Terima iium sebab publishkan tajuk ‘Nasihat untuk mereka yang pernah berzina”.
Aku confess artikel itu bukan untuk kita menghukum orang itu, yang dia “pernah” atau “ter” atau itu memang pilihan dia untuk berzina. Bukan maksud aku macam tu. Apatah lagi nak galakkan orang itu untuk berzina, apa yang aku cuba nak sampaikan adalah aku nak bagi semangat untuk mereka yang pernah melakukan perbuatan terkutuk itu yang mereka sentiasa ada Allah untuk kembali. Dan berhentilah dari melakukan perbuatan itu.
Perkara yang paling penting sekali, janganlah kau menghampiri perbuatan tersebut sebab sekali kau terjebak dan hendak berpatah balik pada Allah. Akan muncul suatu perasaan yang kau sendiri tak boleh nak gambarkan. Bermacam-macam ujian kau akan lalui. Antaranya, kau akan ketagih. Kau akan rasa putus asa sebab mentaliti masyarakat terhadap orang yang berzina memang buruk. Kau akan rasa agak-agak Tuhan akan ampunkan dosa aku ke? Tuhan nak terima aku ke? Tempat aku memang di neraka ke? Ada ke orang nak terima aku sebagai pasangan hidup? Kau tahu sekali kau jatuh ke kancah penzinaan lepas itu kau nak bangkit dan mulakan kehidupan yang baru sangat susah. Ya,sangat susah. Kau mungkin akan mengalami tekanan dan putus asa dengan kehidupan, lalu kau kembali melakukan dosa-dosa tersebut. Sebab ramai orang di luar sana banyak yang kembali untuk melakukan zina daripada bertaubat. Sebab proses untuk kembali pada Allah ni sangat susah. Hanya orang yang mengalaminya sahaja yang mengetahui. Dan nasihat yang aku berikan itu sebab aku nak bantu golongan-golongan tersebut. Kau takkan pernah tahu berapa ramai yang terjebak dengan zina itu hatta dalam kalangan ahli keluarga kita sendiri. Dan akan lagi sakit, bila kau pernah berzina , dan orang itu tak nak bertanggungjawab dengan pasangannya. Kau dahlah terjebak sama, lepas itu kau boleh pula tinggalkan pasangan kau dengan alasan kau buat sekadar suka-suka. Memang sakit weh nak bangkit semula.
Aku tahu ramai masyakarat kita yang memandang hina dengan perbuatan itu. Ya,terpulang kau nak pandang hina atau tak, tetapi apa salahnya kita bantu dia untuk mendapat keampunan Allah. Kita bantu dia dengan pulihkan semangat dia dan beri dia peluang untuk kehidupan yang lebih baik. Bukan kita menghukum dia dengan mengatakan “Allah pandang hina perbuatan itu,memang tempat kau di neraka! Orang macam kau ni memang tak layak dapat peluang kedua.” Cukuplah kau hina dia, cukuplah kau buat dia putus asa. Kadang disebabkan mentaliti sesetengah masyarakat inilah yang membuatkan dia kembali semula melakukan perbuatan tersebut. Kau memang takkan dapat menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka. Tapi kau tolonglah dia untuk kembali pada Allah. Nyatakan pada dia pintu taubat sentiasa terbuka. Bertaubat dan terus bertaubat,dan Allah akan ampunkan dosa-dosa kau. Kau tunjukkan kasih sayang yang Allah Maha Penyayang.
Orang yang pernah berzina ini saja yang mengetahui betapa susahnya proses tarbiah diri untuk kembali pada Allah. Kau takkan faham kalau kau tak laluinya tapi bukan aku suruh kau berzina supaya kau faham(nanti orang anggap aku suruh berzina pula). Aku hanya nak kau tolong orang-orang macam ini. Kau tak tahu berapa ramai yang terjebak di luar sana tetapi tak tahu cara nak kembali. Cukup-cukuplah kita menghukum manusia,berikan mereka peluang untuk menjadi baik tak kira seburuk apa pun dia. Setiap orang ada peluang untuk menjadi terbaik.
Ya,perbuatan zina adalah suatu perbuatan yang keji. Malah menghampirinya pun tak boleh. Tapi itulah manusia, yang dilarang juga yang dibuatnya. Mungkin itu kesalahan besar dia sebab terlalu mengikut nafsu syahwatnya sampaikan dia berzina. Tapi tak salahkan untuk dia bertaubat? Tak kiralah dosa apa pun kau lakukan,kau ada peluang untuk berubah dan bertaubat kepada Allah. Jatuh pada lubang yang sama tak bermaksud kita tiada peluang untuk kembali. Usaha selagi boleh, Allah nampak kita nak berubah. Sebab itu ujian untuk berubah ini memang payah. Yang penting taubat dengan ikhlas dan takkan melakukan perbuatan itu kembali. Bila kau rasa nak buat balik dosa, ingatlah nikmat yang kau dapat di dunia ini hanya sementara. Sabar dan tahan nafsu. Allah akan gantikan dengan yang lebih baik.
Untuk mereka yang pernah berzina, ketahuilah :
“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (QS. Az Zumar: 53-54).
Untuk mereka yang masih melakukan perbuatan zina, berhentilah sebelum kau jatuh ke dalam lubang yang makin dalam.Tinggalkanlah perbuatan tersebut, kau ada kehidupan yang lebih baik. Dan untuk mereka yang baik-baik, bantulah golongan-golongan ini. Untuk yang bercinta, jagalah cinta itu berpandukan syariat bukan nafsu semata-mata. Dia tidak cukup menyintaimu kalau dia ingin menyentuhmu sebab kalau dia benar sayang dia akan benar menjaga.
Kalau kita tak mampu untuk memberi mereka kebahagiaan, janganlah putuskan harapan Tuhan. Aku takkan mampu untuk mengubah mentaliti masyarakat, aku hanya ingin membuka sebuah kehidupan yang baik untuk mereka yang berdosa. Terus yakin pada Allah yang kita ada peluang untuk bahagia. Abaikan mereka yang menghukum,kau akan temui kebahagiaan. Jangan putus asa, suatu saat nanti pada saat yang tepat akan ada seseorang yang akan menerima kau seburuk apa pun masa silam kau. Kalau tiada disini,mungkin ada di syurgaNya. Teruskan bersangka baik dengan Allah. Kau akan menjadi yang terbaik.
Alangkah baiknya jika ia diberikan hak kehidupan. Berdamailah dengan masa silam dengan memaafkan dirimu dan orang lain. Lupakan kisah silam tetapi jangan diabaikan pengajarannya. Berdamailah dengan masa depan dengan bersangka baik dan membina harapan.Fikir tetapi jangan khuatir.
Aku coretkan nukilan yang terakhir untuk mereka yang memerlukan,aku bukanlah berpengalaman tetapi aku sedia memahami pengalaman yang silam. Yang baik datang dari Allah, dan yang buruk dari aku sendiri. Sebarkanlah kasih sayang kerana Allah Maha Penyayang. Maaf salah silap.
– hurrul ain
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit