Assalamualaikum wbt
Terima kasih kepada pihak admin IIUM Confessions yang sudi menyiarkan confession ini.
Aku rasa terpanggil nak tulis disebabkan isu yang viral sekarang ini, Valet Doa, iaitu khidmat servis untuk membacakan doa di Mekah dan Madinah dengan bayaran tertentu.
Jujurnya, aku terkejut bila tahu pasal benda ni. Ye lah, macam mana sampai diorang boleh ada idea nak buat servis ni. Pastu bila aku fikir-fikir balik, mungkin diorang yang buat Valet Doa ni rasa servis/perkhidmatan doa ni ada ‘market’/pasaran, disebabkan ada ramai yang berdoa tetapi belum makbul. Jadi penyelesaiannya, gunakan servis doa ini di tempat yang makbul.
Berbalik kepada confession aku, basically aku nak berkongsi kisah aku yang ada kaitan dengan doa.
Dulu waktu sekolah menengah, aku berangan nak jadi doktor. Mak ayah aku pun nak aku jadi doktor. Jadi aku belajar la sungguh-sungguh, sebab nak jadi doktor kena dapat straight A dalam SPM. Aku pun berdoa setiap hari supaya Allah makbulkan doa aku nak jadi doktor.
Bila result SPM keluar, alhamdulillah aku dapat 9A 1B. Kiranya lesen besar la untuk aku ambil kos medic untuk jadi doktor. Tapi entah kenapa, waktu tu aku rasa tak minat pulak nak jadi doktor. Waktu tunggu SPM aku ada tengok rancangan TV, MedikTV. Dia tunjukkan macam mana doktor buat operation/surgery. Bila aku tengok satu episode tu, doktor guna hammer ketuk2 dekat lutut pesakit (operation bedah lutut), terus aku tak minat jadi doktor. Haha.
So waktu tu aku tak apply medic, tukar apply Farmasi. Disebabkan results SPM aku yang cemerlang, aku layak apply biasiswa ke oversea. Waktu ni aku mula berangan dan berdoa nak sambung belajar bidang Farmasi dekat US. Aku apply JPA. Lepas results keluar, aku tak berjaya. Waktu ni sedih jugak, sebab doa tak dimakbulkan.
Lepas tu aku try apply biasiswa lain. Bila results keluar, alhamdulillah aku dapat tawaran biasiswa ni. Aku nak pergi US sebenarnya, tapi biasiswa yang aku dapat ni ke UK. Waktu tu macam berbelah bagi nak terima ke tak sebab aku memang teringin nak ke US. Lepas bincang dengan family dan istikharah, aku terima biasiswa belajar ke UK ni.
Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ingatkan boleh terus sambung belajar ke UK, rupanya kami kena buat A-Level dahulu. A-Level ni sama macam program matrikulasi/asasi/tingkatan 6. Kiranya sebelum nak masuk universiti di UK, kami kena ambil A-Level dan lulus cemerlang sebagai syarat kemasukan ke universiti UK. Waktu ni malu la jugak, sebab dah bagitau kawan-kawan dan saudara mara yang kita nak sambung belajar di UK, rupanya kena belajar A-Level di Malaysia dulu selama 2 tahun. Rasa macam tipah tertipu kejap. Lambat lagi aku nak jejak oversea ni, hehe.
Selama 2 tahun aku buat A-Level di Kolej Yang namanya dirahsiakan, aku belajar sungguh-sungguh dan berdoa supaya impian nak ke oversea tercapai. Subjek A-Level ni sikit je, macam matrikulasi/tingkatan 6 STPM, paling kurang 3 subjek, nak ambil lebih pun boleh. Entah macam mana aku boleh terlebih rajin, aku ambil 4 subjek. Alhamdulillah aku dapat 4A dan nama aku terpampang dalam surat khabar. Tercapai impian aku nak pergi oversea. Rasa syukur sangat sebab doa aku dimakbulkan. Tapi sedih jugak ada kawan-kawan yang tak dapat keputusan cemerlang, jadi diorang tak boleh sambung ke oversea, terpaksa sambung belajar dalam Malaysia.
Aku memilih untuk sambung belajar di sebuah universiti di London. Universiti ini tersenarai dalam 10 universiti terbaik di dunia. Jadi nak masuk universiti ni memang susah. Alhamdulillah aku terpilih dan Allah makbulkan doa aku. Disebabkan syarat nak masuk universiti ni susah, jadi aku sorang je orang Malaysia dalam kos/course aku. Senior takde/junior takde. Hari pertama dekat uni aku dah nangis. Rasa susah sangat takde kawan-kawan Malaysia. Ye lah, mat salleh mana la nak pandang kita sangat.. (ni observation hari pertama).
Lepas beberapa bulan. Things get better. Aku pun dah berkawan dengan mat saleh. Tapi kawan-kawan biasa je, tak sampai tahap jadi geng. Kalau nak jadi geng kena follow diorang, lepak sama-sama. Mat salleh ni suka minum(arak)., party/pergi pub, jadi struggle la nak lepak dengan diorang, nak keluar malam semua. Bila kita tak join diorang keluar malam, lama-lama kita sendiri rasa left out. Jadi end up aku takde geng dengan siapa-siapa dengan coursemates aku, setakat jadi kawan biasa je. Bila study pun sorang-sorang. Time ni rasa susah sangat.
Aku tengok kawan-kawan malaysia dekat uni lain diorang happy sebab ada coursemate Malaysia. Aku perasan, selalunya students Malaysia dekat oversea ni diorang cenderung untuk geng dengan orang Malaysia sahaja. Kami kawan je dengan mat saleh, tapi tak sampai tahap jadi geng. Sebab bila nak jadi geng ni, kena lepak selalu. Mat saleh ni pulak rutin diorang malam-malam keluar pergi minum, jadi susah la kita nak ikut diorang.
Disebabkan aku study sorang-sorang, results aku pun tak bagus. Dulu waktu SPM dan A-Level, aku selalu jadi top 20 dalam satu batch yang jumlahnya dalam 200 orang. Tapi dekat universiti ni, aku rasa aku adalah bottom 20 ( 20 orang paling corot) dalam batch coursemates aku ni. Ada paper yang aku kena resit, dan akhirnya untuk degree aku dapat second lower class. Sedih sangat sebab dulu dekat Malaysia aku selalu dapat A, dekat UK ni hmmmm, macam tunggu kucing bertanduk nak dapat A.
Duduk UK memang best, tapi belajar kat sini struggle/sangat susah. Kadang-kadang orang nampak yang student oversea ni best, selalu travel, jalan sana-sini, tapi diorang tak tahu belajar kat sini susah. Kat sini markah banyak dekat exam, kalau cemerlang exam, maka cemerlang la degree anda. Tapi masalahnya exam susah ya ampun. Haha.. kawan-kawan aku yang takde coursemate Malaysia, maksudnya dia sorang je orang Malaysia dalam kos tu, ramai yang gagal dan terpaksa sambung belajar di Malaysia. Sedih jugak. Kadang-kadang ada yang fail exam tahun ke-4 medic, terpaksa balik Malaysia. Kat sini lecturer tak kisah sangat kalau ko fail. Kalau kat Malaysia, lecturer akan cuba bantu sebaik mungkin kalau ada student yang nak fail. Kat sini memang terkapai-kapai.
Sorry jauh pulak melalut. Berbalik pada kisah aku. Sejak belajar degree, aku dah pasang niat nak sambung PhD. Memang aku doa supaya aku dapat sambung PhD lepas habis degree. Tetapi sebab results degree aku second lower, so agak susah nak dapat tawaran PhD. Walaupun rasa macam mustahil, tapi aku tetap berdoa supaya dapat sambung PhD.
Aku ni jenis gatal tangan nak apply untuk PhD. Walaupun kalau ikut syarat macam susah nak dapat sebab aku bukan first class degree. Tapi aku apply jugak. Waktu ni aku dah balik Malaysia. Lebih kurang tiga bulan lepas habis degree, aku dapat panggilan skype interview untuk sambung PhD di UK. Gembira tidak kepalang. Tak sangka tangan yang gatal apply ni berhasil. Alhamdulillah lepas interview, aku ditawarkan tempat untuk buat PhD di UK. Kes aku ni sangat rare. Selalunya kalau nak sambung PhD kena ada masters. Kalau takde masters, at least degree kena first class. Macam aku, masters pun takde, degree pulak second lower. So aku rasa inilah keajaiban doa. Alllah perkenankan doa aku.
Bila dapat tawaran PhD ni, kira satu kaki dah masuk pintu PhD. Next kena cari biasiswa. Nak buat PhD dekat UK kena ada biasiswa, kalau tak memang tak mampu sebab kos keseluruhan melebihi setengah juta ringgit. Memandangkan degree aku second class lower je, so memang susah nak dapat biasiswa. Aku mohon biasiswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), biasiswa universiti, MARA tapi semua tak dapat. Tapi aku tak pernah give up, aku tetap memohon walaupun harapan nak dapat tu tipis.
Alhamdulillah lepas dua tahun memohon biasiswa, akhirnya aku dapat tawaran MARA. Terima kasih MARA. Aku terkejut jugak bila dapat, sebab hampir 14,000 orang yang mohon biasiswa, tetapi yang berjaya 1000 orang sahaja. Aku tak de kable pun, tak kenal pun mana-mana pegawai MARA. Ada kawan aku yang first class degree pun tak dapat, tapi aku yang second class lower ni dapat MARA. Semuanya rezeki dari Allah. Alhamdulillah lepas dua tahun berdoa dan berusaha, Allah perkenankan doa aku nak sambung PhD.
Pejam celik pejam celik, aku dah di tahun akhir PhD. Buat PhD ni banyak cabaran, macam roller-coaster. Ada naik dan turunnya. Aku banyak kali menyesal bila sambung PhD ni. Banyak kali give up dan nak berhenti. Tapi aku sentiasa berdoa supaya Allah permudahkan perjalanan PhD. Bila fikir balik macam tak percaya yang aku dah di tahun akhir. Sebab cabaran PhD ni sangat besar. Tapi rahmat Allah tu sangat luas, Allah permudahkan urusan. Teringat ayat al-Qur’an dalam Surah Insyirah/As-Syarh, ayat 5 dan 6, “Sesungguhnya selepas kesulitan ada kesenangan”. Allah ulang ayat ini dua kali, sudah pasti ianya merupakan satu mesej yang besar Allah nak sampaikan pada kita. Supaya kita yakin pada rahmat dan bantuan-Nya.
Nasihat aku, teruskan lah berdoa, jangan pernah berhenti berdoa. Kadang-kadang doa tu tak makbul sekarang, tapi Allah makbulkan pada masa akan datang, atau Allah beri sesuatu yang lebih baik dari apa yang kita minta.
Macam kes aku, dulu waktu sekolah nak jadi doktor. Tapi Allah tak makbulkan waktu tu. Lepas 12 tahun, baru Allah makbulkan doa aku nak jadi doktor. Tapi doktor falsafah la (Doctor of Philosophy, PhD), bukan doktor perubatan. Hehe.
Aku berdoa nak dapat biasiswa untuk sambung PhD, alhamdulillah lepas dua tahun Allah makbulkan.
Kalau korang perasan, awal-awal cerita aku ada tulis impian nak pergi US. Jadi aku masih berdoa supaya Allah perkenankan doa aku nak pergi US. Aku ada merancang nak kerja di US selama dua atau tiga tahun lepas habis PhD, lepas tu baru balik Malaysia. Mudah-mudahan Allah makbulkan.
Aku nak akhiri kisah aku dengan sepotong hadis,
Dari Abi Said RA, sabda Rasulullah SAW,
Tiada seorang Islam berdoa dengan satu doa yang tiada padanya unsur dosa dan putus silaturrahim kecuali Allah kurniakan kepadanya salah satu daripada tiga iaitu samada disegerakan doanya, ditangguhkannya untuk hari akhirat atau dihilangkan daripadanya kejahatan seumpamanya. Kemudian sahabat berkata: ‘Kalau begitu, kami akan membanyakkannya. Sabda Baginda: ‘Ya, perbanyakkannlah.”
(Riwayat Ahmad, no. 10749)
– Mad
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit