Jenazahnya Diurus Umpama Mati Syahid

Maghrib hari jumaat paluan gendang di masjid berbunyi, sayu hati ibuku menandakan ada insan telah meninggal dunia. Lalu mendapat sebuah panggilan dari ahlijawatankuasanya mengenai seorang penduduk yang meninggal dunia.

Ibuku ketua sebuah pertubuhan politik berteraskan perjuangan Melayu, menjaga ahli kampung terutama wanita mengenai kebajikan makanan, agama, Tempat tinggal dan pelbagai lagi kerana ada akses dengan wakil rakyat. Lalu hampir semua perkara mengenai penduduk kampung diketahui ibuku.

Mengenai seorang wanita yang telah meninggal dunia ibuku segera menghubungi dua orang rakannya yang menjadi pengurus jenazah untuk memandikan terlebih dahulu diwaktu itu ibu ada mesyuarat bersama Ngo kerana kebiasaannya ibuku sendiri menguruskan jenazah.

Selesai mesyuarat Ngo, ibu segera ke rumah almarhumah untuk membantu menguruskan jenazah, walaubagaimanapun jenazah telah siap diuruskan.

Apa yang mengejutkan bau rumah almarhumah begitu harum, dengan bacaan al Quran silih berganti sangat tenang rumah ini sewaktu jenazah masih di ruang tamu.

Ibu mencari dua rakannya dan bertanya mengenai pengurusan jenazah kiranya pihak keluarga tidak menyediakan persediaan yang sepatutnya,

Tetapi sebaliknya rakan-rakan ibu yang menguruskan jenazah berbisik dan bertanya apakah amalan almarhumah ini, tubuhnya wangi, kulitnya bersih, keadaan jenazahnya elok sekali, malah air lelehan mandi jenazah menjadi wangi setelah memandikan jenazah.

Ibu sangat terkejut, setahu ibu almarhumah tidak lancar membaca al-Quran malah pengajian di masjid secara diam-diam almarhumah selalu mengadu pada ibu mengenai nasibnya di akhirat,

Ibu hanya berpesan pada almarhumah “orang perempuan tak pandai mengaji tak apa jaga je yang wajib 1. Solat/Puasa Rukun Islam kena dijaga. 2. Jaga maruah. 3. Taatilah suami”.

Selesai urusan jenazah kedua rakan ibu yang menguruskan jenazah tadi bertandang ke rumah bertanyakan lebih lanjut mengenai amalan almarhumah kerana hampir tiada cacat cela pada jenazah almarhumah.

Malah, anak ibu yang menjadi imam di masjid berpeluang mengangkat jenazah almarhumah menyatakan sangat ringan jenazah almarhumah dengan kehadiran saudara mara almarhumah yang agak ramai.

Akhirnya ibu membuka bicara, wanita ini dahulunya anak orang kaya dikahwinkan dengan lelaki miskin anak kiyai (guru agama) bukan pilihan hatinya, hidupnya sangat susah dikutuk kakak-kakak iparnya,

Anak-anaknya sekiranya berkumpul di rumah orang tua sebelah suami diletakkan di pinggir dapur bersama makanan murah dalam dulang sementara mereka yang senang dihidangkan makanan mahal yang sedap-sedap.

Dikatakan keluarga mereka tiada masa hadapan, sedangkan almarhumah berkahwin mengikut pilihan keluarga.

Sudahlah kehidupan sangat susah, wanita ini dimadukan pula suaminya dan tinggal serumah bertahun sebelum ada rumah sendiri, bergaduh bersama madu, anak-anak bergaduh dengan ibu tiri menjadi lumrah.

Anak-anak wanita ini selalu menjadi mangsa dituduh pencuri oleh saudara mara disebabkan kehidupannya sangat susah.

Namun, tiada sedikit pun rungutan almarhumah di hadapan umum sewaktu hayatnya dan Allah bantu hidupnya menjadi senang melalui pelbagai jalan sehingga mampu menunaikan haji, ada kereta dan rumah selesa sehingga harinya bertemu Allah.

Almarhumah selalu bertemu ibu mengadu nasibnya, dipesan untuk berzikir yang penting ingat Allah kalau tak pandai lagi mengaji dan teruskanlah taat dengan suami selagi mana mampu itu lebih baik dari dunia dan seisinya kerana itulah perjuangan seorang wanita.

Maka benarlah hujung hayatnya almarhumah tidak hina dengan dunia, jenazah kembali dalam keadaan mulia.

Itulah kisah perjuangan wanita zaman dahulu, Wanita pada hari ini terlalu obses dengan suami siapa paling rajin, suami kena macam ni macam ni.. Apa yang kita kejar hujung hayat kita di sisi suami kita sebenarnya.

Saudari, jika suamimu terlalu sempurna pasti ada ketidaksempurnaannya nanti, jika suamimu biasa-biasa berikan ruang untuk jadi luar biasa. Selalu bertanya adakah abang redha dengan saya sebagai isteri?. Itulah sebenarnya perjuangan & kemuliaan wanita di dalam Islam.

Ciptalah keberkatan itu tempatkan suamimu sebagai raja, jika suamimu banyak kerenah, itulah syurga buatmu. Salam perjuangan wahai wanita & isteri.

Hadis Nabi SAW: “Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.” [Riwayat al-Tirmizi (1159)][Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini melalui jalur Abu Hurairah RA adalah hasan gharib]

Hadith ini juga disahihkan oleh Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak melalui jalur Mu’az bin Jabal [Lihat: al-Mustadrak, 190/4]

– Perjuangan Wanita (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *