Assalamualaikum. Terima kasih admin. Maaf jika penulisan ini sedikit panjang. Entahlah, saya hanya mahu meluahkan segala yang dipendam dan ambillah pengajaran daripada kisah ini.
Saya dibesarkan oleh bukan keluarga yang senang. Ibu ayah saya orang susah dulu. Saya pernah tengok ibu saya menangis dek kerana kesempitan hidup dan hutang. Tapi sedikitpun ibu ayah tak pernah abai anak anak walaupun mereka terpaksa kerja kuat siang malam demi kelangsungan hidup.
Saya dan adik beradik merasa kasih sayang yang sangat cukup, ibu ayah begitu prihatin, ambil berat dan sedaya upaya membahagiakan kami dengan apa yang mereka mampu.
Bila saya besar, saya pun akhirnya berkahwin. Dan suami saya datangnya daripada keluarga yang hidup mewah. Tapi mereka senang bukanlah goyang kaki, tapi kesenangan mereka benar-benar atas usaha gigih.
Di sinilah saya lalui perbezaan kehidupan dua keluarga. Emak dan abah mertua seorang yang sangat berkerja keras.
Ketika muda, adik beradik suami saya semua dihantar pada orang untuk dijaga. Kakak-kakak suami yang besar ketika itu pun usia sedang bersekolah, ha pandai-pandailah mereka jaga diri sendiri.
Suami ada 5 adik beradik. Dua kakak, suami saya, adik perempuan, dan bongsu lelaki. Hanya bongsu belum kawen dan masih belajar.
Mak abah mertua buat bisnes, daripada sekecil kecil gerai, hinggalah dapat buka beberapa cawangan dan akhirnya kehidupan mereka senang dan sangat mewah.
Ketika adik beradik suami sedang membesar dulu, kehidupan emak dan abah mertua sudahpun senang dan mewah,
Sepatutnya mereka dah terlalu mampu upah pekerja supaya mereka ada sedikit masa dengan keluarga, tapi dah cara mereka tak boleh duduk diam, mesti kerja kerja kerja, cari duit duit duit, mesti kumpul harta, jadi mereka tetap berkerja sendiri. Kerja bersama suami isteri.
Kerja keras tak salah, yang silapnya mereka terlalu abaikan anak.. anak kecil perlukan kasih sayang.. Semua itu menyebabkan adik beradik suami terabai,
Dan boleh dikatakan mereka tidak merasa kasih sayang emak abah mertua sbb mak abah mertua kerja daripada pagi buta hingga ke tengah malam.
Begitulah hari hari. Mak abah mertua yang cerita sendri pada saya, betapa mereka bangga tinggalkan anak merata pada orang, nak tunjuk betapa mereka kuat berkerja.. dia nak saya jadikan dia sebagai contoh dan nak saya ikut macam dia.
Kakak ipar juga cerita benda yang sama pada saya tentang kehidupan mereka adik beradik masa kecil dulu sebab saya rapat dengan kak ipar nombor 2, saya gelar dia kak fina.
Kini mak abah mertua dah tua, bisnes diambil alih oleh adik beradik suami pula termasuklah suami saya.
(Kecuali kak fina dan bongsu. Bongsu masih belajar, kak fina pula berbeza dengan adik beradik lain, dia utamakan keluarga jadi kakfina memilih untuk tidak berkerja dengan memberi alasan kepada mak abah mertua bahawa suaminya tak bagi kerja.
Dan keputusan kakfina untuk tak bekerja dibantah teruk oleh mak abah mertua dulu sebab mak abah mertua memang tak suka anaknya tak bekerja walaupun perempuan, bagi mereka lelaki perempuan dua dua kena kerja keras cari duit untuk hidup mewah.
Berbeza dengan ajaran ibu saya, ibu saya pesan, jika suami dah mampu tanggung kehidupan, lebih baik isteri jadi surirumah saja, lebih sempurna dan terurus kehidupan anak dan suami.
Kalau nak kerja pun, kerjalah sekadar isi masa lapang, bukan kerja kuat sampai abai anak-anak. Itu pesan ibu saya dulu)
Nak dijadikan cerita, selepas berkahwin dan ada anak, suami keluar ke tempat kerja jam 7 pagi berbanding dulu jam 6.30 pagi. Dan suami pulang ke rumah jam 11 malam, berbanding dulu jam 1 pagi. Dan berkerja separuh hari pada hari ahad.
Ini kerana suami dan saya punya pegangan yang sama iaitu perlu seimbang kerja dan keluarga.
Alhamdulillah suami saya tak ikut macam mak abah dia yang fikirannya kerja je sampai abai anak-anak. Kalau suami ikut masa berkerja macam bujang dulu, bilalah masanya dia nak jumpa anak isteri.
Jadi mana kerja yang sikit sikit lagi tu, suami pass pada pekerja supaya dia dapat pulang ke rumah lebih awal untuk luang sedikit masa bersama saya dan anak. Mungkin kerana dia pernah rasa diabaikan ibu bapa, sebab itu dia taknak ulang perkara sama pada saya dan anaknya.
Malangnya emak dan abah mertua tak faham, dan selalu anggap suami seorang anak yang sangat tak dengar kata. Emak dan abah mertua selalu cakap dengan saya supaya pesan pada suami, suruh suami saya kerja sehari suntuk macam mereka dulu. Buat kerja sendri.
Jangan pass pada pekerja. Jangan percaya pada pekerja. Kita kena cari duit, di mulut mereka hanyalah duit, duit, duit. Duit tu penting, duit tu penting. Itu saja yang saya dengar. Nak saja saya jawab, ya duit penting, sangat penting, tapi keluarga juga sama penting.
Malangnya saya hanya cakap dalam hati, apa mak abah mertua cakap saya selalu dengar saja tanpa melawan, sebab tak mahu mengeruhkan hubungan baik. Saya hanyalah menantu. Jika nak tegur, biarlah anak anak mereka yang tegur sendiri..
Disebabkan mereka abai anak anak dulu, dan mereka ajar anak anak tak kira lelaki atau perempuan untuk kerja keras cari duit, maka bagaimana acuan begitulah kuihnya. itulah yang jadi pada anak-anaknya iaiatu adik beradik suami.
Adik beradik sangat jarang balik jenguk mereka walaupun semua tinggal satu negeri, kecuali kakfina seorang, dia je selalu balik tiap minggu jenguk mak abah mertua.
Yang lain jarang nampak sebab masing-masing sibuk kerja. Ya, mak abah mertua hidup senang, adik beradik suami hidup senang, tapi saya tak merasa bahagia bila bersama dalam keluarga mereka.
Saya hanya rasa ngam dengan kak fina sebab pendirian dia sama macam saya. Tapi bila dengan mak abah mertua, Saya tak rasa kasih sayang.
Tak ada komunikasi, tak ada toleransi dalam keluarga mereka. Bila mak abah mertua buat kenduri, masa rewang hanyalah jiran-jiran.. adik beradik tak nampak batang hidung, dah siap semua barulah masing-masing datang. Datang pun datang makan, macam tetamu.
Pastu balik, yang jadi tukang basuh tray, periuk, kuali, saya dan suamilah. Sebab kami duduk dekat dengan mereka, selang beberapa rumah saja. Oh ya, percaya tak, masa saya dan suami kawen dan masa kenduri rumah saya, semua adik beradik dan mak abah mertua tetap kerja.
Betapa mereka tak boleh tinggalkan kerja. Rugi katanya. Rombongan suami yang berarak ketika hari persandingan kami adalah saudara jauh suami. Bukan adik beradik. Bukan mak abahnya. Tak lama kemudian barulah mereka sampai..
Belum lagi cerita adik bongsu lelaki. Dialah yang paling diabaikan. Membesar pun dengan kakak-kakak. Jadi bila adik bongsu dah besar, sedih saya lihat tiada sedikitpun rasa hormat dia pada mak abah mertua. Apa mak abah cakap, satupun dia tak dengar.
Dan dia jadi sangat mudah melenting dengan mak abah mertua. Cepat tarik muka. Dan dia jarang balik rumah, dia selalu tinggal di rumah kak fina sebab kak fina yang jaga dia masa kecik. Dan ada sorang lagi jiran seberang rumah yang jaga adik bongsu dulu.
Sekarang, Kadang kalau dia balik rumah pun, mak abah tak tahu. Senyap-senyap masuk, senyap-senyap keluar. Tahu tahu ada. Tahu tahu hilang. Pegi mana, dengan siapa, mak abah tak pernah tahu. Kalau ada kat rumah pun, memerap dalam bilik. Keluar semata berak kencing mandi.
Kadang hilang rupanya pegi makan rumah jiran yang jaga dia dulu. Langsung tak ada komunikasi. Yang mak abah mertua tahu, adik bongsu degil. Degil melampau. Tak dengar cakap orang tua. Tapi mereka tak sedar kenapa budak tu jadi macamtu.
Si bongsu tu dengan kakak-kakak dia, dia okay je. Dengan jiran seberang rumah tu pun, dia baik, hormat. Kadang saya tengok dia lagi sayang pada makcik pakcik seberang rumah tu. Selalu dia luang masa kat sana. Rumah mak abah mertua ni dia buat macam hotel je.
Lagi satu kisah, jiran sebelah. Kami duduk rumah kampung, mak abah mertua rumah besar, gah tepi jalan. Jiran sebelah ni rumah kayu je.. saya duduk berdekatan, jadi saya nampaklah jiran sebelah rumah mak mertua tiap minggu sabtu ahad mesti penuh kereta depan rumah.
Sebab anak-anak diorang balik. Anak2 mereka juga semua duduk satu negeri.. Tiap2 minggu meriah saya dengar suara mereka ketawa ramai ramai.
Kehidupan mereka sama macam keluarga saya. Kami suka berkumpul, bercerita, berborak sama sama, gelak ketawa. Walaupun hidup tak mewah, tapi bahagia begitu. Dan saya tak rasa semua tu bila bersama keluarga suami.
Ada satu hari tu, kami sambut harijadi abah metua. Suami saya bagi hadiah, kakak suami bagi hadiah. Lepastu abah cakap, abah tak minta semua ni, abah nak korang balik tiap-tiap minggu, masak sama-sama macam jiran sebelah tu cukup dah.. terkesima saya.
Saya rasa kesian pada dia. Tapi nak salahkan adik beradik suami tak boleh jugak, mak abah mertua yang didik mereka begitu, cari duit siang malam.
Mulutnya asyik sebut duit je, biar hidup mewah, mewah mewah. Muda muda cari duit, cari harta, tua tua boleh rehat dia kata.. tapi apalah guna rehat di hari tua tanpa anak-anak datang ingat kita.. sekarang mak abah mertua jaga cucu cucu dia.
Sebab adik beradik suami sibuk kerja. Ada yang hantar anak untuk mak mertua saya jaga. Ada yang hantar ke pengasuh. Ada yang hantar rumah mertua diorang. Diorang ulang benda yang sama. Sedih saya tengok.. kecuali kakfina lah, anak2 jaga sendiri.
Berbalik pada kisah jiran sebelah tadi, abah mertua masih belum sedar kenapa kehidupan jiran sebelah begitu.. kenapa anak-anak orang sebelah boleh balik ramai ramai.. kenapa anak-anak dia tak macamtu..
dia tak sedar semua tu sebab dia abai anak-anak dlu.. dia tak sedar semua tu sebab dia sendiri yang didik anak kerja kuat.. dia rasa dia je betul.. mak abah mertua selalu rasa mereka betul hingga tak boleh ditegur..
Perbezaan kehidupan keluarga suami dan keluarga saya menyebabkan saya dan suami saling melengkapi. Saya datang daripada keluarga yang tak senang tapi penuh kasih sayang. Suami datang dari keluarga yang mewah tapi zero kasih sayang.
Jadi bila kami bersatu, kami seimbangkan keduanya. Saya tak berkerja, hanya surirumah urus anak anak dan suami sebaiknya.
Itupun mak mertua selalu bising suruh saya kerja, cari duit, duduk rumah je buat apa. Duit duit duit itu sajalah yang saya dengar sampai bernanah telinga. saya memilih menjadi suri rumah dan suami juga mahukan begitu. Saya beri kasih sayang yang dia tak rasa.
Suami pula usaha keras kerja tapi tanpa abai saya dan anak. bersamanya kehidupan saya lebih baik dan saya merasa sedikit kesenangan, tiap bulan saya dapat ‘gaji’ dari suami dan banyak benda mewah yang saya tak pernah rasa dulu.
Tapi kami duduk rumah kecik je, kereta pun biasa saja, tapi hidup tak pening kepala sebab kurang komitmen. Alhamdulillah.
Suami jenis yang- tak perlulah kita nampak gah di mata orang rumah besar kereta besar tapi bulan-bulan hidup dalam kesempitan. Biar kita hidup biasa je, orang tengok rumah kita pun kecik je, tapi kehidupan kita serba serbi cukup tanpa perlu ikat perut hujung bulan.
Dengan keluarga pula, suami selalu bawa keluarga saya makan tempat-tempat mahal yang keluarga saya tak pernah jejak. Suami bawa keluarga saya bercuti banyak tempat. Suami belikan hadiah macam macam pada ibu ayah saya.
Suami belikan motor, belikan makanan, belikan kasut, belikan baju. Langsung tak berkira.. bersama keluarga saya, dia rasa kasih sayang yang tak pernah dia rasa..
Pada keluarga suami pula, saya pesan pada suami untuk terus berkasih sayang pada orang tua dia. Belanja mak abah makan juga. Jangan lupa hulur duit.. Jaga tutur bicara, tetap hormat mak abah walaupun masa kecik dulu mereka tak jaga dia.
Saya kena selalu ingatkan suami sebab saya perasan sikap suami dan adik beradik pada mak abah mertua agak kasar, sebab mereka membesar sendiri dengan orang lain.
Mereka tak dididik dengan betul.. takde siapa nak tegur bila mereka buat silap masa kecik dulu. Kadang saya kena tegur suami tentang adab juga. Sayang, tak boleh buat ini.. sayang, tak boleh buat itu..
Mujur suami mudah terima teguran saya wlaupun adakala perlu tegur berulang kali sebab dia dah terbiasa contoh makan berbunyi.
Bersama dia saya belajar banyak perkara juga, bahawa betapa pentingnya didikan tentang akhlak dan adab ketika anak masih kecil.. sebab bila dah besar panjang baru nak tegur, susah sikit nak ubah.
Saya dah dididik dengan adab dari kecil, jadi saya anggap benda tu biasa. Jadi, bila bersama suami yang banyak tak tahu tentang adab, baru saya nampak betapa pentingnya didikan sedari kecil. Itulah hikmah dia Allah ciptakan perbezaan.
Apapun, tetap ada sisi baik mak abah mertua. Adik beradik suami pun alhamdulillah semua baik dengan saya. Mereka rapat adik beradik sebab mereka membesar sendiri bersama.
Akhir kata, janganlah jadi hamba duit.. ya duit memang penting, tapi berpadalah. Kerja keras memang bagus, cuma seimbangkanlah dengan nilai kekeluargaan.. duit saja tanpa kasih sayang, tak guna. Kasih sayang saja tapi hidup tanpa duit pun, susah juga nak hidup..
Jadi seimbangkan lah keduanya. Jangan abai anak-anak demi nak kejar kemewahan yang sementara.. keluarga juga penting. Bahagia ke hidup mewah tanpa keluarga di sisi.. rasa kosong je..
Apapun, perbezaan itu melengkapi. Saya belajar sesuatu daripada dia, dia belajar sesuatu bersama saya. Kelebihan dia adalah kekurangan saya. Kekurangan dia adalah kelebihan saya. Bila kite bersatu, itulah kesempurnaan.
– Menantu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit