Hari-hari aku akan sakit hati. Sejak engkau berhenti kerja hampir 7 tahun lalu, tidak banyak perubahan yang dilakukan.
Aku ini macam-macam cuba, namun alhamdulillah, dengan kelebihan yang ada, Allah kurniakan rezeki yang murah untuk aku dan anak-anak dengan cara cari rezeki aku ini.
Cuma aku akan menghadap PC agak lama. Ada masanya sehingga pukul 3-4 pagi. Ada harinya, sampai Subuh, dan aku tunggu sehingga masuk waktu, solat dan selepas itu aku terpaksa qada tidur.
Dulu, semasa engkau bekerja, masih boleh tahan. Bukan aku tak sama-sama membantu. Cuma engkau tak nampak.
Engkau ingat semua yang kau beri itu mencukupi atau engkau sedar tapi tak sudi nak memaklumi. Anak-anak engkau pun dah terlebih fed-up.
Anak sulung engkau sampai beritahu kalau tak mengenangkan engkau bapak, memang dah lama dia ajak bergasak.
Anak perempuan engkau dah gelar engkau “manchild” – dia tak larat tengok bapak dia dera mak dia dari segi mental.
Anak bongsu engkau, dah ambil sikap, imun – malas nak layan.
Semua ini berlaku kerana silap percaturan – dah kahwin tapi tak reti nak berkomunikasi. Dah kahwin, tapi tak reti nak jadikan diri itu orang yang dah kahwin. Jenis spesies yang ingat segala kerja rumahtangga ialah kerja bini.
Betul, masa dia kerja dulu, dia bekalkan yang secukupnya, malah orang luar tengok, bagusnya, kakak itu duduk rumah pun ada pembantu.
Yang orang tidak tahu ialah, kakak ini tetap cari duit sendiri dan meski ada pembantu, pembantu cuma buat kerja rumah.
Yang lain-lain, masak, hantar ambil anak, anak sakit bawa pergi klinik, urus apa saja yang patut supaya tak ganggu suami di pejabat. Lagipun, kakak ini jalani pembedahan yang rapat-rapat dan segala bantuan kerja fizikal, amat dihargai.
Aku bersyukur bukan tak, cuma apabila tiba giliran aku pulak, engkau macam buat aku khadam sementelah pembantu dah tiada lagi sekarang.
Tetapi, selepas satu kejadian yang melibatkan keputusan kewangan yang teruk, telah membuatkan lelaki ini jadi meroyan satu badan.
Masalahnya, dengan perangai yang tidak mahu diubah, tidak mahu membaiki kesihatan diri dan malas dalam banyak segi, maka tiada peningkatan, sebaliknya hanya kehabisan.
Apa saja simpanan digunakan – bukankah itu satu kebodohan, di samping hanya mengharapkan semua usaha dilonggokkan dalam satu bakul?
Sekarang, aku yang tanggung hampir segala-galanya sampai makan minum engkau juga.
Di manakah keberkatan andai orang yang wajib kaunafkahi dari segala segi, kaupersiakan.
Tanya kucing, nak buat macam mana? Apalah yang boleh disumbangkan oleh kucing tersebut selain mungkin berzikir untuk engkau dengan harapan perangai engkau berubah.
Aku sebenarnya sangat penat, sudahlah jenis yang tak boleh ditegur, ego tinggi – kalau ditegur, membengis.
Apa saja jawapan aku bagi juga tidak betul. Aku dah penat sebab aku bekerja dan berusaha tiap hari. Apa saja peluang yang ada dan halal, aku usahakan.
Maaflah, sebab aku dah tak larat nak melayan kerenah engkau sebab engkau, masa sakit, ada aku nak layan hantar makanan – aku kalau sakit, sikit pun tak kauhiraukan.
Aku bukan tak sedar, masa pak sedara engkau meninggal, aku tak larat nak pergi ziarah, sebab masa itu, perut aku sakit sangat. Engkau tinggalkan aku setengah hari, tanpa ada nak bertanya khabar, sama ada aku perlukan apa-apa, paling tidak tanyalah “dah mati ke belum?”
Engkau ingat aku sakit olok-olok? Engkau tak tahu, aku turun tangga dalam keadaan duduk tangga demi tangga sebab punya tak larat nak berdiri. Apabila aku kena masuk hospital, baru engkau tahu.
Bagi aku, kalau engkau tak buat tanggungjawab engkau, sampai ke sudah pun, keadaan engkau payah nak berubah. Sebab Allah telah berjanji, suami yang menjalankan tanggungjawabnya, Allah akan mencukupkan rezekinya.
Tanyalah orang yang bergaji kecil atau rajin berusaha dan kerana dia menjalankan amanahnya, anak-anak dan isterinya tetap cukup makan pakai!
Aku tak tahulah siapa yang boleh nasihatkan engkau, menyedarkan engkau! Ibu ayah dah tak ada, adik-beradik semua buat tak heran sebab engkau dah susah..
Aku memang tak bagi mak bapak aku nasihatkan engkau sebab aku risau mulut engkau akan melukakan hati mereka. Cukuplah mereka dilukai dengan cara engkau melayani anak mereka.
Aku berdoa agar Allah mengubah perangai engkau, mengurniakan engkau kesedaran dan keinsafan. Aku hanya perlukan reda engkau apabila aku mati…
Luahan aku panjang tapi ini saja yang aku nak luahkan ketika ini…
– ValentineBukanCinta (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit