Jangan Salahkan Cinta Untuk Curang

Sejak akhir ini, saya banyak terbaca tentang CINTA dijadikan alasan untuk curang. Tiada siapa menafikan cinta itu buta. Terkadang ia datang tanpa diundang dan tidak terjangka.

Itu cinta pandang pertama namanya. Tidak semua orang mengalaminya kerana selalunya cinta itu datang setelah lama berkenalan dan sebagainya.

Saya bukan mahu berfalsafah tentang cinta. Tetapi saya rasa ingin menyentuh sedikit fikiran kita yang terseleweng dengan perkataan cinta hingga cinta menjadi mangsa untuk dijadikan alasan untuk curang atau terlanjur.

Cinta sejati akan meletakkan Allah dahulu di depan kerana mencintai seseorang itu lahir dari rasa hati yang suci. Jika cinta yang menyebabkan maksiat dan dosa, itu bukan cinta tetapi nafsu yang terpedaya.

Saya pernah mengetahui tentang rahsia kawan saya yang pernah jatuh cinta semasa alam persekolahan lagi. Orang kata cinta di usia remaja itu cinta monyet. Tetapi tidak baginya.

Sebagai seorang remaja perempuan, kawan saya itu sangat malu untuk berterusterang, tetapi dia selalu kongsikan dengan saya, puisi dan luahan bicara hati yang ditulis untuk jejaka yang disukainya itu.

Hanya dengan saya dia kongsikan kerana dia tidak berani untuk berterusterang dengan jejaka tersebut. Dia juga minta saya berjanji untk simpan rahsia hatinya tanpa memberitahu sesiapa. Saya ringkaskan nama kawan saya sebagai N.

Di depan jejaka tersebut, N sentiasa bersikap biasa, seperti acuh tidak acuh. Kami selalu terserempak dengan jejaka yang saya panggil sebagai M, kerana M senior kami satu sekolah dan naik bas yang sama.

Kadang-kadang saya perasan, M mencuri pandang pada N, kawan saya, terutama masa dalam bas. N ada masalah rabun jauh, memang dia takkan perasanpun jika ada sesiapa pandang dia.

Terfikir juga saya masa itu, mungkin M juga meminati N dalam diam. Apapun, tiadapun tanda-tanda lain atau M cuba approach N, kawan saya itu.

Jadi saya ini hanya jadi saksi dan pendengar setia luahan hati N.

Saya pendekkan cerita, M habis SPM dan meninggalkan sekolah kami dan N pula kerana keputusan PMR nya cemerlang, telah masuk ke sekolah berasrama penuh di bandar lain. Sedangkan saya masih tetap meneruskan pengajian di sekolah harian yang sama.

Sejak itu, kami sudah jarang berhubungan namun bila berjumpa tetap N akan bertanya tentang M.

Saya ini jadi macam sumber berita untuknya dan saya tahu N masih menyimpan perasaan hati pada M. Ia bukanlah cinta monyet. M masih belajar di bandar yang sama tetapi di sekolah lain yang ada tingkatan enam.

Akhirnya, saya dapat tahu setelah tamat tingkatan enam, M masuk maktab perguruan dan N melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya pula yang sederhana serba serbi ini hanya layak ke politeknik di negeri yang sama.

Sekali sekala saya akan berjumpa dengan N tatkala cuti semester. Walaupun N sebenarnya boleh dikatakan, “beauty with brain”, ramai yang cuba mendekatinya tetapi N sukar untuk menerima jejaka lain kerana hatinya untuk M.

Sebenarnya sayapun pelik mengapa N boleh jadi begitu, macam orang bodoh, setia tidak bertempat. Saya suruh N contact M, saya boleh carikan alamat M atau saya boleh jumpa M untuk beritahu hal sebenar, tetapi N menghalang.

Saya tanya kenapa? N kata dia tak sanggup menerima kenyataan jika M tidak ada perasaan untuknya. Dia tak sanggup memulakan dan dia masih menanti M untuk approach dia.Entahlah complicated sangat rupanya orang bercinta ini. Tak boleh nak dilogikkan.

Suatu hari, saya terima panggilan dari N, kedengaran suaranya begitu sedih. N kata M sudah ada gf di maktabnya. N tahu sebab sepupunya sama maktab dengan M.

Saya beritahu N, inilah masa untuk dia berterusterang sebelum segalanya terlewat. N jawab, tidak mengapalah. Dia tidak mahu menganggu hidup M lagi. M sudah membuat pilihan dan dia hanya akan doakan dari jauh.

Sedih sangat saya masa itu sebab saya faham hati N yang pecah berderai, harapan yg kecundang. N terlalu berahsia, walaupun cerdik tetapi dia sangat konvensional. Bagi dia, lelaki yang perlu memulakan bukan wanita. Penantiannya sia-sia.

Akhirnya selepas tamat maktab perguruan, M telah berkahwin dengan kawan semaktabnya. N tahu dan dia redha, saya tahu N kuat dan dia akan move on. Saya kenal kawan saya ini, cuma dalam hal percintaan dia ada prinsip, yang akhirnya memakan diri sendiri.

N juga berkahwin selepas tamat pengajiaanya di universiti. Dia kata hidup perlu diteruskan, N terima lamaran jejaka tersebut kerana dia bersungguh ingin memiliki N.

Lagipun N kata, dia tidak mahu melukakan hati orang, moga Allah meredhai keputusannya. Jauh di sudut hatinya, saya tahu dia tidak pernah melupakan M, cinta pertamanya.

Suatu hari, saya berjumpa kawan sama sekolah, saya berikan namanya sebagai A. A ini merupakan sepupu M.

Sedang seronok bercerita zaman persekolahan, tiba-tiba A bertanya tentang N. Saya ceritakan tentang perkembangan N yang sudah berkahwin dan telah ada 3 orang anak. A terdiam seketika.

Kemudian A berkata, dia rapat dengan M sebab mereka sepupu. Dulu masa zaman sekolah, M minat dengan N. Walaupun ada yang meminati M masa itu, tetapi M tak layan.

Dia sukakan N tetapi malu untuk berterusterang sebab N budak pandai dan cantik di sekolah. M rasa rendah diri, dan M rasa N tidak pandangpun dia. Jadi M hanya berani meluahkan rahsia hati pada sepupunya, A.

Saya kata mengapa M berkahwin dengan kawan semaktabnya jika dia sukakan N. A berkata masa itu M berada dalam kumpulan jemaah islam ( saya tak pasti, mungkin macam group usrah) jadi ada mix and match berlaku.

M terima sebab dia rasa N sudah semakin tidak sekufu dengannya dan M rasa itulah jodoh yang Allah telah tentukan untuknya.

Mendengar itu, saya rasa macam nak hantuk kepala M dan N sebab naif sangat. Sama-sama meminati, sama-sama mencintai tetapi tiada berani berterusterang. Bodoh sungguh rupanya cinta ini. Akhirnya, tiada kesampaian cinta mereka berdua.

A cerita masa dia beritahu N sudah kahwin pada M. M terdiam lama, paling dia terkejut, dia tengok mata M merah dan berkaca dan M cepat-cepat minta diri. A cakap dia tak sangka M masih tidak melupakan N.

Allahu. Saya yang rasa sangat sedih. Tetapi saya tak beritahu rahsia N pada A. Biarlah menjadi rahsia selamanya. Saya juga tidak beritahu pada N tentang M kerana saya tidak mahu hatinya terusik.

Bila kami berjumpa, N tidak pernah lupa bertanya tentang M. N kata walaupun balik bandar yang sama, jarang sungguh nampak M.

Ye, M sekarang menjadi guru dan tinggal dibandar yang sama. N kata adalah kadang-kadang terserempak tetapi M macam tak layan sahaja.

N cakap sedih sebab M tak mesra macam orang lain, macam sombong dengan dia. N cakap dia tahu kedudukan dia sebagai isteri orang tetapi soal hati itu soal yang sangat sulit. Hanya saya yang faham kisah dia.

Ya, sayalah saksi atas perasaan dua insan yang ditemukan Allah dan sama-sama jatuh cinta tetapi mereka berdua memilih jalan yang Allah redha tanpa sedikitpun menodai cinta mereka dengan sebarang tindakan yang mengundang dosa.

Mereka redha dengan jodoh yang Allah takdirkan dan saling mendoakan satu sama lain.

Jadi pengajarannya, jangan salahkan cinta untuk curang. Jika cinta sejati, ia tidak akan dikotori oleh dosa dan noda. Segala yang Allah takdirkan itu ada hikmahNya.

N, sahabat saya kini berada diperantauan, rezekinya di luarnegara. Saya tahu N tidak pernah ada hubungan apa-apa dengan M namun saya juga tahu, N tidak melupakan M sampai bila-bila.

Jika ada orang menggunakan alasan cinta pertama untuk berlaku curang, itu bukan cinta sejati. Itu hanya mainan nafsu yang terpedaya.

– Puteri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *