Jangan Buat Anak Orang Lebih Kurang Menantu

Ketahuilah, perempuan apabila berkahwin dia meninggalkan jiwa raganya mak ayah yang melahirkan dan membesarkannya untuk berbakti pada si suami dan keluarga baru.

Betapa dia perlu ‘struggle’ menyesuaikan diri, dari budaya dan cara hidup keluarga yang tak sama sejak kecil. Tak ada orang tahu gelodak hati nya berusaha untuk diterima menjadi sebahagian ‘keluarga baru’

Nama saya Paeh. Pertengahan 40an. Telah berkahwin dan punya anak 6 orang. Bertemu jodoh dengan hasben dalam waktu singkat terus kahwin. Jadi tempoh untuk kenal diri dan keluarga hasben singkat sangat.

Saya asal dari anak orang susah. Tapi takdir Allah bagi rezeki saya belajar pandai dan dapat keluar kepompong susah. Kerja pun alhamdulillah. Tapi masih ada adik beradik yang susah dan mak ayah masih perlu dibantu. Hingga kini boleh dikatakan, saya masih menanggung mak ayah kerana adik beradik lain masih bergelut hal masing masing.

Tapi saya tak kisah, bersyukur diberi peluang dapat berbakti pada mak ayah hingga kini. Hajat saya biarlah saya dapat berbakti dan jaga mereka hingga akhir hayat mereka.

Asben pula dari keluarga yang boleh dikatakan senang sebenarnya. Keturunan orang senang senang dan ada nama. Keluarganya semua pandai pandai, lawa hensem. Tapi sayang satu sikap yang merosakkan, high class standard. Pakaian, makanan, tempat tinggal, barang harian, life style mereka nak yang branded, mahal mahal. Sikap menjaga status dan standard agar tidak kalah sesama anak beranak mereka menyebabkan mereka seperti dalam lakonan. Depan saudara mara, mereka berlakon meletakkan status sama standard sama. Tidak mahu kalah.

Saya yang datang dari keluarga yang susah, ibarat kata jentik sajalah. Tak setaraf style mereka. Apa menjadi kepentingan saya, memenuhi keperluan mak ayah setiap bulan, adik beradik, anak anak yang perlu diberi persekolahan dan kehidupan lebih baik tanpa menyusahkan sesiapa.

Sikap menjaga standard ini, akhirnya memakan diri keluarga asben kerana mereka sebenarnya tidak mampu. Disebabkan sikap pak mertua dan mertua yang lahir dari keturunan senang, maka mereka sangat berbangga dengan keturunan, anak anak. Sentiasa memuji anak anak, cantik, hensem, pandai. Bak kata sentiasa berbangga dengan anak.

Hingga satu masa, disebabkan menjaga status, keluarga mertua paksa asben membelikan rumah standard orang kaya kaya untuk mereka. Kerana taat, asben ikut. Kami pula laki bini anak anak kena ikat perut untuk komitmen bulanan dengan keperluan anak anak lagi. Tapi saya hanya diam kerana fikir untuk menyenangkan hati asben dan anggap seperti berbakti pada mak ayah sendiri. Tapi sakit kepala juga fikir dengan komitmen keperluan anak anak lagi.

Tahun depan tahun. Ditakdirkan rezeki kami, akhirnya kami mampu menyediakan keperluan agak baik pada anak anak. Lagi timbul rasa ghairah pada adik beradik asben akan kesenangan kami. Mulalah mereka minta macam macam dengan asben itu ini. Lama kelamaan saya tengok makin naik lemak ipar duai saya, biar pun sudah kerja ada gaji sendiri. berbelanja standard Pavillion, travel sana sini, bila tak cukup gaji, asbenlah tempat diterjah. Sebab asben abang sulung. Saya mula menolak permintaan mereka yang kadang kadang mengarut. Bagi saya yang asal anak orang bukan senang, setiap sen nak belanja suka suka, rasa sayangnya baik saya labur pada benda yang lebih beri hasil seperti tanah, barang kemas dll. Sebab saya pernah rasa hidup susah. Semakin nampak kami ada, semakin mereka rasa saya nak kaya sorang anak beranak.

Lama kelamaan, ipar duai rasa saya seperti seteru. Kerana tidak layan kehendak mereka. Mula dari membawang belakang sesama mereka sampai dibawa cerita ke mak dan pak mertua saya seolah olah saya berkira dan enggan bantu mereka. Mereka mula boikot saya, tak datang rumah, majlis kalau dijemput, ibarat kata perang dingin. Saya masih boleh diam dan terima. Kalau nak kata kita tak kecil hati bohonglah, mak ayah saya masih hidup, mereka menyayangi saya dan saya dapat kasih sayang itu dari Mak Ayah saya. Jadi bila masuk ke keluarga baru ini, saya rasa mengemis ruang untuk ‘diterima’ di kalangan mereka. Dengan kekurangan kita dari anak orang susah, saya kadang kala terfikir mungkinlah kalau saya anak orang ada ada takkan berani orang buat macam ini.

Namun sebab kasih pada asben. Saya bertahan juga sekian lama.

Kalau nak sebut apa yang saya telah bagi pada dia orang. Rasanya tak ramai menantu perempuan yang sanggup buat hari ini. Serious .. kalau nak cerita, jenuh tangan nak tulis. Cukuplah saya kata, kalau ada sorang dua yang tahu hal saya, mereka akan geleng kepala. Dan kalau nak cerita apa yang mereka buat pada saya, hingga ada masa saya rasa mahu lari dari semua. Pun akan buat orang geleng kepala.

Satu perangai mertua saya, pantang anak kena jentik, yang terang salah pun ditegakkan. Jadi biar kadang kadang saya atau suami bercakap perkara betul contohnya defence apa tindakan kita bil tolak kehendak anak anak dia yang lain, bila menyentuh bab anak mereka ia ibarat seperti menghina atau mengata anak anak mereka. Nak pulak ada sorang dua adik suami yang mulut macam laser, main ikut cakap jer. Mana kita tak makan hati. Bila ada dia tak berkenan dengan saya atau asben terus diadu pada mak mertua kononnya kami buat itu ini kat dia. Biarpun nak fulfil kehendak dia orang yang kadang kala tak masuk akal. Kita sebagai menantu, takkan nak menegakkan kita betul dan kata anak dia salah. Itu saya hanya menelan rasa saja. Tak pelik kalau hingga hari ini masih belum ada orang sanggup meminang kalau perangainya menakutkan orang untuk dibuat bini. Tambahan pula saya bukan menantu pilihan kerana sebelum berkahwin, ada ura ura calon pilihan mertua tapi takdirnya suami berjodoh dengan saya.

Lama kelamaan saya jadi pediam, malas hendak ulas apa benda tentang keluarga mereka. Jika saya bercakap pun, bukan diraikan bukan diterima. Silap cakap dikata kita cuba memandai pulak. Bila saya jadi diam, mereka mula rasa saya menjauhkan diri cuba menyisihkan diri tidak mahu menjadi seperti ahli keluarga. Ada beberapa saya cuba consider tapi saya melihat keluarga asben tidak sensitif kehidupan kami anak beranak. Hanya fikirkan diri sendiri mereka saja. Bila saya susah jangankan mereka nak membantu, orang lain pula yang datang membantu. Saya sebolehnya cuba berdikari sampai nak tinggalkan anak sekejap dengan mertua pun perkara paling last akan saya buat.

Banyaklah perkara jika nak disebut. Ia sangat memakan hati. Asben tahu banyak mana pengorbanan saya untuk keluarga dia. Jadi dia tak cakap banyak hal ini dengan saya. Dia pun banyak diam. Sebab dia tahu saya banyak menyimpan luka. Dia banyak rasa bersalah pada saya atas kekurangan keluarganya terhadap saya. Mak ayah saya pulak jenis keluarga yang menjaga perasaan menantu. Jika ada anak ada tak berkenan hati dengan ipar duai mak ayah saya akan diam tanpa membelahi mana mana. Sampai saya rasa, mak ayah lebih sayangkan menantu lebih dari anak. Suami saya banyak diraikan oleh mak ayah saya.

Dengan keluarga mertua, Saya banyak berdiam diri. Tapi saya masih boleh berfungsi sebagai ahli keluarga jika masih perlu. Jangan apabila anak kita berkahwin dengan anak orang kita buat lebih kurang macam anak orang tak ada mak ayah. Saya sembunyikan semua susah saya pada mak ayah saya demi menjaga air muka suami. Malah saya tak nak mak ayah susah hati bila tahu apa sebenarnya saya lalui dalam perkahwinan saya. Mak Ayah mana tak sedih, anak perempuan yang ditatang disayang bila berkahwin nasibnya begini. Itu saya cuba menahan sebolehnya. Bayangkan, mertua juga yang punya anak anak perempuan, apa mereka rasa jika orang memperlakukan anak perempuan mereka sama seperti saya lalui.

Saya berharap anak anak perempuan saya tidak lalui pengalaman hidup seperti saya. Anak anak lelaki saya ingin didik agar mereka bertanggungjawap dan menjaga isteri anak anak dengan baik. Buat anak menantu macam anak sendiri. Kekurangan dia harus difahami dia bukan anak yang membesar dengan kita. Sudah cukup baik dia boleh menerima kekurangan keluarga kita.

Dan saya masih berusaha gigih agar tidak akan menyusahkan anak anak bila mereka sudah berumahtangga. Dengar mungkin agak ideal. Tapi bagi saya, anak anak akan berkahwin, jika kita tidak siapkan diri hingga menyusahkan anak dan menantu, jangan salahkan mereka jika mereka tidak dapat memberi sepenuhnya seperti kita harapkan, kerana kita yang tidak memberi ruang mereka anak beranak hidup bertenang menjalani hidup berkeluarga seperti kita juga impi dalam kehidupan kita. Tanggungjawap kita adalah membesarkan anak tanpa harap balasan. Jika dia diberi agama, dia sendiri akan tahu menabur bakti. Tahu dimana tempat kita mak ayah. Tak perlu kita minta itu ini. Bagi anak ia adalah peluang berbakti tapi tidaklah hingga mengabaikan tanggungjawap pada keluarga sendiri. Jadi berdosa pula.

Pengalaman hidup ini membuat saya terfikir, esok esok jika diberi menantu, mereka kita ambil dari tangan mak ayahnya untuk anak kita, maka jagalah ia sepertimana dia tinggal dengan mak ayahnya. Jangan buat lebih kurang. Kita pun ada anak perempuan. Pun tak suka kalau orang buat perkara sama dekat anak kita.

Walaupun begini kisah hidup saya, namun mengabaikan mertua tidak sama sekali. Saya masih hormat dan masih kenal ibu dan ayah kepada seorang suami. Saya tak menghalang asben berbakti pada orang tua dia kerana syurganya ada pada di ibu. Dan saya juga ada mak ayah. Sama juga pihak asben, itu mak ayah dia. Tak ada sebab untuk saya menjadi penghalang. Perkara ini saya cuba memahami. Oleh itu, saya ambil tindakan berdiam diri dan memang ia kadang kala menyakitkan. Tapi bertahanlah .. Jangan kita menantu menjadi sebab suami kita jadi anak derhaka. Selagi ia tidak memudaratkan rumahtangga carilah kekuatan. bertahanlah .. Yakinlah Allah SWT sentiasa ada dengan orang sabar. Doakan saya diberi anak dan menantu yang akan kasih pada saya dan dapat menjaga anak menantu dengan baik.

Kepada perempuan luar sana yang diberikan keluarga baru yang ‘menerima’ sepenuh hati bersyukurlah rezeki anda. Jaga diri .. jaga keluarga. Bagi anak anak perempuan belum kahwin, berdoalah selalu agar diberi perjalanan perkahwinan yang mudah. Jika ada abang atau kakak dalam kekurangan dan masalah, jangan kamu jadi batu api atau hanya bercakap dari pandangan kamu yang pernah berkahwin. Kelak kamu berkahwin akan tahulah asam garamnya. Mungkin lebih teruk akan kamu lalui. Banyak perkahwinan orang rosak hari ini kerana sikap ipar duai.

Banyak bersabar untuk mempertahankan rumahtangga. Akan banyak perkara yang cuba merosakkkan satu perkahwinan maka bertahanlah dengan doa dan amal baik.

Bagi lelaki, usahalah berkerja keras kerana anda bakal menanggung keluarga dan harus berbakti pada orang tua. fahami prioriti nafkah siapa yang layak siapa yang perlu baru kita tidak akan abaikan tanggungjawap dan salah buat pertimbangan. Tunjuk contoh baik, bertanggungjawap, jagalah hati anak isteri atas pengorbanan mereka. Kepada mertua jangan terlalu meletakkan ekspetasi tinggi pada menantu, anak kita pun ada kekurangan kenapa anak orang juga kita meneropong setiap inci salah. Kena bijak antara anak dan menantu.

Semoga semua berjaya mengharungi kehidupan berumahtangga.

– Kak Paeh

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *