Jawapan Dari Allah

Aku Li, selepas 3 tahun menjadi single mom aku berkenalan dengan Aleh seorang duda anak 2. Anak aku lelaki dan anak Aleh pula dua dua perempuan.

Hubungan aku dengan Aleh sangat sangat baik. Kalau dulu susahnya untuk aku berkomunikasi dengan bekas suami, tapi dengan Aleh dia pendengar dan penasihat yang baik. Begitu juga kata Aleh, dengan aku dia mudah untuk bertoleransi dan menghormati satu sama lain.

Bergaduh? Memang ada tapi rajuk kami tak panjang sebab dalam 5 minit begitu salah seorang pasti akan buka bicara dan ajak berbincang.

Bincang kami juga penuh hemah dan tak meninggu suara. Mudah untuk dapat kata sepakat.

Dalam baiknya hubungan kami tetap ada masalah disitu. Aleh tak suka aku bekerja dalam bidang production. Tuduhnya kami ini bergaul bebas lelaki dan perempuan.

Aleh melarang aku untuk berduan dengan lelaki lain hatta yang lembut atau yang straight. Faham kan? Aku akui aku faham dosa dan pahala.

Tapi tuntutan kerja buat aku kadang tiada pilihan lagi lagi aku tak punya lesen kereta akibat trauma. Kalau naik grab sudah tentu melibatkan tambang yang banyak dan aku tak boleh claim sebab company dah pun sediakan pengangkutan.

Aleh juga tak benarkan aku bergaul dengan lelaki lembut (MUA).

Padahal dalam industri aku bekerja merekalah rakan rakan aku. Kami sering berbalah tentang hal ini dan Aleh anggap aku tak menghormatinya sedangkan dia perlu faham jangan mudah menghakimi orang dan terus melarang aku dari berkawan.

Sedangkan Aleh waktu itu juga berkawan dengan seorang perempuan yang aku kenali sebagai Liyana single mom juga dan punya 2 anak lelaki.

Bila aku suruh Aleh jangan berkawan dengan Liyana, tau pula dia taknak. Katanya hanya berkawan. Tapi aneh bila aku bagi jawapan yang sama dia tak boleh terima. Begitulah kami dan hubungan ini berlarutan sehingga setahun lebih.

Suatu hari waktu dinner bersama aku tanyakan pada Aleh, apa next hubungan kita?

Aleh tahu yang aku ini susah nak percaya lelaki dan kalau aku berkenalan dengan seseorang aku memang akan fokus pada seorang dan berharap hubungan ini dihalalkan.

Aleh letakkan sudu dan pandang muka aku sambil tersenyum sinis.

“I tak nampak jodoh I dengan you” kata Aleh. Aku dapat rasakan panas muka aku waktu tu.

“Apa maksud you? You buat istikharah?” Tanyaku

“Tak yah susah buat istikharah, instinct I yakin you tak layak jadi mak kepada anak anak I” sinis lagi

“Sekejap, kenapa macam ni? kenapa kasar sangat? Apa I dah buat dekat you dan anak anak you?” Masa tu mata aku dah berkaca.

Aleh warning aku, jangan nak menangis dan cetus drama atau minta simpati gunakan air mata.

Aku cakap pada Aleh, aku bukan saja saja nak menangis tapi aku terkejut dan aku memang sensitif orangnya. Dan aku tak ada niat nak gunakan air mata sebagai senjata nak raih simpati.

Aleh cakap dia kenal seorang perempuan yang lebih baik dari aku, kerja bagus as a accountant. Tudung labuh tutup dada, pakaiannya longgar tak macam aku. Kerja dan circle perempuan itu semuanya perempuan.

Dan Aleh katakan perempuan itu sesuai menjadi mak tiri kepada anak anaknya. Aku tanya pada Aleh

“Sebab itu I tak layak jadi isteri dan mak kepada anak anak you?” Aleh angguk

“You tahu I sayang anak I macamana kan? I tak pernah meninggi suara malah cubit anak pun tak pernah kan? Macam tulah I akan jaga anak you.

Pernah ke selama kita berkawan I kurang ajar dengan you? Tinggi suara dekat you? Pernah ke I melawan cakap you? Selama ni kita banyak berbincang dan walaupun you tak suka kerja I tapi I dah janji dengan you I akan jaga batas I”

“Semua tu tak cukup, you still berkawan dengan diorang dan kerjaya you terlalu bebas, dan I taknak bila dah kahwin anak anak I kenal kawan kawan you yang lembut tu” kata Aleh.

Aku tetap memujuk Aleh waktu tu “You tak boleh jatuhkan hukum dekat I dan kawan I macam tu, nampak kami begini, apakah kami ni jahat? You tengok sendiri anak I hormatkan I dan kawan kawan I macamana? Didikan Aleh bukan tentang siapa orang tu Aleh!

Aleh tetap dengan keras hatinya dan menyelar aku sebagai perempuan tak baik. Dan pengakhiran makan malam kami penuh tragis.

Aku balik naik grab sebab aku tak mampu nak berdepan dengan Aleh lagi. Yang kelakarnya berduan denganya didalam kereta selama ini tak jadi dosa buatnya pula.

Hampir 3 tahun berlalu, Aleh sudah berkahwin. Rupa rupanya isterinya adalah Liyana yang dia sangat pertahankan dahulu. Tapi dalam tempoh 3 tahun tu, aku block semua media social Aleh dan aku move on teruskan hidup aku dengan anak aku.

Dekat 4 bulan lebih aku cuba lupakan Aleh dan akhirnya aku berjaya. Aku bersyukur hidup aku sangat busy antara kerjaya dan membesarkan anak menyebabkan aku lupa yang hati aku ini pernah disakiti.

Hinggalah 6 bulan yang lalu aku dapat tawaran kerja dengan gaji yang lumayan sebagai art manager di sebuah company di Ampang. Aku putuskan untuk mencari rumah sewa disana untuk memudahkan urusan aku mengambil anak dan berulang alik rumah dan office.

Aku berjaya dapatkan rumah sewa yang aku suka privacynya sangat ketat lebih lebih lagi aku duduk berdua sahaja dengan anak ku. Rumah aku jenis low density, setiap level belah kiri dan kanan cuma 3 unit rumah sahaja.

Masa aku pindah rumah, aku tak terserempak langsung dengan jiran rumahku, tapi kelihatan ada penghuni di sebelah rumah aku sebab ada basikal budak didepan rumah dan kasut kasut yang tersusun.

Selepas seminggu barulah aku dengar suara anak jiran sebelah rumah aku. Riuh rendah, dan aku berharap ada yang sebaya anakku, jadi nanti anak aku boleh bermain bersama. Waktu itu aku berkira kira nak masakan sesuatu untuk jiran aku dan perkenalkan diri.

Tapi! Hasrat aku terbantut bila malam tu waktu aku dan anak aku duduk di balcony sambil tengok view pool, terdengar suara lelaki disebelah rumah (jiran aku) menjerit

“Dari tadi main phone, anak sampai tak makan lagi, I balik kerja dari tadi you still dekat situ”

“Dah besar kan? Kalau lapar grab ada kan? “ jerkah suara perempuan yang aku kira itu isterinya.

Terdengar bunyi batang besi terjatuh ke lantai. Aku kira mungkin bunyi ampaian baju jatuh. Aku terus ajak anak aku masuk kedalam rumah.

Ceritanya tak habis disitu, acapkali aku terdengar jiran aku bergaduh, pintu gate dihempas dan mereka bertengkar. Maka terbantutlah hasrat aku nak kenalkan diri dengan jiran sebelah aku ini.

Sebulan yang lalu jam 9 malam aku tergerak hati nak buang sampah sebelum tidur, selalunya aku akan buang sampah awal pagi semasa nak pergi ke kerja.

Sewaktu aku buka pintu pagar dan terserentak sama dengan jiran sebelah rumah aku pun nak keluar rumah. Masa itu mulutnya sedang mengomel dan terdengar hempasan pintu utama. Aku jujur takut sedikit. Tapi saat itu mata kami bertatapan dan terus kaku.

Berdiri di depan aku adalah Aleh. Tiada senyuman di antara kami, yang ada rasa sebak. Aku lihat mukanya susut, rambut panjangnya yang pernah aku sikat sangat serabai, dan matanya layu dan ada kesedihan.

Dia mulakan soalan “ duduk sini?” Sambil jarinya tunding ke rumah aku

Aku angguk. “Ya dah 5 bulan lebih macam tu”

Aleh angguk “ Li sihat?”

Aku angguk “alhamdullilah”

“Anak mana?” tanya Aleh

“Rumah abah dia”

Aku minta izin nak buang sampah, waktu melangkah jujur kaki aku selembik lembiknya, aku rasa jauh sangat tempat buang sampah waktu itu.

Aleh perlahan mengikuti belakang aku. Waktu aku dah buang sampah, dan Aleh di depan Lift, tiba tiba dia tarik tangan aku kuat. Minta aku ikut dia ke pintu tangga.

Aku terpaksa ikut sebab genggaman tangan Aleh begitu kuat. Bila di ruangan tangga baru Aleh lepaskan tangan aku dan dia terduduk ditangga sambil menangis. Aku sedih sebab lihat Aleh menangis sambil tutup mukanya. Masa tu air mata aku turut mengalir.

Aku mencangkung depan Aleh, tapi dengan jarak yang jauh sedikit. Aku tanya “You kenapa ni? You sakit ke Aleh? Nak I panggil wife you?”

Aleh angkat muka dan geleng kepala. Dia sambung menangis dan berkata sesuatu sambil menangis.

“I salah, I salah Li, I lelaki tak guna Li, I dapat balasan I dah Li” menggogoi Aleh didepan aku

“Li I minta maaf, banyak dosa I dekat you Li. You baik dengan I selama kita kawan. You selalu buat I happy Li. Tapi I jahat dengan you”

Aku pintas bangun, “ you benda tu semua dah lama, I tak ingat dah, I ok sekarang dan you pun mesti bahagia sekarang”

Aleh “ Li I tak bahagia, setiap hari bergaduh, anak terabai Li, I pun terabai Li”

“Li I rasa nak cerai Li”

Aku terus duduk sebelah dia memujuk, “ I tak tahu apa yang berlaku Aleh. Tapi ini ke jalan selesainya Aleh? Kita berdua pernah bercerai, you nak bercerai lagi? Kasihan anak anak Aleh”

Aleh “lagi kesian anak anak terabai Li, malas masak, malas kemas rumah, dengan phone 24 jam. I dah puas nasihatkan dia Li, sampai I rasa macam nak pukul saja”

Terus aku mencelah “jangan Aleh, jangan guna kekerasan, anak anak tengok”

Aleh tiba tiba pandang muka aku, “Li dah kahwin?”

Aku geleng dan lihat Aleh mengeluh.

“Li kalaulah I kahwin dengan you macamana rumahtangga kita Li?”

Aku diam sekejap dan kemudian aku jawab “you tak nampak I as your jodoh”

“You perli I Li?”

“Maaf, tak malah i tak berdendam pun, cuma itulah yang you kata dulu, you dah buat pilihan yang you rasakan terbaik untuk hidup dan keluarga you. Jadi you kena terima dan redha dengan pilihan you Aleh”

“Li kalaulah I boleh putar balik masa, I pilih you Li, jujur I menyesal gila Li!”

“Li you tahu tak I selalu ingat you dan I memang nak contact you balik tapi I malu sebab nak mengaku salah I. Tapi malam ni I tak sangka Allah temukan kita macam ni.”

Aku angguk “ I pun terkejut yang you jiran I selama ni. Dalam proses I nak healing I tertunggu jawapan dari Allah kenapa dan mengapa, rupanya 6 bulan disini I dah dapat jawapan dari Allah.

“Apa yang you dapat Li”

“Biarlah rahsia” kata ku.

“Yang I tak bahagia?” Tanya Aleh.

“Tak you, I tak happy pun tengok you macam ni, cuma boleh jadi benda yang paling kamu sayang tidak baik bagi kamu dan benda yang kamu benci mungkin akan jadi baik untuk kamu. Aleh ini jawapan untuk kita berdua” terangku.

Dekat sejam lebih kami di tangga, dan aku decide untuk balik kerumah. Aleh akur.

Tapi sejak malam tersebut Aleh sangat baik pada aku dan aku tak pernah dengar lagi suara Aleh menjerit. Sepertinya dia sudah tak kisah dan jalani sahaja tanggungjawabnya sebagai suami walaupun isterinya bersikap acuh tak acuh.

Aleh minta number aku, tapi aku bertegas tak beri. Cuma Aleh terlalu mengambil berat. Dia akan menunggu aku di ruangan lobby sampailah aku balik.

Puas aku bertegas jangan jemput aku dan kasihan isterinya. Aleh tetap degil. Pernah aku ugut untuk beritahu isterinya tapi Aleh cakap lebih mudah kerjanya.

Aku jadi buntu. Aleh tak menggatal dengan aku, dia cuma prihatin dengan aku itu sahaja. Dia seolah sangat bersalah dengan aku, walaupun banyak kali aku bagitahu yang aku dah lama maafkan dia.

Kadang kadang dia belikan bahan basah dan fav food aku sama macam waktu kami bercinta dulu. Aleh suka masakan aku dulu.

Tapi walau apapun terjadi aku tetap tak akan terima Aleh kembali dalam hidup aku sebab aku cukup bahagia berdua dengan anak aku.

Aku sebenarnya nak pindah dari situ sebab aku tak mahu Aleh terus mengambil berat, tapi tuan rumah tak benarkan dan cuma ketawa dan tak percaya yang aku berjiran dengan bekas kekasih.

Dia minta aku habiskan kontrak dulu kalau aku tetap nak keluar juga deposit aku yang nak dekat 6k akan burn macam tu sahaja. Jadi aku mengalah. Sebab bukan mudah aku nak keluarkan duit untuk bayar deposit rumah lain pula.

Untuk Aleh jika you baca cerita I ni, I sentiasakan doakan semoga rumah tangga you akan kembali damai, jangan berhenti berdoa Aleh, dalam rumah tangga ni pasti ada bahagia dan dukanya.

Kita berdua pernah gagal dalam rumah tangga kita, dan I takmahu you gagal lagi. Sabarlah Aleh, setiap ujian pasti ada bahagianya.

InsyaaAllah.

– LI (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *