Janganlah Pisahkan Kami

Assalamualaikum semua, nama saya Nurul. Tahun ini tahun ketiga perkahwinan saya tapi saya belum dikurniakan anak.

Sejujurnya, saya okay sebab saya ada suami yang sangat supportive dan keluarga yang selalu mendoakan tetapi baru baru ini mertua saya mengatakan perkara yang saya betul-betul tak nak dengar.

Pada minggu PRU itu hari, mertua aku memanggil kami ke rumah mereka. Kami pun pergi dengan anggapan mahu berborak beramah mesra seperti selalu tetapi tidak.

Mertuaku tiba-tiba menggunakan suara veto dan menyuruh suamiku untuk bertukar kerja semata mata untuk bekerja di dalam bidang politik kerana gajinya lebih lumayan.

Tetapi suamiku menolak kerana kerjanya sekarang ialah kerja impiannya dan ia adalah pekerjaan yang cukup stabil. Mereka mula bergaduh kerana pekerjaan suamiku ini susah untuk mendapat cuti dan gajinya naik lambat (setahun sekali fyi) tapi suamiku suruh bersabar.

Mereka mula membandingkan dengan anak kawan-kawan mereka yang boleh memberi duit dalam jumlah yang banyak kepada mak ayah mereka (FYI ,Suami aku baru bekerja dua tahun). Aku masih lagi boleh bersabar ketika itu sehinggalah….

Mereka mula pandang kepadaku sambil menjerit,

“Bagaimana pula dengan nurul? Suruh saja nurul bekerja memandangkan korang tak ada anak langsung. Sudah setahun (sejak aku jadi surirumah) tapi nurul tak bekerja. Sedangkan dia tiada anak. Lebih baik bekerja dan dapatkan duit lebih banyak”.

Aku terus menangis. Seandainya mereka tahu betapa aku cuba menjadi seorang ibu. Aku cuba pelbagai cara untuk jadi seorang ibu dan kenalan rapat aku tahu betapa aku nak jadi seorang ibu.

Dari kecil impian aku adalah untuk jadi seorang ibu tapi apakan daya. Belum lagi Allah nak berikan rezeki. Aku tak sangka perkara itu keluar dari mulut mereka. Sehingga kini tiada maaf dari mereka Dan aku pun sudah malas berharap.

Jangan kata aku tak cuba mencari kerja. Aku cuba pelbagai kerja. Dari kerja online sehingga menjaga budak dan mengajar al quran untuk mencari rezeki lebih (ya, memang tak banyak tapi aku cuba).

Sebelum itu, mertua saya bukan orang semenanjung tetapi kami duduk di sabah atas asbab kerja suami. Disebabkan suami dapat kerja di kawasan pedalaman,

Saya pun berhenti bekerja atas persetujuan bersama kerana kami tak kuat nak PJJ (Kami dah pernah PJJ pada awal perkahwinan) dan kami nak ikut saranan ustaz yang menggalakkan suami isteri untuk duduk bersama-sama.

Pekerjaan suamiku dapat menyara hidup kami tapi jumlah yang kami dapat berikan pada keluarga bukanlah sebanyak mana. Semua duit suamiku pergi kepada keluarga dia dan juga untuk belanja rumah kami.

Aku sedih kerana mertuaku hanya memikirkan wang. Langsung tak terfikir yang anaknya menggunakan semua duitnya untuk keluarga.

Bahkan keluarga belah aku pun jarang “rasa” duit suami aku tapi keluarga aku lebih memahami status kewangan kami. Aku sedih kenapa keluarga aku boleh faham tapi keluarga mertua aku tidak faham. Sedangkan itu anak mereka.

Mertua aku bukan juga miskin bagiku. Sedangkan hasil dari keuntungan syarikat mereka, mereka dapat berikan zakat sahaja sudah beribu ringgit.

Kenapa mereka masih tak bersyukur? Kenapa mereka tidak percaya bahawa rezeki wang dan anak datang dari Allah, bukannya dari politik.

Lagi menyedihkan bila aku dapat tahu mertua aku mahu aku ke semenanjung dan bekerja di sana kerana kawasan tempat tinggal kami sukar mendapat pekerjaan.

Sanggupnya mereka pisahkan anak mereka dari isterinya! Aku sampai sekarang menangis bila memikirkannya. Nak pula tiba-tiba kami perlu ke Ibu kota tapi terjumpa dengan mereka. Air mataku tak dapat ditahan. Memang aku mengaku aku menangis.

Itu hari aku cakap kepada suami aku semasa terlalu marah dan kecewa, aku cakap biarlah aku bekerja dan biarlah semua duitnya diberikan kepada ibubapanya.

Tak perlu lagi berikan nafkah kepada aku. Tapi suami aku terus memeluk aku dan berkata, “sekalipun awak bekerja, saya takkan kurangkan apa yang saya bagi selama ini kerana itu adalah tanggungjawab saya kepada awak”. Kata kata dia menenangkan aku.

Aku mohon doa semua yang membaca tolong doakan hati mertua aku dilembutkan dan mata mereka dibuka. Aku juga mohon kalian doakan aku dikurniakan cahaya mata.

Mohon juga tips untuk hadapi mertua begini. Aku cuba untuk mengikut cara islam dengan tidak memutuskan pertalian tapi hati aku sakit.

Ya Allah hati aku sakit. Jujur, aku bertahan hanya kerana aku mempunyai suami yang baik dan bertanggungjawab.

– Menantu helpless (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *