Jantan Miang Itu Wujud

Sejak akhir-akhir ni, selalu terjumpa cerita skandal kat tempat kerja… Kalau suami orang dengan anak dara/janda tu macam dah biasa (walau tak sepatutnya ya)…

Tapi akhir-akhir ni, macam makin kerap pula dengar skandal tentang isteri orang dengan suami orang kat tempat kerja… Betul-betul dunia dah nak kiamat ni…

Baru-baru ni saya pergi holiday dengan kawan-kawan… Ada salah seorang ahli rombongan yang kali pertama saya jumpa… Saya letak nama dia X, ya.

Baru beberapa jam kenal, si X ni dah lain macam… Dah mula beri perhatian pada saya… Lepas tu panggil “sayang”, “yang”… Tolong buka dan tutupkan pintu kereta… Siap cuit-cuit bahu saya kalau nak bercakap…

Untuk pengetahuan ya, saya ni pakai tudung bidang 50/55… Labuh lah juga kan, walau tak macam ustazah… Dan saya juga bukan jenis yang bertepuk bertampar dengan lelaki… Jangankan nak suka-suka cuit, kalau tersentuh secara tak sengaja pun saya akan kata sorry…

Mula-mula saya buat macam biasa je… Masih layan borak dia… Anggapan saya masa tu mungkin perangai dia memang macam ni sejak azali… Dengan sesiapa saja…

Malam tu, ditakdirkan Allah saya dapat roommate yang pernah kerja sama-sama dengan X… Apa lagi, habislah rahsia dia terbongkar… Rupanya memang perangai kahwin-cerai-kahwin-cerai dah banyak kali… Ok… Rupanya memang miang tahap dewa ye…

Terus hilang hormat saya pada dia… Walaupun jawatan dia jauh lagi tinggi dari saya… Pada saya, dia tak hormat saya sebagai isteri lelaki lain… Dan dia tak hormat wanita yang menjadi isteri-isterinya…

Saya jadi sangat menyampah dan geli dengan jantan miang tak sedar diri macam ni… Apa lagi yang dia nak… Sampai sanggup nak ‘test market’ dengan isteri orang…

Bayangkan kalau isteri awak yang duk buat perangai mengorat suami orang lain…?

Esoknya, terus saya berubah perwatakan 180 darjah… Saya tak layan dia… Saya mengelak… Duduk jauh-jauh… Kalau dia datang dekat, saya buat-buat tak nampak… Kalau dia tegur pun, saya cuma balas sepatah-sepatah dengan nada suara yang malas nak layan…

Tapi… Sampai ke sudah, X tak putus asa ya… Masih tetap panggil “sayang”… Depan orang lain pun selamba je panggil “sayang”… Ada sekali tu, dia geram agaknya saya tak layan dia… Dia jalan belakang saya, lepas tu dia langgar saya dengan kuat sampai saya terkedepan… Eiii…

Waktu makan, X akan usaha nak duduk dekat saya… Tak dapat sebelah, dia duduk depan… Lepas tu mulalah ambikkan lauk-pauk nak letak dalam pinggan saya… Hilang selera makan saya…

Setiap kali dia nak letak, saya kata tak nak… Dah kenyang… End up memang tak kenyang setiap kali makan dekat dia… Huaaaa…

Waktu bergambar pun sama… Seboleh-boleh nak duduk sebelah… Roommate saya tahu niat X dan dia selalu tolong saya… Dia akan selit kat sebelah saya supaya X tak dapat bergambar sebelah saya…

Banyak kali juga X ajak gambar berdua, tapi saya mengelak… Tapi ada juga sekali X dapat gambar selfie berdua je dengan saya… Tak sempat nak mengelak… Sempat lari 2 langkah je, dia angkat kamera, terus ambik… Kuang asam betul…

Sampai ke lokasi terakhir barulah nampak macam X putus asa… Walaupun masa tu kami terpisah dengan ahli rombongan yang lain dan cuma tinggal berdua… Tapi rasanya sebab bini dah tunggu kat luar… Hahaha… Puas hati aku… Takut bini gak rupanya…

By the way… Korang rasa berapa umur X dan berapa umur saya?

Si X ni… Kalau kerja kerajaan… Dah nak pencen wehhhh… Tua ganyut dahhhh… Saya muda hampir 15 tahun dengan dia… Tak muda la juga kan… Tapi bini muda dia lagi muda dari saya… Huhu… Apa lagi lah yang dia nak…

Tak pernah saya terbayang di usia begini masih kena menghadap benda-benda macam ni…

Tolonglah korang… Kot ya pun nak buang tabiat, janganlah buat benda-benda macam ni kat bini orang… Pergilah cari tikar sembahyang… Cari geng-geng surau/masjid… Buat baik kat depa tu pula kot boleh tarik korang masuk syurga sama-sama…

Pesanan saya buat semua jantan miang… Sekalipun kamu tak hormat pada kami… Kamu pandang kami ni golongan yang lemah… Yang mudah cair… Tapi tolong hormat kepada lelaki yang menjadi suami kami… Mereka juga lelaki seperti kamu… Yang ada maruah… Ada ego…

Bayangkan kalau lelaki lain buat perkara yang sama macam kamu buat kepada isteri kamu pula…

Pesanan saya juga buat semua wanita… Baik yang dah kahwin mahupun belum… Jangan jadi wanita lembik… Mudah cair… Mudah tergoda… Walaupun suami kita jenis yang biasa-biasa je, jangan mudah sangat jadi mangsa jantan miang tak tahu malu…

Mereka ni cuma nak gunakan kita je… Seronok ada yang nak layan dia time isteri dia tak ada… Saja nak test market dengan kita…

Lepas tu, jadikan kita ni bahan untuk dia bercerita dengan kawan-kawan sambil lepak kedai mamak… Yang dia dah berjaya hanyutkan berapa ramai perempuan yang konon alim, isteri orang tapi hati masih pandang lelaki lain… Awak tak rasa hina ke, wahai wanita?

Pesanan juga buat para suami… Beri perhatian lebih pada isteri… Jangan kerana isteri sudah terikat dengan lafaz nikah, kamu abaikan dia… Kamu rasa dia akan setia sampai hujung nyawa… Kamu tak layan dia sebagaimana zaman mengorat dulu…

Ingat ya, dunia ni kejam… Kamu mungkin baik dan tak sanggup kacau isteri orang… Tapi ramai lelaki di luar sana yang mencari ruang dan peluang untuk bersama isteri kamu…

Lihat apa yang jadi pada saya… Suami sendiri tak pernah (atau mungkin sekali dua saja) buka dan tutupkan pintu kereta untuk saya… Tapi itu alasan yang sangatlah bodoh untuk saya tinggalkan dia dan pergi pada si tua ganyut tu… Eeeiii… Na’uzubillah…

Kesimpulannya… Kembalilah semula kepada ajaran agama… Ikhtilat (batas hubungan lelaki dan wanita bukan mahram) kena jaga lebih-lebih lagi kat tempat kerja… Cara berkomunikasi tu adalah dengan sentiasa bayangkan pasangan masing-masing ada kat sebelah masing-masing…

Berani nak panggil isteri orang “sayang” kalau isteri sendiri ada kat sebelah dan suami dia ada kat sebelah dia? Berani nak buat suara menggoda dengan laki orang kalau suami sendiri ada kat sebelah dan isteri dia ada kat sebelah dia?

Jangan jadikan kelemahan pasangan sebagai alasan untuk kita ada skandal… Sebab kita juga banyak kelemahan… Atau saja nak seronok konon kita masih laku ada orang nak kat kita… Awak nak tunjuk kat siapa yang awak tu ada “harga market” lagi? Dah Allah tak bagi tu, ikut je lah… Jangan degil!

– melatiputih (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *