Jangan Biarkan Dia Terlalu Berdikari

Assalamualaikum. Penulisan ini saya ingin membalas kepada sebuah confession tajuk Diari Seorang Suami, (https://iiumc.com/diari-seorang-suami/).

Panggil saya Nurul. Kisah kita ada yang hampir sama cuma dari sisi saya seorang isteri. Saya juga telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai 2 cahaya mata. Usia perkahwinan sudah 8 tahun.

Suami bekerja di sebuah syarikat dan saya bekerja sebagai kerani. Kami hanya kenal melalui orang tengah dan kemudian di kahwinkan. Keadaan suami saya sama seperti isteri tuan. Kurang emosi dalam rumah tangga.

Suami saya seorang yang sangat baik. Baik luar dan dalam. Tutur kata yang lembut. Layanan yang sangat baik dengan anak-anak.

Boleh berkawan dan bermain dengan anak, menjaga anak, bangun malam bancuh susu, kalau anak demam dia yang tolong jagakan. Seorang ayah yang sangat sangat prihatin.

Kerja rumah kami boleh sama-sama selesaikan. Tiada masalah dalam urusan kerja rumah. Tak pernah saya merungut hal kerja rumah sebab suami banyak membantu.

Saya pulak seorang yang suka buat kerja rumah, hati saya lapang bila saya dapat selesaikan kerja rumah.

Suami pulak seorang yang suka memasak dan menjaga anak. Kami sering solat jemaah. Anak-anak bahagia dan jarang di marahi atau di tengking.

Ada 1 hal yang saya pendam dalam hati sudah lama, sejak berkahwin.

Walaupun suami saya sangat prihatin dan penyayang dengan anak2, tetapi di layan saya hanya seperti kawan dan teman serumah. Jauh sekali nak romantis. Hanya saya yang selalu mencuba untuk bermesra.

Kalau tidak minta di peluk, memang sampai kiamat dia tak akan peluk saya. Hatta pegang tangan sekalipun. Saya yang akan mulakan.

Sambil menaip pun saya rasa sebak di dada ni.

Saya memang seorang yang romantis. Selalunya saya yang akan mulakan kemesraan. Tapi ada masanya saya juga ingin di manja. Bila saya balik kerja 100% fokus hanya pada anak-anak dan suami.

Handphone saya hanya akan stay dalam handbag, esok pagi baru saya tengok semula handphone.

Saya usahakan bagi anak tidur awal supaya kami ada masa bersama. Bila anak tidur awal suami akan main handphone walaupun saya duduk di sebelah dia.

Dari pemerhatian saya, kami tiada masalah pihak ketiga atau suami curang, suami saya juga tiada masalah mati pucuk,

Kami tiada masalah kewangan cuma saya hairan kenapa dia kurang bernafsu walaupun saya cantik, jaga penampilan di luar dan di rumah.

Mana mungkin saya tak jaga penampilan sebab saya yang sentiasa mencari perhatian suami. Itupun dia tak hairan. Ibarat seperti kucing yang menolak ikan.

Adakah suami saya songsang? Nauzubillah. Saya tak pasti cara nak check yang ini.

Walaupun sudah 8 tahun kahwin dan saya masih bertahan kerana dia ayah yang baik. Saya punya ibu mertua yang baik. Saya korbankan diri demi anak-anak.

Kadang-kadang terfikir juga sampai bila saya perlu begini kerana saya masih muda baru saja menyambut hari jadi yang ke 30.

Saya pernah suarakan masalah ni dan berbincang dengan suami, bukan sekali tapi banyak kali, seperti tiada perubahan.

Kadang-kadang jahat jugak mulut saya menyebut “dekat luar sana ramai lelaki yang cuba pancing saya, tapi sebab saya ni mahal dan ada harga diri tak lalu tengok ikan murahan”

Sengaja saya kata macam tu supaya dia rasa tercabar. Hanya aku yang perasan rupanya.

Kerana perasaan dan keinginan saya sering di abaikan walaupun sekadar ingin bermanja.

Allah rezeki kan saya berniaga online. Sejak PKP saya ada part time job alhamdulillah sehingga hari ni semakin baik. Dan saya ada kerja hakiki juga.

Kerana terlalu sibuk menguruskan kerjaya, saya jadi jatuh cinta dengan kerja saya. Kadang-kadang sampai tengah malam saya masih bekerja di rumah dan saya seronok bila saya busy.

Hal rumah tetap saya uruskan seperti biasa. Tiada yang kurang. Cuma otak saya tidak lagi memikir hal yang sedih-sedih. Menagih kasih suami yang tak sudi.

Banyak masa saya sendirian berfikir hal kerja. Weekend adalah wajib masa untuk keluarga.

Hubungan kami macam biasa. Kami bercakap seperti kawan, ketawa dan bergaduh seperti pasangan lain. Cuma hal kemesraan tu tiada.

Jauh di dasar hati saya sedih dan tak tahu sampai bila. saya sering berdoa semoga Allah jauhkan saya dari berlaku curang dan saya bersyukur bila saya terlalu sibuk dengan kerjaya saya lupa hak saya di abaikan.

Malah saya rasa kadang-kadang saya seperti wanita besi kerana sudah terlalu biasa berdikari menguruskan hal diri sendiri dan juga emosi sendiri.

Sendiri sedih sendiri pujuk. Sendiri punya masalah sendiri settle. Dan saya juga ada 1 penyakit yang saya tak ceritakan pada suami. Biarlah jadi rahsia.

Kepada kaum suami, jangan membiarkan isteri terlalu berdikari sehingga dia mampu menguruskan emosinya sendiri, penatnya sendiri, sedihnya sendiri, tidurnya sendiri. Inilah ujian saya.

Semoga Allah ampunkan dosa suami yang tidak pernah melunaskan hak saya sebagai isteri. saya doakan semua pembaca punya kehidupan rumah tangga yang bahagia. Aminn.

Sekadar luahan hati saya isteri yang sunyi, terluka dan di abaikan.

– Nurul (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *