Jauh Bau Bunga, Dekat Bau Tahi II

Untuk part I, (https://iiumc.com/jauh-bau-bunga-dekat-bau-tahi/).

Pertama sekali ingin saya nyatakan disini, saya merupakan wanita bekerjaya ya. Sudah mempunyai seorang anak perempuan. Suami juga bekerja. Jadi saya bukannya seorang surirumah.

Cerita saya lebih kepada waktu hujung minggu. Sebab tu ramai pelik bila saya ceritakan suami tidur lambat, bangun tengahari atau petang. Pada hujung minggu.

Walaupun ibu mentua melarang saya buat kerja rumah, saya tetap buat. Saya pun rasa sangat bersalah yang teramat kerana tidak menjawab apabila ibu menegur, tapi sebelum ini saya dah mula kurang ajar. Dah menjawab dengan biadap kerana terlalu marah.

Jadi semenjak dari itu, saya mengambil langkah mendiamkan diri.

Anak kami sangat manja dengan neneknya. Alhamdulillah. Cuma saya sangat tidak tahan dengan ibu mentua yang bermacam-macam peelnya ini. Biasalah orang tua kan.

Saya memang kena banyak bersabar. Tapi tahun keenam ini, entahlah kenapa. Saya berubah menjadi seorang yang kurang ajar terhadap orang tua.

Saya memang sangat menyesali dan banyak kali cuba untuk berbaik, tapi saya sungguh meluat bila ternampak dan terdengar suara ibu mentua ini.

Kami juga sudah beli rumah ya. Tapi suami tetap dengan pendiriannya tidak mahu berpindah, dah bercadang untuk sewakan rumah kami itu. Saya sampai pernah suarakan mahu bercerai kerana tidak tahan lagi tinggal di rumah ini.

Suami pula mengadu kepada emak saya bahawa saya mahu bercerai. Emak menelefon saya dan bertanyakan kenapa.

Saya cuma ceritakan saya sudah tidak tahan tinggal di sini, menumpang di rumah orang dengan perangai orang dalam rumah ni yang berbeza dengan cara saya dibesarkan.

Emak cuma menasihati saya supaya keluar tinggal sendiri bersama anak. Mungkin itu cara terbaik. Suami boleh datang menjenguk di rumah kami.

Selama 5 tahun sebelum ini, apabila saya mengemas barang-barang dan mengemas dapur, mentua seringkali tidak selesa barangnya dialihkan. Siapa simpan milo dalam kabinet?

Susah nak ambil. Siapa kemas meja makan? Nanti nak makan susah nak cari. Siapa tutup kipas? Biarlah bagi rumah sejuk ada aliran udara berpanjangan. Siapa simpan tudung-tudung dan baju-baju ibu disini? (Di sofa ruang tamu) Nanti nak keluar senang terus pakai.

Sampai sekarang saya masih lagi buat semua itu. Saya masih lagi mengemas. Takkan nak biar bersepah-sepah baju dan tudung di ruang tamu tu kalau tetamu datang bagaimana?

Meja makan penuh sisa makanan dah basi pun bercampur, dengan biskut-biskut dan snek dan air dan bermacam lagi.

Lagi satu, masalah rumahtangga kakak ipar dan sepupu sepapat pun habis diceritanya, memang suami dan kakaknya sudah banyak kali menegur kena hormat privasi orang lain. Jangan menjaja dan menokok-nambah cerita.

Suami juga pernah bertanya ibunya kenapa suka buat cerita? Ibu cuma cakap dia suka berborak.

Macam-macam jugalah makcik kami pernah beritahu kami, oh kamu sekeluarga bangun lambat ya hari minggu?

Suami saya sahaja ya yang bangun lambat tu. Kena bergaduh dulu nak kejut dia bangun. Itu pun ibu nak cerita kat orang. Kenapa tak cakap anaknya yang bangun lambat. Saya sah-sah la kena bangun awal, anak kami nak makan apa.

Saya bekerja agak kerap kerja lebih masa mengikut keperluan. Kadang-kadang dalam sebulan tu dalam 3-4 hari balik pukul 11 malam. Balik-balik ibu mentua dengan suara nyaringnya (ibu memang jenis bercakap kuat) siapa tu? Sampai anak kami terjaga.

Bilik kami bertentangan dengan ruang tamu keluarga. Kerap anak kami terjaga tengah malam kerana dikejutkan suaranya yang menyergah.

Saya mahu berbaik dengan mentua, sungguh saya sangat mahu. Dulu hubungan kami baik, saya selalu melayan ibu borak. Sekarang semuanya berubah.

Saya menjadi benci sehingga kurang ajar terhadapnya. Saya selalu juga tegur-tegur ibu ya. Ibu, tutuplah lampu dan kipas bila tiada keperluan.

(Saya tolong bayarkan bil elektrik, sehingga 500-600 sebulan bil kami, jadi saya cuba berjimat) ibu, tolonglah kemas baju dan tudung takut orang datang nanti segan kita.

Ibu, biarlah saya tolong kemas meja makan dan dapur sebab lipas dan tikus sudah makin banyak. Pinggan mangkuk tidak boleh dibiarkan semalaman, saya selalu nampak tikus dan lipas di sinki.

Saya tegur dan buat. Supaya ibu sedar, saya perlu buat. Tapi dia bagi alasan seperti semua di atas. Senang nak makan, senang nak keluar rumah, rumah sejuk, jangan disimpan nanti ibu tak jumpa.

Saya cuma biarkan je apa ibu cakap, takpelah saya tetap buat. Itulah sebabnya mungkin saya makan hati tu.

Ibu siap marah-marah, siapa buang sisa kuah ni? Ibu nak buat makan dengan roti. Alahhh. Dah takde benda nak makan. Lain kali jangan la dibuang apa-apa.

Kat mana simpan biskut haritu? Itulah dah cakap jangan simpan nanti susah nak cari! Mana tudung ibu dah gosok yang ibu letak di sofa ni? Kan dah nak kena gosok balik. Biarlah di situ, kenapa semua nak simpan-simpan?

Para pembaca, bukanlah sesusah itu ya untuk cari. Makanan semua ada dalam kabinet makanan. Dia pun tahu. Cuma perlu tenaga sikit untuk bukak pintu kabinet tu.

Baju dan tudung-tudung semua saya gantung elok-elok dalam almari baju, tak perlu gosok semula pun. Cuma perlu tenaga sikit untuk berjalan dan ambil. Sisa-sisa makanan yang saya buang pun semua yang hampir basi dan yang terlalu sedikit tak nampak dah apa yang tinggal.

Kesimpulannya, ibu tak suka orang luar kacau dan sentuh barang-barangnya. Dia suka begitu. Tapi saya kena kemas, sebab saya pun menumpang di rumah itu.

Tikus dan lipas boleh memudaratkan anak kami juga. Tapi yang peliknya kenapa diceritakan tiada yang kemas rumah? Mungkin maksud ibu tiada pembantu.

Suami saya pula dah banyak kali saya ajarkan buat kerja rumah. Memang dia berat tulang kerana tidak biasa. Hari minggu kerja main game. Bangun petang tidur lewat pagi-pagi buta.

Itulah maksud saya apa yang ingin dijaga ibunya ini? Saya ingin sangat perbaiki hubungan dengan ibu mentua.

Saya kena banyakkan bersabar dan mungkin berzikir bila ibu menegur dan cuba menjawab dengan tenang. Kerana waktu itulah saya terasa ingin melawan dan marah. Saya sudah tidak boleh ambil langkah diamkan diri, saya sedar.

– Nadia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *