Jangan Sisihkan Kak Long

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera..

Walaupun ini bukan cerita aku, tapi aku terpanggil untuk berkongsi dengan semua kerana melibatkan ahli keluargaku. Yang aku ingin kongsikan adalah kisah anak saudaraku (sebelah isteri) yang disisih oleh kawan-kawan kerana dia terlalu istimewa dalam keluarga kami.

Aku bahasakan dia sebagai Kak Long. Anak pertama kepada kakak ipar aku dan merupakan cucu pertama dalam keluarga isteri aku, termasuk anak-anak aku, semuanya 4 orang cucu ibu mertua. Kak Long bersekolah rendah darjah 5. Ada seorang adik lelaki darjah 2. Kakak iparku tak bekerja, surirumah tangga sepenuh masa. Suami pekerja biasa di syarikat logistik swasta. Hidup mereka pun sederhana.

Kak Long ada sejenis penyakit. Namanya Mucopolysaccharidosis (MPS) jenis kelima (MPS-V) yang begitu jarang ditemui dan sukar dirawati. Pembaca boleh google untuk tahu lebih lanjut. Penyakit ni berkaitan dengan genetik, akibatnya Kak Long tak membesar macam anak-anak lain kerana tubuh badan tidak dapat menghasilkan enzim tumbesaran. Kak Long jadi kerdil, sendi2 nya menjadi keras dan tidak boleh dibengkok, rabun jauh dan dekat pada tahap yang tinggi. Namun Kak Long seorang anak yang tabah, bermain, bersekolah dan melakukan aktiviti sekolah macam anak2 lain walaupun ada yang terbatas.

Hal ini menjadikan Kak Long bahan ejekan dan hinaan kawan2 di sekolah. Kak Long bersekolah di sekolah biasa, kerana doktor pakar yang merawat menyarankan begitu kerana tahap MPS Kak Long hanya mengganggu tahap tumbesaran dan bukannya sistem otak, sikap dan perilaku. Nasib Kak Long beruntung kerana mendapat dana untuk perubatan daripada persatuan MPS Malaysia bagi menggalakkan enzim badan menghasilkan enzim. Biaya untuk perubatan Kak Long dibiaya sepenuhnya oleh persatuan bernilai jutaan ringgit, dan Kak Long perlu menghadirkan diri ke hospital setiap minggu untuk memasukkan ubat penggalak penghasilan enzim.

Walau bagaimana pun, keadaan fizikal Kak Long yang kerdil selalu sahaja menjadi perhatian masyarakat dengan pandangan yang sinis dan prejudis. Pernah guru besar di sekolah Kak Long menghantar surat kepada PPD agar Kak Long dihantar ke sekolah khas seperti PPDK, dengan alasan kesukaran untuk menyantuni dan menguruskan Kak Long. Alasannya adalah, Kak Long terlalu kecil berbanding rakan sekelas dan perlukan alat sokongan untuk duduk di kerusi, bersukan dan sebagainya. Namun kami menentang atas saranan doktor yang merawat kerana ini akan merendahkan semangat dan moral Kak Long. Dia hanya kekurangan dari segi fizikal, bukannya mental.

Dalam hujung minggu lepas, kakak iparku membawa Kak Long ke pasaraya. Kak Long memang suka jalan-jalan. Kak Long minta dibelikan kentang goreng kegemarannya, perisa keju. Semasa kakak iparku beratur bersama pembeli lain, 2 orang pekerja premis menjengah-jengah dan mengintai-intai Kak Long. Kemudian bergelak sakan dan bertepuk tampar di depan kakak iparku sambil menjuih-juihkan bibir. Pada masa itu, kakak ipar aku perasan dan terus membatalkan hasrat untuk membeli kentang goreng. Berlinangan air matanya apabila melihat pekerja-pekerja tersebut menghina Kak Long di hadapan Kak Long. Pembaca cuba bayangkan, jika orang dewasa pun memandang Kak Long begitu, apatah lagi kanak-kanak yang belum matang?

Hari ini, ketika aku sedang bersarapan, kakak iparku post 2 buah gambar di dalam whatsapp keluarga. Gambar tersebut adalah 2 helai kertas tulisan tangan perbualan Kak Long dengan rakan sekelasnya (macam kita balas-balas mesej). Kiranya conversation mereka seperti ini:

Kak Long : Boleh tanya tak? Macam mana nak dapat kawan? Perlu ke selalu berbuat baik?

Kawan : Perlu! Sebenarnya saya dah rimas berkaean dengan awak. Kawan-kawan saya di kampung lagi baik daripada kawan-kawan disini. Lebih baik saya sekolah di sana..

Kak Long : Sebenarnya saya pun ada benda nak bagitahu..dah lama saya rahsiakan..ibu saya cakap saya sakit dan kena pindah sekolah..tapi saya tak mahu..

Kawan : Saya pun dah bosan dah di sini. Sebab awak asyik-asyik nak ikut saya..

Kak Long : Awak benci kat saya ke?

Kawan : Aah..saya tak dapat nak berkawan lama dengan awak..saya tak suka awak asyik berkepit dengan saya..saya rimas!

Kak Long : Jadi awak tak suka sebab tadi saya duduk sebelah awak?

Kawan : Saya dah cakap saya tak selesa dengan awak..saya dah terbiasa dengan sepupu saya, Mysarah.

Kak Long : Takpe lah awak dah biasa dengan sepupu awak. Saya minta maaf ye..

Aku yang sedang makan ketika itu terus hilang selera. Aku dapat bayangkan wajah Kak Long sayu diperlakukan seperti itu, seperti minggu lepas semasa dipandang hina oleh pekerja kiosk kentang goreng.

Sehingga aku menulis ni, Kak Long yang balik dari sekolah tadi masih menangis di biliknya kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa kawannya tidak mahu berkawan dengannya. Aku tidak marah pada kanak-kanak itu, cuma aku kesal sikap prejudis masyarakat kita hingga menjadi ikutan kepada anak-anak yang masih mentah.

Pembaca sekalian, saya dengan rendah diri bermohon agar kita sama-sama mendidik anak-anak kita agar lebih hormat dan melayani insan-insan yang kurang bernasib baik. Supaya suatu hari nanti, anak-anak kita faham dan saling membantu insan-insan istimewa yang lain. Kita ajar mereka supaya berkawan, melayan dan menerima kelemahan dan kekurangan orang lain.

Semoga Kak Long tabah menghadapi hari-hari yang mendatang.

– Pak Ngah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *