Assalamualaikum pembaca semua. Saya suka baca confession dekat IIUM ni. Banyak cerita dan pengajaran saya dapat. Saya tertarik nak kongsi kisah saya kepada pembaca semua. Semoga dapat mengambil pengajaran dari kisah saya ini.
Nama saya Zulaifah, kawan-kawan panggil saya Zul sebab saya ni agak tomboyish sikit. Saya tidak solat, tidak tutup aurat. Masa sekolah je pakai tudung, bila dah keluar kawasan sekolah saya buka. Rimas. Panas. Berkawan pun dengan budak-budak laki. Saya nak cerita kisah saya bermula dari saya sekolah menengah. Dulu kat sekolah saya seorang yang nakal, kira macam budak yang tak berdisiplin. Suka langgar peraturan sekolah. Hari-hari kena panggil dengan guru disiplin. Kena pulau dengan kawan. Kena kutuk, kena hina dengan kawan lain sebab saya saya budak nakal.
Disebabkan saya budak yang suka buat hal, saya takda kawan perempuan. Tahu lah kan budak sekolah perempuan bajet ayu, sopan. Siapa lah yang nak kawan dengan saya yang tomboy ni. Dulu saya berkawan dengan budak lelaki je dan ada lah juga seorang dua budak perempuan yang nak kawan dengan saya. Tapi tu pun kutuk belakang so saya tak anggap diorang kawan. Saya ni walaupun nakal tapi otak okay lah juga. Masa SPM saya dapat 5A kot. Hihi.
Lepas SPM tu bila dah keluar result saya bercadang nak sambung Tingkatan 6 Rendah. Tapi ayah tak bagi, ayah suruh masuk Kolej Islam ambil diploma pendidikan pra-sekolah. Saya dengan berat hati masuk lah juga. Masa sampai kolej tu saya pakai seluar hitam ketat, baju kemeja lengan pendek dengan shawl. Yelah kolej islam kan kena lah tutup aurat. Tapi pengurus pelajar tu tegur saya, “kat sini tak boleh pakai macam ni, kena tutup aurat dengan sempurna.” Katanya. And I was like “oh okay” mata keatas tangan di bahu.
Dah selesai mendaftar bagai barulah dapat urus hostel, saya dapat serumah dengan budak course diploma pendidikan islam campur dengan budak course sama dengan saya juga. Nak pendekkan cerita, budak DPI (Dip pendidikan islam) ni suka sangat ajak saya turun ke surau hostel perempuan. Walaupun dia tahu saya memang tak solat dia ajak jugak. Setiap hari dia ajak saya. Mula-mula saya tolak, yelah sebab selama ni saya mana pernah solat. Baca Quran pun tak tahu.
Lama kelamaan saya tertarik nak tahu, diorang buat apa kat surau lama sangat. Start dari sebelum maghrib sampailah pukul 9 mlm. Saya pun join lah. Nak tahu apa yang best sangat. Di surau tu saya kenal dengan kak ayumi (bkn nama sebenar, tapi iras2 tu), senior sem 6 Dip pendidikan islam. Sebelum maghrib dia selalu bagi tazkirah, kepentingan aurat, pasal ikhtilat, zina dan macam-macam. Lepas tu solat maghrib berjemaah. Saya ikut je diorang solat. Lepas solat tu diorang ajak baca al-mathurat (zikir) tapi saya tak tahu baca. Saya ikut je tapi tak baca kecuali surah yang saya hafal, al-fatihah, 3qul dengan ayat qursi. Hafal pun sebab dulu kat sekolah kan ada ujian lisan KAFA masa Tingkatan 3. Suruh ustazah translate kan tulisan arab tu kepada rumi. Malu kot dengan ustazah tu tapi kalau tak buat macam tu memang tak dapat lah nak hafal. Dulu ada je belajar Iqra tapi tak khatam sebab kena pindah dari tempat tu. Lepas tu masa tingkatan 5 adalah ustaz tu ajar baca Quran kat masjid pun tak khatam. Merangkak-rangkak baca, kena eja satu-satu.
Berbalik kepada kisah saya di surau, sejak dari situ saya selalu dah join turun ke surau hostel, pergi kelas pakai baju kurung, tudung bawal bidang 45.
Kak ayumi ni baik sangat, tak putus asa nak tarbiah saya. Kadang-kadang masa sabtu ahad takda kelas diorang buat qiamulail kat surau hostel tu. Ramai-ramai tidur kat surau tu lepas tu bangun sepertiga malam buat solat tahajud dan solat sunat lain. Lepas solat subuh kami dah balik ke bilik masing-masing. Kak ayumi ajak lagi exercise. Exercise tu pula bukan lah exercise kosong, kira 1-8 tu, tapi ganti dengan zikir 8kali baru tukar ke step yang lain. Setiap yang dia buat mesti ada pengisian dengan agama. Lepas tu dia belanja lagi sarapan pagi kat kedai makan depan kolej. Sejak tu saya rapat dengan kak ayumi, selalu tanya pasal agama kat dia.
Selepas sebulan, saya minat sangat nak tahu lagi, lagi dan lagi pasal agama. Saya nak sangat belajar agama. Jadi saya ambil keputusan nak tukar course, dari course pendidikan pra-sekolah kepada course pendidikan islam. Saya pun tukar tanpa pengetahuan mak ayah. Lepas dah tukar tu baru saya beritahu akak saya. Akak yang beritahu ayah. Alhamdulillah mak ayah okay je saya tukar course.
Selepas beberapa bulan saya start pakai tudung labuh bidang 50 dan secara berperingkat saya pakai tudung bidang 55 dan seterusnya 60 pula. Masa bulan puasa pula selalu ikut tadarus kat dewan ramai-ramai. Alhamdulillah ramai yang betulkan bacan Al-Quran saya hingga saya dapat membaca dengan lancar. Masa sem 3 time final exam saya ambil keputusan untuk pakai purdah. Lama juga saya ambil masa untuk tutup aurat dengan sempurna. Betul lah kata orang, jangan hina mereka yang jahil. Boleh jadi mereka jadi lebih baik dari kita akan datang.
Sekarang saya dah graduate. Dah kerja sebagai guru agama. Saya tak pernah menyesal ayah suruh saya masuk kolej islam ni. Tak pernah menyesal tak dapat ambil STPM. Semua tu ada hikmahnya. Allah dah atur cantik-cantik jalan hidup saya. Mungkin jika saya tak masuk kolej tu saya masih jahil lagi sekarang. Walau bagaimanapun itu cuma asbab kepada penghijrahan saya. Sebab kita berada dimana pun kita boleh berubah cuma nak kena pada tempat dan masa yang sesuai. Kullu syai’in bissabab, setiap yang terjadi tu dengan bersebab.
Bila saya balik kampung, kawan-kawan bajet ayu dulu yang suka hina saya tu buat-buat tak nampak saya je bila terserempak. Yelah dulu saya tomboyish tapi sekarang dah jadi niqabis. Biarlah, apapun saya dah maafkan mereka kerana kutuk, umpat, hina saya dulu, benda dah lepas.
Saya nak pesan kepada mereka di luar sana, jika kita ada niat untuk berubah kepada yang lebih baik. Teruskan. Kerana anda sangat bertuah, anda adalah insan terpilih dari ramai manusia yang ada. Hidayah milik Allah. Bila Allah dah beri hidayah jangan siakan. Siapa pun kita dahulu tu tak penting, yang penting siapa kita sekarang. Kitalah yang tentukan masa depan kita bagaimana. Kepada mereka yang bajet bagus bila ada kawan yang jahil tak payah nak kutuk-kutuk kalau kau sendiri takda usaha nak bimbing dia. Kan lebih baik kita bimbing dia daripada hina kutuk dia. Semoga apa yang saya tulis pasal kisah saya ini memberi teladan kepada kita semua. In shaa Allah.
“Jangan hina mereka yang jahil. Boleh jadi mereka lebih baik dari kita akan datang kelak”.
– Zulaifah
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit