Jauh Bau Bunga, Dekat Bau Tahi

Assalamualaikum. Saya sudah berkahwin selama 6 tahun dan tinggal bersama ibu mentua. Suami saya merupakan anak lelaki tunggal dan mempunyai kakak serta adik perempuan,

Jadi keluarga mentua memang memberi tanggungjawab kepada suami untuk menjaga ibunya. Bapa mentua saya meninggal dunia beberapa bulan lepas kami bernikah.

Sebelum nikah dulu, family mentua telah meletakkan syarat bahawa kami suami isteri mesti tinggal bersama ibu & bapa mentua.

Saya bersetuju memandangkan rumah keluarga suami saya agak besar dan ada pembantu rumah. Saya kira tidak menjadi masalah.

Beberapa bulan sebelum nikah, kami menghadiri kursus kahwin bersama-sama dan apabila topik tinggal bersama keluarga dibangkitkan, saya mula tidak sedap hati.

Penceramah berpesan berkali-kali, jangan sesekali tinggal bersama mentua. Baiklah tinggal berdekatan, walaupun sebelah rumah, tetapi janganlah serumah. Jauh bau bunga, dekat bau tahi. Banyak kemudaratan daripada kebaikan.

Balik daripada kursus itu, saya berbincang dengan tunang saya waktu itu, betulkah apa yang dikatakan penceramah? Apa kata kita tinggal di luar lepas kahwin? Saya takut hubungan dengan bakal mertua akan berantakan kalau tinggal sekali.

Tunang saya begitu marah kerana dia sudah berjanji dengan keluarganya yang kami tidak akan berpindah keluar. Jadi saya terpaksa turutkan saja.

Kami pun bernikah. Semuanya baik-baik sahaja sehinggalah kematian bapa mentua saya. Semuanya berubah.

Pembantu rumah pula minta pulang ke kampung di Indonesia. Tinggallah kami bertiga di rumah. Ipar-ipar saya tinggal berdekatan, jadi mereka selalu pulang menjenguk ibu.

Sebelum ini, arwah bapa mentua yang banyak menguruskan hal rumah. Bapa mentua yang mengawal ibu mentua kerana ibu mentua tidak pandai membuat kerja rumah, beliau merupakan wanita bekerjaya.

Jadi mengawal disini bermaksud, marah apabila ibu membuat sepah dan letak barang merata-rata, tidak tutup lampu dan kipas dan sebagainya. Bapa mentua rajin mengemas rumah dan dapur.

Sebelum arwah bapa mentua meninggal, saya rajin melakukan kerja rumah kerana memang sudah biasa. Selepas bapa mentua meninggal, ibu mentua tidak benarkan saya membuat kerja rumah.

Saya beranggapan ibu mentua segan menantunya buat kerja rumah, macam pembantu rumah pula pada pandangannya.

Setiap kali saya kemas dapur, basuh pinggan, sapu dan mop rumah, ibu akan kata jangan buat, nanti pembantu harian akan datang. Ibu memang sengaja biarkan pinggan mangkuk penuh sinki kerana pembantu akan datang petang nanti.

Masalahnya, saya tidak boleh biarkan keadaan rumah begitu, kerana saya pun tinggal disini. Beberapa kali juga, pembantu harian membatalkan last minute. Jadi siapa yang kena kemas? Mestilah saya.

Tapi ibu tetap cakap jangan. Nanti ibu panggil pembantu lain. Rumusannya, bagi saya, ibu mentua merupakan seorang yang agak pengotor. Suka tinggal sisa makanan di dapur dan meja makan, kerana sudah biasa ada pembantu.

Tetapi, adik beradik ipar yang lain semuanya rajin. Mereka akan menolong kemas rumah dan basuh baju bila datang. Suami saya pula seperti ibunya, tidak pandai melakukan kerja rumah.

Baik, masalah saya sekarang, ibu mentua saya ini baik lah kan, tidak benarkan menantu buat sebarang kerja rumah.

Tetapi, di belakang saya, dia menjaja cerita kepada saudara mara dan rakan-rakan rapat yang tiada siapa buat kerja rumah, tiada orang memasak, tiada orang tolong basuhkan baju. Ibu sudah tidak larat.

Saya banyak kali terdengar perbualan telefon ibu dan mendengar sendiri apabila menghadiri majlis kahwin dan sebagainya.

Jadi, apakah persepsi orang kepada kami suami isteri? Menantu dia ni tak buat kerja rumah ke? Pemalasnya tak tolong mak buat kerja rumah.

Adik beradik suami saya pun ada perli-perli dan apabila balik rumah tolong kemas, mereka buat kerja dengan bising-bising seperti marah hanya mereka yang perlu lakukan kerja rumah.

Setelah 6 tahun perkahwinan, saya makan hati berulamkan jantung. Sudah setahun saya tidak bertegur dengan ibu mentua. Ibu mentua tegur je saya, tapi saya buat tak dengar dan tidak menjawab.

Saya tidak suka ibu membuat cerita di belakang dan bercerita segala hal kami suami isteri. Ibu memang suka berborak. Habis segala cerita di boraknya.

Dah banyak kali saya ajak suami pindah keluar, tetapi suami tidak mahu kerana perlu menjaga ibunya. Apa yang dijaga? Satu kerja tak buat. Tidur lambat, tengahari atau petang baru bangun. Baik keluar rumah saja.

Saya buntu fikirkan masalah ini. Kadang-kadang saya terfikir kalau lah ibu mentua atau suami meninggal, boleh lah saya keluar dari rumah ini.

– Nadia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *