Untuk part I, (https://iiumc.com/jangan-ingatkan-aku-tentang-tuhan/).
Assalammualaikum dan salam sejahtera. Aku Ahli Neraka. Aku pernah menghantar post ke sini 2 bulan yang lalu.
Di mana aku menceritakan dilema aku dengan lelaki yang menjadi kekasih aku. Semalam kami secara muktamad putus.
Setelah sekian lama direndam dalam ketoksikan dan konkongan dan juga dijadikan tempat pelampias hawa nafsu. Akhirnya, aku beranikan diri untuk melepaskan diri dari semua ini,
Walaupun aku tahu yang dia akan memalukan aku secara umum tentang aku malah mungkin video dan gambar aku kini sudah tersebar di laman-laman l*cah di seluruh dunia.
Sumpah, aku sudah pasrah. I reap what I sow. Aku perlu terima kesan dari perbuatan yang aku lakukan.
Keluarga aku sudah mula menyoal aku dengan pelbagai soalan kerana dia semberono menyerang keluargaku dek kerana mereka cuba mempertahankan aku dan cuba mengeluarkan aku dari cengkamannya.
Aku tak mampu berbuat apa-apa. Melainkan hanya mampu membisu. Berbulan lamanya aku berfikir akan hal ini dan semua yang terjadi seperti mana yang aku fikirkan. Aku cuba bertenang.
Inilah kesan kenaifan aku sebagai wanita. Bukan sahaja kehilangan wang ringgit yang banyak, masa yang berharga malah bisnes aku hampir terlingkup juga,
Ini semua dek kerana dia menyerang pelanggan² berpotensi aku yang berlainan jantina di laman sosial menggunakan akaun aku.
Bukan itu sahaja, aku juga kehilangan maruah diri sekali lagi. Tumpas di atas kata-kata manis seorang lelaki yang pandai merayu. Aku benci dengan rayuan.
Memang benar, lelaki jahat hanya perlu melaburkan air liurnya sahaja.
Tidak cukup dengan itu, aku dikongkong dan diperhatikan dengan siapa aku berkawan dan siapa yang memberi komen dan respon dan hari ini Tuhan menunjukkan keajaibanNya.
Dia rupanya seorang musang berbulu ayam. Pencurang dalam diam.
Bukan seorang tetapi tiga orang. Aku adalah yang keempat. Aku tidak tahu dalam empat orang itu, aku yang ke berapa. Bijak sungguh dia membahagi masa.
Dia berjaya membuatkan dirinya tampak sibuk mencari aku seharian tetapi rupanya, bercakap dengan aku dengan bahagianya membalas mesej pasangan yang lain.
Mujur hubungan aku ini telah berakhir. Tetapi perasaan remuk tetap wujud. Sakit.
Aku hairan benar mengapa dia begitu susah hendak melepaskan aku sedangkan dia mempunyai 3 wanita yang lain?
Siap pakej dengan ugutan akan menyebarkan gambar dan video lagi.. Sedangkan wanita yang lain itu mungkin memberikan hal yang sama kepadanya.
Entahlah. Aku tidak habis fikir dengan semua ini. Hendak mencerna dan menghadam perkara yang berlaku ini eperti mimpi ngeri sahaja. Kecewa, terkejut dan bersyukur. Bergumal semua rasa sekaligus.
Tetapi dalam semua kehilangan itu. Aku meraih sebuah kebebasan. Kebebasan untuk kembali ke agama Tuhan.
Aku sudah penat menyeksa diri sekian lama sehinggakan aku merasakan aku mempermainkan agama yang aku pakai sebagai keyakinanku
Al Quran.. Aku merinduimu.. Aku alpa dengan kesunyian. Sunyi hati aku bukan kerana inginkan peneman hidup, tetapi kurangnya agama dalam hati aku. Kurangnya cinta aku kepada yang Maha Esa.
Selepas ini, aku berdoa aku takkan menyesali menjadi seorang single atau loner. Kalau boleh, aku tak mahu ditakdirkan menjadi peneman hidup sesiapa.
Biarlah aku sendiri sehingga ke akhir hayat. Semua ini adalah sebuah pengajaran berharga.
Tuhan mengujiku untuk memberitahu permintaan aku untuk peneman hidup itu tidak sesuai untukku. Salah aku sendiri melawan kehendak Ilahi hanya kerana ingin menurutkan kata hati dan hawa nafsu.
Aku berdoa semoga aku dilindungi dari kejahatan manusia, jin dan syaitan yang datang tanpa lelah dan semoga dikuatkan hati ku untuk kembali beribadah sepertimana dulu lagi.
Wahai wanita!
Ini sebuah kisah benar aku sebagai pengajaran. Janganlah kerana bimbang menjadi single, engkau hilng diri sebagaimana aku.
Engkau permata yang baik, maka peliharalah permatamu dari dinoda.. Dan jangan sesekali takbur dan bangga diri dengan kesucian diri kerana bimbang engkau akan diuji dengan apa yang engkau banggakan.
Pada yang ternoda seperti aku, kita semua pendosa yang boleh ke syurga. Diharapnya.. kita semua boleh kembali ke kampung halaman kita dalam keadaan taubat..
Akhir zaman ini memang mengundang ujian buat kita semua terutama wanita. Persiap siagakan diri kemas-kemas kerana manusia jahat di luar sana sentiasa memerhati untuk membaham kita pada bila-bila masa.
Selamatkan diri. Sekali engkau terjebak seperti aku, untuk melepaskan diri engkau perlu membayar dengan harga yang sangat mahal…!
Maka, lebih baik dari tidak buat dari buat. Jangan dekati couple, kerana ia mendekatkan engkau dengan syaitan dan menjauhkan engkau dari Tuhan.
Jangan jadi seperti aku… tolonglah.. jaga diri.. Jangan biarkan diri dengan kenaifan.
Belajar serba sedikit tentang awal-awal permintaan ‘tidak masuk akal’ dan ‘rayuan’.. Meski pun engkau tahu, nafsu kau bergelojak. Lari sejauh mungkin dari lelaki tersebut…
Aku abaikan amaran awal dek kerana itu aku terjelopok dalam kancah yang sama.
Maka, jangan jadi seperti aku.. Dan jangan letakkan harapan padanya walau sekali. Biar sombong dan garang dari dikenal sebagai perempuan jalang seperti aku.
Jaga diri selalu *peluk*
Tolonglah..
Aku merayu…
– Ahli Neraka (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit