Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera. Saya berterima kasih sekiranya tulisan saya disiarkan oleh pentadbir (admin). Ini adalah tulisan balas saya kepada tulisan “Pesanan kepada Feminist”.
Untuk part I, (https://iiumc.com/pesanan-kepada-feminist/).
Untuk part II, (https://iiumc.com/pesanan-kepada-feminist-ii/).
Bukanlah ini untuk mencari gaduh mahupun menunjuk siapa betul dan salah. Tetapi sebagai jawapan balas saya kepada beberapa isi-isi yang saya tidak setuju. Saya harap pembaca bersabar kerana tulisan saya agak panjang.
1- Kualiti- Saya setuju di atas penyataan tuan dan tidak dinafikan sebenarnya memang semakin ramai perempuan yang tidak menjaga maruah diri namun kualiti ini tidak terhad kepada perempuan sahaja. Jika diperhatikan dan dilihat lelaki-lelaki muda sekarang, kualiti lelaki yang baik jua menurun.
Sebagai Islam (khas buat perempuan Islam), takde sangkaan bahawa kita kena menjaga aurat dari banyak segi, termasuk lah tidak tergedik-gedik di media sosial mahupun dunia sebenar.
Namun, lelaki juga perlu menjaga pandangan, perlakuan, aurat dan kata-kata serta tidak meletakkan tanggungjawab menjaga iman mereka ke atas bahu wanita. Kerana setiap manusia berakal menanggung kesalahan mereka sendiri.
2- Kaki lepak- tidak dinafikan perempuan lebih terdedah kepada bahaya berbanding lelaki sekiranya keluar larut malam. Namun, tuan tidak boleh memukul rata bahawa semua perempuan melepak larut malam adalah tidak baik.
Ya, Islam tidak menggalakkan kita keluar sehingga larut malam kerana malam boleh jadi lebih berbahaya, tetapi tuntutan ini adalah kepada lelaki dan perempuan.
(Tapi saya faham tuan fokus pada perempuan sebab tulisan tuan ditujukan kepada perempuan) dan setiap orang mempunyai sebab sendiri melepak di waktu malam.
Selain itu, jika tuan mengatakan bahawa, siapa akan tolong mak di rumah kalau perempuan keluar melepak di waktu malam, adakah lelaki tidak boleh tolong mak di rumah ?
3- Fesyen dan pembaziran saya tidak banyak kritik kerana saya setuju. Sebagai seorang perempuan saya tak nafikan memang pembaziran begini saya lihat depan mata dan patut ditegur.
Dan bukan semua perempuan memakai pakaian cantik untuk tatapan lelaki hidung belang tuan. Mohon jangan sama ratakan.
4- Self management- Lelaki dan perempuan dua-dua saya lihat suka keluar rumah. Tengoklah kalau tuan berjalan-jalan diluar, dua-dua jantina suka keluar kerana itu sifat manusia.
Jika tuan dibandingkan dengan dahulu, perempuan keluar juga cuma dalam versi yang berlainan. Apa maksud saya dengan itu?
Maksud saya, mak-mak mahupun anak dara dahulu tetap keluar ke rumah kawan, saudara, jika dekat di bandar keluar menonton wayang dan sebagainya. Perempuan-perempuan dahulu kala juga berkerja namun, peratusannya lebih rendah berbanding sekarang.
Wanita-wanita dahulu juga berkerja namun dalam versi sendiri, selain buat kerja rumah mereka juga menanam padi, menoreh getah dan lain-lain.
Lelaki dan perempuan dua-dua bekerja mengikut kesesuaian zaman dan tempat. Takde pula saya dengar perempuan dulu tak keluar rumah melihat matahari.
Kerja rumah yang berlambak adalah tugas lelaki dan perempuan, namun kerana budaya dan kebiasaan, masyarakat meletakkan kerja rumah sebagai tugas hakiki wanita.
Ini sesuai dahulu apabila lelaki meredah hutan, menepuk pelanduk, menyadap nira di pokok enau dan membanting tulang empat kerat mereka menyara keluarga. Namun begitu, kemahiran asas seperti memasak, membuat kerja rumah kebanyakan lelaki dahulu tahu lakukan.
Apabila zaman berubah dan kerja lelaki tidak lagi terlalu berat, maka kenapa tidak lelaki melakukan kerja rumah bersama-sama isteri, anak mahupun mak?
Dan kemana pergi kemahiran memasak dan lain-lain? Jadi tuan dan mana-mana lelaki yang tidak mempunyai kemahiran ini, (termasuk perempuan) boleh silakan untuk menaik taraf diri.
5- Isu tak cukup nafkah- Seharusnya tuan fokus kepada para isteri yang tidak cukup nafkah bukannya kepada isteri yang cukup nafkah namun memfitnah suaminya.
Saya petik dari journal kajian penceraian “Laporan akhbar Berita Harian bertarikh 4 Jun 2014 turut menyokong dapatan kajian terhadap faktor ini berdasarkan kepada kenyataan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang menyatakan antara punca utama perceraian adalah disebabkan oleh pengabaian suami dalam memberikan nafkah kepada isteri.”
Maka tuan nilailah, adakah wanita sekrang mata duitan ataupun wanita sekrang sebenarnya lebih bijak apabila bersuara mengenai hal nafkah yang tidak mencukupi?
6- Pemalas- Ini saya setuju sekiranya si isteri pemalas kerana seperti tuan katakan, dua-dua kena berkorban kan. Dan penyataan sama boleh dibalikkan kepada lelaki sekiranya suami pemalas dan pemalas ini bukan penyakit feminism atau perempuan sahaja tetapi individu.
7- Trend hantaran mahal- Ini adalah bedasarkan persetujuan lelaki dan perempuan jadi saya tak mahu komen berlebihan. Secara peribadi saya kurang setuju namun jika kedua pasangan mempelai setuju siapa saya mahu katakan apa-apa.
Tuan, perempuan jenis yang tidak degil, tak kuat melawan, sanggup susah senang dan tak kuat merajuk itu merentasi zaman.
Sekarang juga sangat ramai wanita yang begitu namun masih ada yang tidak dihargai suami. Ini sama seperti isi no 1 tadi di mana kualiti perempuan menurun mengikut zaman, begitu juga dengan lelaki. Berapa ramai lelaki yang tidak boleh jadi nakhoda kepada keluarga mereka serta culas nafkah.
Apa komen tuan pula kepada lelaki sebegitu? (Kalau kerana goreng pisang tuan merendahkan wanita, apa pula beza dengan lelaki yang tidak goreng pisang untuk bagi isterinya makan? Lagipun tuan, sokonglah orang melayu, bila la pisang goreng tu, sedap apa. haha)
8- Tak insecure- Saya sangat tak bersetuju atas penyataan ini kerana banyak punca boleh menyebabkan penceraian dan pergaduhan rumah tangga.
Ya isteri kena taat kepada suami sebagai isteri, namun suami sesekali tidak boleh mengkulikan isteri atas tiket taat suami. Dan sangat banyak kes keganasan rumah tangga dan penceraian berlaku walaupun isteri dah buat terbaik.
Seharusnya lelaki yang kena menjaga perempuan dan itulah yang dituntut Islam bukan sebaliknya. Memang betul juga ramai isteri berkerja kerana risaukan masa depan, namun sebagai orang Islam kita tak boleh terlalu risaukan masa depan (ni untuk wanita)
Namun tuan juga kena lihat asalnya kenapa perempuan makin ramai berfikiran begitu. Mungkin tuan boleh menasihati lelaki supaya meningkatkan kualiti menjadi suami yang lebih bertanggungjawab dan lebih menghormati isteri?
9- Lupakan sirah- Tuan baca tak sirah dahulu betapa susahnya mereka mengembangkan Islam dan membuat kerja? Siapa kata mereka buat kerja “easy gila” akibat perjuangan wanita?
Tahu tak betapa susah dan besar juga pengorbanan wanita dahulu kala? Seandainya tuan mahu wanita berkorban seperti di zaman para sahabat, adakah tuan mampu memikul kerja seperti para sahabat?
Adakah tuan mampu berperang, putus anggota badan, ditembusi pedang, dipukul, berdakwah setiap masa, mengangkat batu-batu untuk membina kubu dan berjalan ratusan kilometer untuk berperang?
Jika tidak jangan impikan pengorbanan wanita sekrang seperti wanita dahulu. Jika tuan kerja 12 jam sehari dan pulang kerumah lalu tidak mampu untuk membasuh pinggan kerana penat sangat maka jangan sebut mengenai pengorbanan wanita.
Lihatlah berapa ramai perempuan mengandung sambil berkerja lalu pulang dan membuat kerja rumah. Sanggupkah tuan melakukan semua itu? Pengorbanan wanita dan lelaki bersesuaian mengikut zaman.
Ya saya mengaku makin ramai perempuan tidak taat suami dan semakin ramai suami jua tidak tahu tanggugjawab.
Dan dua-dua suami isteri memainkan peranan mengharmonikan rumah tangga, bukannya meletakkan keharmonian rumah tangga tu kepada perempuan semata. Lemah sangat ke lelaki apabila semua perkara dituding kearah perempuan supaya bertanggungjawab?
10 – Ilmu rumah tangga- Bukan para Ibu sahaja yang pandai mendidik anak, namun zaman dahulu, ibu dan BAPA keduanya mendidik anak. Sebab itu ramai anak yang membesar jadi baik.
Tuan lupa ka, tugas suami bukan sahaja menafkahi isteri dan anak-anak, tetapi juga ketua untuk mendidik anak dan isteri. Isteri adalah pembantu.
Lihatlah dahulu betapa tegas bapa mendidik anak-anak. Tiada statistik menunjukkan, ibu berkerja membuatkan anak menjadi terabai dan menjadi orang jahat.
Sememangnya isteri diberatkan dalam menjaga anak-anak kerana suami diwajibkan mencari nafkah tetapi tugas mendidik anak adalah tanggungjawab kedua ibu bapa.
Sangat ramai wanita berkerja namun mempunyai anak-anak yang sangat baik dan berjaya. Menurut satu kajian, 85% jenayah oleh remaja adalah remaja yang tidak mempunyai bapa atau kekurangan penglibatan bapa dalam pembesaran mereka.
Jadi, adakah kewujudan penjenayah adalah disebabkan isteri berkerja? Tidak.
11- Equality- Gaji sama rata adalah hak asasi manusia tanpa mengira latar belakang, jantina mahupun keturunan.
Sekiranya seseorang itu membuat kerja setimpal dengan bidang kerjanya maka dia layak dibayar dengan setimpal pekerjaannya. Jika perempuan angkat sawit dan jadi buruh pembinaan, maka dia selayaknya dibayar sebegitu.
Jika pangkatnya tinggi maka selayaknya dia dibayar sesuai pangkatnya. Jika wanita datang bulan dan buat perangai, walaupun saya faham saya tetap kurang bersetuju kerana tidak profesional namun, jika wanita mengandung yang anda kutuk saya kurang terima melainkan dia keterlaluan.
Hal ini kerana wanita mengandung tidak boleh mengawal hormon mereka yang sangat menggila. Menurut laporan Statistics Department (DOSM)’s Salaries & Wages Survey Report Malaysia 2018, wanita di Malaysia dibayar gaji kurang daripada lelaki dalam banyak bidang kerja yang sama kerana bias jantina.
Maknanya perempuan dibayar lebih rendah hanya kerana mereka perempuan dan Bukan kerana kurangnya kemampuan wanita tersebut melaksanakan kerja, kepandaian perempuan itu mahupun perangai perempuan itu.
Ini realiti ya, dan masalah diskriminasi jantina ni berlaku seluruh dunia termasuklah eropah di mana peratusan bias jantina masih tinggi walaupun dianggap maju.
12- Aurat- Yang ini saya setuju, kerana sebagai Islam kita hendaklah menutup aurat. Dan kita hidup bermasyarakat jadi wanita yang ditegur tidak boleh mengatakan bahawa orang awam tidak boleh menegur pemakaiannya. Namun jangan menghina dan menegur kasar wanita-wanita ini.
Sekian terima kasih. Maaf kerana terlalu panjang. Semoga semua medapat manfaat.
– Rendang ayam (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit