Jauh Di Mata, Dekat Di Hati

Assalamualaikum dan hai, cukup untuk dikenali sebagai Teratai. Terima kasih kepada admin jika coretan ini disiarkan. Aku baru habis menjalani latihan mengajar di sebuah sekolah menengah di Negeri Sembilan. Aku mengajar Tingkatan 6 bawah, 6s1.

Mereka sangat ramai, 39 orang sekelas dek kerana kekurangan bilik darjah. Ya, 1 cabaran untuk aku mengawal pelajar seramai ini. Pelajar lelaki seramai 17 orang & pelajar perempuan seramai 22 orang. Masing-masing dengan karakter tersendiri. Bukan mudah tau nak layan 39 fi’il ni. Haha.

Pertama kali menjejakkan kaki ke kelas mereka, niat aku cuma ingin menjadi seorang guru sepertimana guruku dahulu. Adat permulaan kelas, salam perkenalan dan sebagainya. Cuba beramah mesra. Bermula esoknya, aku mengajar seperti biasa sehinggalah 2 bulan pertama. Pada waktu ini aku sudah dapat menghafal nama mereka.

Selepas 2 bulan berlalu sejak Julai, barulah aku mula mengenali mereka sedikit demi sedikit. Rupanya hidup mereka tak seindah yang dibayangkan. Tatkala remaja lain cukup dengan kasih sayang, ada di antara mereka yang hatinya kosong menagih kasih ibu atau ayahnya yang tiada di sisi.

Ada juga yang hidup susah. Pernah tak cukup belanja, pernah lapar di asrama. Namun, tak pula cerita itu dikongsikan. Aku tau pun daripada mulut orang lain. Aku cuba mengorek lagi rahsia hidup mereka. Biarkan dilabel penyibuk, stalker dan sebagainya. Asalkan aku kenal siapa mereka di saat orang lain dengan mudah melabel mereka itu ini. Kisah hidup mereka menjadikan aku sedar nikmat hidupku.

Niatku mulai berubah. Bukan sekadar guru, tetapi menjadi rakan untuk membimbing kehidupan mereka. Oh ya, jarak umur yang hanya 5 tahun menyebabkan aku mula mengubah cara pergaulan dengan mereka supaya lebih rapat. Dulu tegas, kini lebih santai.

Aku cuba memberikan kasih sayang seperti seorang kakak kepada adiknya. Nasihat, teguran dan tak lupa saguhati untuk menghargai mereka. Aku berikan hadiah hari lahir. Hadiahku itu tidaklah mahal.. sekadar alat tulis dan sebagainya, cukup untuk melihat senyuman terukir di bibir mereka. Kehadiran penuh pula ku hadiah sebatang pen. Kawan-kawan pun pelik, kata mereka, sanggup kau berhabis masa, tenaga dan wang. Haha, entahlah, tapi aku suka melihat mereka gembira.

Aku pun tidaklah kaya, si peminjam PTPTN jua. Namun, berbaloi tindakan yang ku rasa saat melihat senyuman itu.

Setiap rahsia yang dikongsikan kepadaku, aku simpan dengan sebaik-baiknya. Jika baik, aku terus memberikan kata-kata semangat. Jika buruk, hanya teguran yang aku mampu berikan.

Kadangkala terkhilaf juga aku dalam membimbing mereka. Terlepas juga kata-kata dan riak wajah tidak menyenangkan atas sikap mereka. Maafkan cikgu ya.

Pernah aku diam-diam menangis bila mendengar khabar pelajarku cedera matanya yang perlukan pembedahan, cedera di kaki, cedera di tangan, pernah juga menangis apabila masalah disiplin mereka diceritakan di bilik guru. Dalam hati, hanya mampu doakan yang terbaik.

Sentiasa bersemangat untuk mengajar melihat kehadiran mereka ke kelas.

Dulu, orang tanya kenapa nak jadi cikgu? Tak tau nak jawab apa. Sekarang, aku tahu jawapannya. Bahagia menjadi guru bila dirimu bermanfaat kepada orang lain.

Kadang-kadang mereka nakal, bising, tertidur dalam kelas dan sebagainya. Namun, sebagai guru, jangan terus menghukum. Jadilah pendengar setia, cuba selidik apa sebab musababnya, cuba dekati mereka. Biarpun kau kecewa, cuba buang perasaan itu. Belajar untuk terus senyum dan ketawa. Berikan yang terbaik untuk mereka dengan niat suatu hari nanti mereka akan menjadi pelajar yang sentiasa dibanggakan. Ikhlaskan hatimu duhai guru.

Menjadi seorang guru menyebabkan aku belajar banyak perkara kerana untuk merubah seseorang, kau juga harus melalui suatu proses perubahan ke arah yang lebih baik.

Bulan oktober adalah bulan terakhir aku berkhidmat sebagai guru di sana. Semakin mendekati tarikh tersebut, semakin berat melepaskan mereka. Ya betul, aku hanya guru praktikal tetapi hati ini gusar. Saat bosan, mereka ada, saat muram, ada penghiburnya, saat gembira dikongsi bersama. Terasa kosong bila tiada mereka. Bagiku mereka segala-galanya. Mungkin orang tak faham jika tiada di tempatku. Huhu.

Hari ini, 22/11/18, mereka start exam hingga 28 ini. Mohon doakan mereka ya. Aku mahu melihat mereka berjaya dan mengubah nasib keluarga.

Biar nakal mana pun mereka, aku tetap sayang semuanya. Cikgu tak pernah membenci kalian melainkan perasaan rindu yang semakin menebal di lubuk hati. Cikgu sentiasa mendoakan kesejahteraan kalian. Semoga dapat menjawab peperiksaan dengan tenang di sana ya, sayang. Cikgu hanya mampu titipkan doa dari jauh di kampung halaman. Ada rezeki cikgu sampai di sana.

Cikgu berharap supaya semuanya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, jadi anak yang soleh/solehah & menjadi seseorang yang dibanggakan.

Terima kasih untuk kek, hadiah dan usaha kalian menyambut hari perpisahan saya. Biarpun kecil, saya sangat menghargainya.

Doakan juga diri & keluarga saya serta semua pelajar STPM yang sedang menduduki peperiksaan. Semoga cemerlang semuanya. Cemerlang akhlak & cemerlang akademik. Salam sayang untuk semua.

– Teratai

Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *