cerita, sampai sekarang lah saya menuntut janji dan duit saya dari abu. Dah nak dekat setahun dah. Pada saya RM 1600 tu banyak, saya ambil dari akaun simpanan saya yang saya kumpul untuk kahwin. Penat saya kerja, tahan stress kerja, kumpul duit, kerana saya percayakan kawan saya pun beri abu pinjam tapi sayangnya kepercayaan saya dipergunakan. Pada masa sama saya bekerja di pejabat itu, saya juga ada beri pinjam kepada seseorang RM 3000. Pun sama juga, orang tu pun belum bayar juga. Hati ini bila teringat memang akan rasa geram. Tak redha.
Biasanya ciri ciri orang yang liat bayar hutang ini ada banyak persamaan antara mereka. Antara ciri ciri mereka adalah hidup nampak mewah, pandai berkata kata, bila tak mampu bayar akan block number fon kita dan paling utama muka tebal. Abu ni rupa rupanya ada beli lagi satu kereta import dari negara matahari terbit. Padahal beliau sudah ada kereta. Mungkin itu antara punca kewangan beliau goyah.
Jadi pesanan saya pada pembaca sekalian, jangan sesekali percaya kepada sesiapa yang nak pinjam duit. Kita penat bekerja, senang senang saja orang lain yang rasa duit tu. Lebih baik duit tu digunakan ke arah lain yang boleh tambah pahala kita. Sedekah pada yang memerlukan atau beri kepada keluarga kita, mak dan ayah terutamanya.
Sekarang saya sudah pindah bekerja di negeri kelahiran saya. Alhamdulillah dekat dengan mak ayah saya. Mohon pembaca ambil iktibar dari kisah saya ya dan doakan saya murah rezeki ya. Sekian terima kasih.
– Zack adam
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit