Assalamualaikum. Aku kenalkan nama aku sebagai Luna. Aku cuma ingin mencari sedikit kekuatan, mahukan sedikit semangat dan sedikit doa dari kalian, yang mungkin ada diantara kalian yang mengalami situasi seperti aku.
Aku ringkaskan serba sedikit tentang diri aku. Aku adalah seorang yang biasa, dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dan aku memiliki diploma disebuah kolej swasta. Bagi aku, tiada yang kurang dari didikan keluarga dan aku akui, aku manusia biasa yang melakukan kesilapan.
Kenapa aku menyatakan “Jangan Hina Kami” adalah kerana aku terpanggil untuk menyatakan rasa hati aku kepada golongan di luar sana yang memandang golongan pendosa atau yang pernah tersasar dari laluan hidup sebagai seseorang yang selayaknya dicampak ke neraka.
Bukankah kita semua berTuhankan Allah Yang Satu? Layakkah kalian yang sering menghina golongan yang pernah melakukan silap seolah-olah kalian sudah mengambil alih kerja Allah?
Tegurlah kami jika silap, bimbinglah kami jika kami lalai, namun jangan sampai menghina dan mencerca golongan seperti ini.
Apakah Allah hanya wujud untuk kalian yang baik? Sehingga kami ini tidak layak langsung untuk meminta ampun dan redha Allah? Apakah kalian boleh melihat pengakhiran kami? Apakah kalian semua yakin kalian akan terus diterima syurga tanpa dihisab?
Jika kalian nyatakan pada kami “jahat-jahat aku, sekurang-kurangnya tak teruk macam kau” adakah kalian juga yakin suatu hari nanti kalian tidak menjadi seperti kami?
Dan siapa tahu mungkin pengakhiran kami sedikit lebih baik dari yang lain. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Dia pemilik seluruh isi bumi, pemilik segala pinjaman yang kita ada pada hari ini.
Maka janganlah kita mengadili manusia lain dengan kata-kata yang meruntun jiwa halus mereka yang ingin berubah, ingin keredhaan serta keampunan Allah.
Jika dulu aku selalu mendengar orang nyatakan kepada aku “lidah manusia sebenarnya lebih tajam dari mata pedang”.
Ya hari ini aku melihat realiti itu berlaku. Banyak yang aku baca pada hari ini, apabila ramai golongan yang ingin berubah namun tidak kuat apabila pelbagai tomahan, cercaan serta hinaan, perli yang menyakiti hati dan jiwa.
Mereka juga punya hati dan perasaan, ada rasa untuk dibimbing, disayangi dan terus dibantu sedikit demi sedikit. Apabila seseorang itu mengalami depresi, tanyalah mereka. Kenapa dan mengapa.
Mereka ingin memperbetulkan kesilapan namun lihatlah sekeliling kita. Tak cukup dengan simpan aib, ugut pula. Adakah orang yang ketahui aib kita itu boleh simpan aib kita dan menggunakannya bila-bila masa supaya kita tunduk dengan mereka?
Untuk berapa lama? Setahun? Dua tahun? Apabila kita mencari sedikit ruang untuk memperbetulkan kesilapan, namun pandangan manusia ini, Ya Allah rasanya tidak perlu aku sebut.
Terjumpa di tepi jalan pun masih menandang golongan ini dengan sinis. Jijik ya? Kami terpalit dengan apa yang terlalu kotor sehingga kalian pandang kami dengan pandangan yang penuh dengan kebencian?
Dan apabila aku membaca pengalaman mereka yang melalui depresi, kebanyakkan dari mereka kecewa bukan sahaja dengan diri sendiri, malah dengan mereka yang di sekeliling mereka.
Bagi aku, tidaklah jadi satu kesalahan untuk kita yang diluar sana, memberikan sedikit kata-kata semangat, sedikit kekuatan dan doa untuk golongan pendosa seperti ini untuk pulih dari segi mental dan fizikal. Mungkin ini ujian untuk kami.
Ujian untuk memperbetulkan laluan hifup kami. Memperbaiki rohani dan jasmani kami, mendekatkan diri kami dengan Illahi.
Aku tidak tahu pengakhiran aku dan yang lain seperti apa, tapi aku sedang mencuba untuk melalui hari-hari yang aku rasakan semakin baik dengan sisa-sisa kekuatan yang ada.
Bagi aku, biarlah aku tidak baik di mata manusia, kerana pandangan manusia sentiasa berubah-ubah, namun aku tetap akan mencuba untuk meraih kasih Allah.
Kerana Allah ada satu-satunya yang mengetahui segala apa akan berlaku pada hari ini, esok dan hari-hari seterusnya, Insya-Allah. Seperti yang aku katakan, kita semua manusia, duduk dibawah Tuhan yang satu.
Masing-masing ada kebaikkan yang dilakukan sepanjang hayat dan tidak kurang juga yang terpaksa melalui fasa silam dan kesilapan yang dilakukan, namun masih diberikan peluang untuk lebih dekat dengan pencipta. Allahu, besarnya rahmat Allah untuk semua.
Aku tidak mahu banyak, cuma diberikan ruang dan nafas untuk memperbaiki hidup, terus mejadikan diri aku seorang yang lebih baik.
Mohon doa dari kalian semua, semoga setiap kata-kata yang baik dan doa yang dititipkan, melantun semula kepada kalian, malah lebih besar rahmat untuk kalian yang masih sudi menghargai kami yang kerdil ini.
Aku mendoakan kalian yang berhadapan situasi yang sama seperti aku, supaya dipermudahkan segala urusan, dimurahkan rezeki, dan sentiasa dilapangkan segala ruang untuk terus melakukan kebaikkan pada manusia lain.
Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang, yang baik datangnya dari Allah, yang kurang datang dari kita, manusia. Jangan rasa malu, kuatlah dan percaya Allah ada untuk setiap langkah kita. Allah sayang kita semua.
Moga-moga masih ada izin untuk kita gapai redha dan syurga-Nya. Jagalah lisan kita, jagalah lidah kita dari menyakiti manusia lain. Doakan mereka. Moga-moga pengakhiran kita semua, Khusnul Khotimah, dan dilindungi Allah. Thank you.
– Luna (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit