Hai semua. Aku Tasya dan pernah hantar beberapa kisahku dalam page ni. Tapi, kali ni aku nak share kan beberapa pendapat tentang perkahwinan.
Aku pernah berkahwin 2 kali dan syukur perkahwinan kedua ku membahagiakan. Seolah-olah dapat peluang kedua untuk betulkan kesilapan dan kebodohan sebelum ini.
Dalam page ni selalu seorang isteri / wanita share tentang kisah hidup mereka sama ada bahagia atau derita dalam perkahwinan / hubungan cinta masing-masing.
Namun, ayat terakhir kerap tanya perlukah bertahan, perlukah teruskan hubungan ini atau perlukah beri peluang lagi kepada lelaki yang dah terang-terang buat onar macam curang, kaki pukul, kaki temberang, pemalas, tak kerja, kedekut dan macam-macam kategori lelaki lagi.
Aku pernah lalui kisah rumah tangga yang penuh toksik dan derita. Masa tu, aku pun pernah tanya soalan yang sama, perlu ke tidak aku bertahan atau teruskan saja hubungan yang memang tak membahagiakan.
Jawablah dengan jujur soalan aku ni, kalau korang dah berusaha sehabis baik untuk pertahankan hingga berkali-kali terluka dan dikecewakan.. Apa lagi yang ada untuk diri korang sendiri mencapai bahagia?
Perlu ke suami atau apa je status hubungan korang tu dipertahankan? Memang betul Allah takkan bebankan seseorang itu dengan ujian melainkan memang dia dapat menanggungnya.
Persoalannya, sampai bila nak menangis? Sampai bila nak tadah badan dengan sepak terajang? Itu belum lagi tambah maki-hamun, kata-kata herdikan, dinafikan hak nafkah dan sebagainya.
Aku bukan anti lelaki sebab ayah aku hero aku. Tak pernah melayan mak aku macam sampah. Begitu juga dengan abang-abang ku. Mereka melayan isteri masing-masing dengan baik.
Tak kurang juga dengan ipar-ipar lelaki ku. Semua melayan isteri masing-masing dengan selayaknya layanan yang diterima sebagai isteri.
Tapi aku? Kenapa aku tak dapat layanan sama macam dia orang? Aku jahat ke?
Sampai satu saat aku rasa macam Allah tak adil dengan aku. Dijodohkan dengan lelaki haprak yang tak setaraf langsung dia dengan ahli keluarga lelaki ku.
Masa berkawan aku butakan mata demi pertahankan lelaki yang aku sayang. Bila dah kahwin, ha baru padan muka aku, dibuat aku ni sebijik macam bibik dia. Walaupun tak sampai makan sepak terajang, tapi hati aku bagai disiat-siat dengan sikap dan tingkah-laku dia.
Sudah la segala jenis hutang dia aku tolong bayarkan memandangkan gaji aku lebih besar dari dia. Lepas cerai aku mintak balik duit aku, ada la bayar 4 kali selebihnya dia buat tak endah je.
Takpe la, aku ada Allah. Ko tak nak bayar hutang aku takpe, Allah akan balas apa yang ko buat, memang tak senang la hidup ko (sekarang ni memang dia tak senang langsung, padan muka!)
Apa yang aku nak tegaskan di sini, hidup kita sebenarnya banyak pilihan. Korang pilih la yang memihak diri korang sendiri dulu.
Betul kalau kita berpisah, orang akan mengata, hidup akan susah sikit, hidup akan sunyi.. Pendek kata banyak benda akan berubah. Tapi korang jangan putus asa.
Allah ada. Mintalah dari Dia supaya korang dapat menyelesaikan segala masalah dengan baik dan dipermudahkan semuanya. Orang nak bercakap pedulikan, sebab bukan dia yang hadap.
Ni aku nak cerita sikit. Ada la sorang kawan aku ni, kisah dia sama macam aku. Masa tu kes cerai aku dah setel. Aku pun bagi tau la macam mana aku lalui dan cara-cara menyelesaikannya.
Kes aku ni, ex aku dulu sudah la perangai haprak, jauhkan aku dari keluarga aku sendiri, hadiahkan aku madu pulak.
Kawan aku ni sikit teruk lagi, madu dia nak hidup senang sama macam kawan aku ni. Dia tak tahu kesenangan yang kawan aku ada tu bukan laki dia yang sumbang sepenuhnya pun.
Ewah-ewah sedap je dia nak hidup senang kan. Dasar perempuan murahan. Haa ni pun satu jenis perempuan yang… Hmmm korang sendiri la yang tafsirkan sendiri.
Selepas beberapa kali bicara mahkamah, bolehnya kawan aku ni tak jadi nak cerai. Sebabnya tak sanggup anak membesar tanpa ayah, takut berebut harta dan takut pandangan buruk masyarakat pada wanita bergelar janda.
Okla, aku pun tak kata apa bila dia dah buat keputusan camtu, tapi aku tanya dia apa plan dia?
Korang tahu, bijaknya kawan aku ni, dibuatkan hibah semua harta dia tu atas nama setiap anak. Siap tukar nama pada setiap hartanah atas nama anak-anak dia.
Pastu perbaharui lafaz taklik secara bertulis jika berlaku perkara yang tak sepatutnya, automatik jatuh talak. Yang ni dia minta nasihat peguam dan dah buat rujukan.
Dia cakap bukan aku takut harta aku ni jatuh kat tangan yang bukan hak, tapi dia nak tunaikan amanah je. Manalah tahu umur tak panjang at least anak-anak dia dah ada bahagian masing-masing. Lagipun kalau memang dah ditakdirkan rezeki anak dia, memang Allah akan jaga tu.
Yang ni baru betul, aku suka sebab bertindak tak ikut emosi dan gunakan kebijaksanaan untuk kebaikan diri dan anak-anak. Dengar citer laki dia sekarang dah elok sikit.
Tapi, layanan dia pada suami dah tak macam dulu. Memang tak salah dia ambil tindakan pertahankan rumahtangga, tapi dia bukan duduk tepi bucu katil menangis sedu-sedu.
Bangkit lah kaum hawa sekalian. Jangan biarkan diri jadi mangsa. Yang lelaki ni aku tak kata korang semua jahat, ada juga yang baik dan layan isteri korang dengan cara sepatutnya. Kalau korang dah ada isteri atau dah ada steady relationship, belajar lah cara hidup berumahtangga.
Masa nak mengurat, bukan main pandai cakap, izinkan saya menjaga awak seumur hidup saya. Biarlah saya membujang sampai mati kalau bukan awak di sebelah saya. Puiii!
Kenapa bila dah dapat, dibuatnya wanita ni macam hamba? Dulu nak jaga, kenapa bila dah kawen, lambat masak sikit dimakinya isteri tu?
Apa maksud korang sebenarnya bila sebut nak jaga seumur hidup tu ye? Ni rata-rata isteri urus korang.. Korang ada urus isteri tak? Ada lap air mata dia tak masa dia menangis dikecewakan?
Come on la lelaki, korang tunjuk hero tak kena tempat.
Yang mana ada anak lelaki, mulai hari ni ajar la anak-anak lelaki korang buat keje rumah, bukan setakat buang sampah je ye.
Sebab lelaki ni dia pemimpin kepada wanita. Kalau kita manjakan anak lelaki melampau sangat, haa itu yang berkembang-biak lelaki-lelaki haprak kat Malaysia ni.
Yang lelaki pun tak salah pun kalau korang ajar diri tu untuk belajar macam mana nak urus keluarga. Takkan dah lepas akad nikah baru nak belajar? Korang nikah dengan wanita bergelar isteri ye bukan nikah dengan bibik.
Yang wanita pun sama, jangan lah duk hitung rasa kesal dan menyesal tak habis-habis. Yang dah lepas tu tak boleh ulang lagi. Fikir macam mana nak majukan diri. Tak mati haih takde lelaki dalam hidup.
Kalau ramai simpati melihat korang menangis, hari ni je diaorang menangis. Esok-esok dia gelak dah.. Tinggal la korang dengan sedu-sedan tak habis-habis.
Untuk yang belum menikah, tolong betulkan niat untuk menikah ya. Kalau awal-awal dah nampak red flag, korang janganlah risiko kan diri dengan berharap dan berdoa agar dia berubah. Weyyy korang bukan Tuhan k. Dengan Tuhan pun dia ingkar melawan, apatah lagi korang?
Jangan sebab paras rupa, korang butakan mata, jangan disebabkan harta korang alpa.. Hmmmmm…
Aku minta maaf ya pada para pembaca sekalian kalau ada yang tersinggung dengan tulisan ku ini. Aku sekadar berkongsi rasa penat kecewa dulu yang aku dah ganti dengan bahagia.
Bukan maksudnya perkahwinan sekarang takde ujian, ada je. Cuma aku bukan macam aku yang dulu, yang akhirnya salahkan diri bila berlaku apa-apa dalam rumahtangga. Sedangkan yang haprak tu elok je main hp sengih-sengih macam takde apa.
Bangkit k! Hidup kita sekali aje, jangan kita sia-siakan apatah lagi bagi peluang orang lain buat kita menderita. Ayuh bangkit dengan semangat pastikan hari ni esok dan sampai bila-bila kita akan terus tersenyum!
– Tasya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit